Terima kasih, Tuan Lutfi!
Oleh RAYUSA
SAYA mula mendengar nama Ahmad Lutfi Othman semasa dia mengendalikan Tamadun, tetapi tidak tahu majalah yang juga diterbitkannya itu bukan miliknya. Ada rakan saya yang memujinya sebagai editor yang baik dan kreatif. Barangkali kelebihan itu yang menjadi antara faktor majalah tersebut “laku keras”. Tamadun pernah dicetak sehingga 150,000 naskhah semasa ledakan awal Reformasi.
Nama Ahmad Lutfi semakin dikenali, tetapi saya belum lagi bertemu dengannya. Ketika gerakan Reformasi anjuran Anwar Ibrahim membahang, Lutfi meninggalkan Tamadun. Dia melancarkan pula majalah dwibulanan Detik dan bulanan remaja Wasilah. Kesibukan menyebabkan dia tidak lagi menulis buku politik.
Detik muncul sebulan sekali sejak November 1998, kemudian dua bulan sekali pada 1999 dan sempat hanya 17 kali sahaja muncul di pasaran, sebelum kerajaan Umno-BN menerusi KDN mengharamkannya.
Antara kehebatan Detik ialah pernah menyiarkan wawancara dengan Anwar yang diseludup dari penjara. Ketika itu ia dicetak 100,000 naskhah. Pun begitu, Detik hanya sempat bertahan setahun sahaja sebelum KDN mengharamkannya.
Selepas Detik diharamkan, Lutfi beralih kepada tabloid tidak berkala (yang sebenarnya tidak memerlukan permit KDN) dengan pelbagai nama sehingga 50 judul. Antaranya ialah Haraki, Alternatif, Reformasi, Memo dan Bebaskan. Saya hanya pernah menghantar rencana untuk Bebaskan dan tersiar. Rupa-rupanya itu artikel saya yang pertama dan terakhir dalam Bebaskan (pada 2001 – tarikh tidak diingati kerana tidak dicatatkan pula pada akhbar berkenaan).
Semasa Lutfi mengendalikan Tamadun dan Detik, serta siri tabloid selain Bebaskan, saya tidak pernah menghantar sebarang tulisan. Belum juga pernah bertentang mata, apatah lagi berjabat tangan dengannya dan mula berkawan.
Masih segar dalam ingatan, pertama kali saya melihat Ahmad Lutfi secara live (menggunakan istilah popular anak muda yang bermaksud di depan mata) sewaktu dia berjalan (ketika itu dia masih sihat dan tidak bertongkat) bersama-sama keluarganya melintasi khemah peserta sebuah acara seni di Balai Seni Lukis Negara (sekarang Balai Seni Visual Negara), Jalan Tun Razak. Saya sedang berbual dengan seorang rakan yang bertugas di khemah pempamer itu.
Oleh kerana mengenali wajah orang yang bernama Ahmad Lutfi Othman ini, saya berhenti berbual dan memandangnya. Dia hanya tersenyum sambil melangkah pergi. Saya membalas, kemudian menyambung perbualan dengan rakan saya tadi. Pasti dia tidak mengenali saya. Tidak mengapa. Saya pun bukanlah penulis yang terkenal. Hanya penulis kecil (tubuh pun kecil sahaja).
Maaf, saya tidak mengingati langsung tarikh peristiwa tersebut. Kemudian – juga tidak mengingati tarikhnya – saya melihat Lutfi secara live buat kali kedua. Anak kelahiran Jitra, Kedah itu duduk agak jauh dan juga memandang saya sambil tersenyum. Namun demikian, saya tidak sempat membalas kerana ketika itu sedang bercakap mengendalikan (sebagai pengacara) majlis baca puisi anjuran Pikir, yang dipimpin oleh penulis veteran, Razali Endun.
Saya harap dapat menemui Lutfi selepas majlis berakhir. Namun demikian, hampa kerana telah tiada – mungkin dia pulang awal. Pun begitu, saya yakin, dia mula mengetahui nama saya. Barangkali dia sudah bertanya kepada hadirin siapa pengacara majlis tersebut. Selepas itu, saya tidak lagi menemui (lebih kepada terserempak) mantan pemimpin pelajar Universiti Teknologi Malaysia (1985-1986) yang disingkirkan ini. Tidak lama kemudian, terdengar khabar dia mengendalikan pula tabloid yang menjadi lidah rasmi Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Harakah. Dia bertugas sebagai Ketua Pengarang mulai 2006.
Sebagai penulis buku politik, banyak sekali buku bidang tersebut yang ditulisnya sebelum 1998. Walau bagaimanapun, selepas itu tiada lagi buku sentuhannya, kecuali kompilasi rencana Catatan Hujung yang diterbitkan dalam tiga siri, Catatan Hujung, Detik Utopia dan Pencuri Pilih Anjing.
Kerjaya Lutfi bermula sebagai pemberita Harakah yang ketika itu diketuai oleh Zin Mahmud sebagai pengarang. Zin kini merupakan Pengarang Mingguan Malaysia. Pada 26 April 2010, Lutfi menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras. Sudah tiga kali dia menjalani rawatan jantung, termasuk membuat prosedur angioplasti untuk membuka saluran jantungnya yang tersumbat. Pada 1990-an, Lutfi menulis pelbagai artikel dalam majalah Dunia Islam, yang juga diterajuinya. Dia mula menulis kolum sendiri, iaitu Catatan Hujung, di halaman terakhir makalah. Kolum atas nama yang sama dibawanya ke majalah Tamadun, Detik dan akhbar Siasah serta akhir sekali Harakah.
Lutfi memang tidak pernah menyertai pilihan raya di Malaysia dan tidak memegang jawatan penting dalam parti tetapi sentiasa berada di barisan hadapan PAS. Akhbar tabloid, dengan judul pelbagai, diedarkan satu demi satu, khususnya menjelang pilihan raya.
Maklumat rasuah berkait Menteri Besar Selangor ketika itu, Dr Mohamad Khir Toyo didedahkan secara meluas. Akhbar Memo yang menyiarkannya dirampas pihak polis di kilang percetakan di Shah Alam. Beliau begitu nekad dan berani sekali. Lutfi semakin popular, tetapi saya memang mendengar berita dia kerap sakit – dipercayai akibat disihir, kata orang. Dia jatuh sakit sejak 2001. Syarikat penerbitannya terpaksa ditutup kerana pengedar yang enggan dan lambat membayar. Biasanya majalah dihantar dahulu dan bayaran dipungut kemudian. Jika tidak terjual, bolehlah dikembalikan naskhah yang tinggal. Sepatah kata luahan kecewa Lutfi: “Rupanya dalam banyak keadaan, KDN sukar mematikan semangat saya untuk menulis dan menerbit, tetapi sikap pengedar, termasuk rakan-rakan yang culas bayar hutang, berdolak-dalik ... itu semua cukup mengecewakan saya.”
Pada 2004, Lutfi kembali ke dunia kewartawanan setelah sihat semula. Dia menjadi editor mingguan Siasah pula. Tabloid itu hidup lama tanpa gangguan KDN kerana keakraban Mohd Sayuti Omar dengan kepimpinan politik semasa.
Siasah tidak terbit lagi sekarang. Sudah lama hilang menjadi sejarah. Kelicikan kerajaan Umno-BN menyebabkan tabloid popular itu mati. Saya lupa sama ada pernah menulis ke Siasah atau tidak semasa Lutfi mengendalikannya. Yang saya ingat, ada artikel saya yang pernah disiarkan.
Namun begitu, saya memang kerap menulis ke Harakah sejak zaman Reformasi dan artikel pernah tersiar beberapa kali – tidak dalam setiap keluaran. Artikel pertama saya tersiar ialah “Puisi: Cabaran dan Masa Depan” dalam keluaran 11 September 1998. Saya tidak tahu siapa editor ketika itu. Pada waktu itu, saya belum serius menulis. Tidak seserius sekarang. Cuma, memang mengharapkan setiap artikel yang dihantar akan disiarkan. Ketika itu juga, saya tidak menghantar artikel mengikut deadline seperti sekarang – sejak dua tiga tahun kebelakangan.
Ketika itu, saya sudah memperoleh nombor telefon bimbit Lutfi daripada rakan. Oleh kerana sudah “kepenatan” artikel kerap tersisih, saya menghantar mesej menerusi SMS kepadanya untuk mengadu hal – mengadu nasib juga. Reaksi ayah kepada Ahmad Luqman Hakim ini mengejutkan saya. Tanpa memperlekeh atau mengatakan artikel saya tidak berkualiti, Lutfi terus meminta saya mengirim terus artikel kepadanya menerusi emel peribadi.
Sejak itu, tanpa diduga dan dirancang sama sekali, orang yang langsung tidak mengenali saya sebelumnya, mula berjasa besar kepada saya. Tiada lagi artikel saya yang tersingkir. Ketika itu, Harakah terbit dua kali seminggu.
Walau bagaimanapun, artikel saya hanya mengisi keluaran hari Isnin sahaja. Saya juga diminta oleh Lutfi agar menulis artikel mengenai sastera budaya kerana penulis lain menulis hal politik.
Cuma sesekali saya boleh menulis mengenai politik tanah air. Saya masih ingat SMSnya kepada saya – lebih kurang begini, “Menarik kalau enta ulas filem.” Sesekali memang saya mengulas filem terbaharu dan menghantarnya ke Harakah. Saya menurut “perintah” itu hinggalah akhirnya tidak lama kemudian artikel saya disiarkan dalam setiap keluaran Harakah. Saya mula menjadi semacam kolumnis. Selain filem, saya juga mengulas soal bahasa Melayu, lagu dan juga isu-isu sastera budaya tanah air semasa.
Lutfi pernah beberapa kali memberitahu saya bahawa dia berminat dengan artikel yang berbentuk analitikal. Katanya, tidak semua orang suka membaca berita. Saya memahami kehendak dan kecenderungannya itu kerana dia penulis buku yang tentu sekali sentiasa perlu membuat analisis.
Keadaan itu berterusan walaupun Lutfi kembali diganggui masalah kesihatan. Namun begitu, kekerapan terpaksa mengambil cuti tidak begitu memberi masalah kepada artikel saya. Lutfi seperti memastikan artikel saya mesti ada dalam setiap keluaran Harakah (meskipun sekali dua tersisih juga).
Pernah sekali dua Lutfi meminta saya menghantar artikel pada saat deadline hampir tamat. Melepasi jam 12 tengah malam, malah melebihi jam 1 pagi. Mujur saya belum tidur dan ada artikel simpanan. Justeru, pernah dua artikel saya tersiar sekali gus dalam satu keluaran.
Sepanjang perkembangan itu, saya berpeluang mengenali Lutfi lebih dekat. Baik dalam acara sambutan Aidilfitri anjuran PAS dan Harakah, atau pertemuan editorial dengan penulis luar, kunjungan tidak rasmi ke pejabatnya (ada kalanya terserempak) dan sembang-sembang santai di restoran, saya semakin banyak berbual dengannya. Sekali dua sempat juga saya menziarahi Lutfi di rumahnya semasa dia cuti sakit. Saya mengakui tidak pernah menelefonnya ketika dia sakit atau sihat, kerana saya memang sukar, tidak “rajin” dan “suka” menelefon siapa pun (melainkan terpaksa).
Walau bagaimanapun, saya kerap menghantar SMS bertanya khabar dan hal-hal lain. Sudah menjadi kebiasaan saya memanggilnya “Tuan” dalam SMS dan ketika bersemuka. Kini, Lutfi bukan lagi Ketua Pengarang Harakah. Lantaran masalah kesihatan, dia diberi jawatan lain yang langsung tiada kaitan dengan isi kandungan tabloid itu. Sejak kebelakangan ini, penyakitnya semakin kronik dan dia mendakwa sudah menjadi penganggur kerana semua kerja terpaksa ditinggal/tangguhkan.
Kali terakhir saya bertemu dan berbual dengan Lutfi ialah ketika datang ke pejabat Harakah untuk bertemu dengan wartawan Arif Atan pada 1 September 2015. Saya dan Arif terserempak dengan Lutfi dan Taufek Yahya di bawah pejabat. Lutfi, saya lihat naik ke ruang kerjanya. Kecuali Taufek, Arif mengikut saya dan kami berbual banyak perkara kira-kira sejam sebelum dan selepas solat Zuhur. Antaranya, mengenai polemik himpunan Bersih 4.0 pada 29 dan 30 September 2015.
Memang ada dua tiga kisah lain antara saya dengan Lutfi sepanjang berhubung dan bersahabat. Namun begitu, ia terlalu peribadi untuk diceritakan. Biarlah hanya dia, saya dan Allah SWT sahaja yang tahu.
Yang pasti, Lutfi memang seorang rakan yang sangat baik dan prihatin. Seboleh mungkin dia akan menolong rakan-rakan yang dalam kesusahan. Cuma, saya faham dia tidak suka orang yang dibantunya itu “tidak tahu diri” atau “tidak tahu diuntung”. Beliau sering mengungkapkan: “Dengan kuasa, pengaruh, kedudukan dan wang yang terbatas, kita mungkin tidak mampu untuk menolong ramai orang di sekitar kita, tetapi jangan sesekali – sudahlah tidak berupaya meringankan orang – kita menganiayai walaupun seorang.” Dan saya tentu sahaja, insya-Allah tidak akan melupainya hingga ke akhir hayat. Untuk segala yang telah diberikannya, saya sangat berterima kasih.
Meskipun Lutfi tidak lagi berkuasa menentukan isi kandungan Harakah, hayat saya sebagai kolumnis tabloid itu masih ada hingga kini. Semuanya kerana berkat keprihatinan, serta peluang dan bimbingan yang diberikannya sepanjang saya menulis di Harakah. Semoga Lutfi kembali pulih daripada apa sahaja penyakit yang dihidapinya. Dunia politik tanah air masih memerlukan penulis serta penganalisis dan pengamat yang tajam seperti Lutfi demi kebaikan semua, terutamanya pembangkang.
Terima kasih, Tuan Lutfi!
..........................................................................................................................................................
Artikel ini petikan dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas,untuk mendapatkan buku tersebut dengan harga istimewa ,sila WhatsApp/Hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291

No comments