Buku Lutfi

Ruang sastera-budaya tamat selepas Lutfi berhenti?

Oleh RAZALI ENDUN

SOSOKNYA tegap dan gagah. Tingginya kira-kira 5 kaki 6 inci. Dia kerap tersenyum walaupun dalam keadaan serabut. Tutur katanya penuh berhemah.

 Jarang sekali dia mengeraskan suaranya ketika bercakap. Dia mudah bergaul dengan sesiapa sahaja.

Namun hatinya cekal dan yakin atas perjuangannya. Dia tidak betah berhadapan dengan ketidakadilan. Dia adalah salah seorang yang gigih memperjuangkan kebebasan akhbar dan membantah kuat segala kongkongan serta peraturan karut-marut KDN, khususnya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Beliau pernah ditahan di bawah akta dakronian, ISA kerana memperjuangkan kebenaran dan menuntut kebebasan bersuara.

Saya mula-mula mengenali Ahmad Lutfi Othman sekitar akhir tahun 90-an. Saya mula berkenalan melalui buku-buku politik yang ditulisnya. Beliau adalah salah seorang penulis buku politik yang prolifik bersama-sama Mohd Sayuti Omar dan Syed Hussein Al-Atas.

Buku-buku politik pada satu ketika dahulu sangat berpengaruh di kalangan ahli politik. Ketika pilihan raya umum dan pemilihan kepimpinan Umno, buku-buku politik sangat laris di pasaran.

Lutfi kemudiannya mengendalikan majalah Wasilah, dan sebelumnya majalah Detik. Saya pernah hantar bahan tulisan kepada majalah tersebut ketika beliau menjadi editornya. Malangnya permit majalah Wasilah tidak dilanjutkan tanpa apa-apa alasan yang munasabah. Kementerian Dalam Negeri enggan melanjutkan permit majalah tersebut, mungkin kerana pemikiran dan tulisan-tulisan beliau amat kritikal terhadap kerajaan.

Oleh kerana tidak berpuas hati dengan tindakan KDN maka beliau telah mengadakan protes, antara lain dengan memikul keranda olok-olok sebagai simbol matinya kebebasan akhbar di negara ini.

Lutfi juga mengetuai pertubuhan NGO yang dinamakan KAMI sebagai medium membantah akta yang mengongkong media dan tindakan rampasan-ugutan ke atas rangkaian pengedar. Beliau kemudiannya mengemudikan majalah Tamadun di samping menerbitkan majalah tidak berkala dengan pelbagai jenama. Jualan majalah Tamadun ketika puncak krisis Mahathir-Anwar menjangkau lebih 150,000 naskhah.

Majalah Tamadun menjadi penantian orang ramai ketika krisis politik itu kerana ia melaporkan berita dan tulisan yang menongkah arus daripada akhbar-akhbar dan majalah-majalah arus perdana. Pembaca mahukan berita dan tulisan-tulisan di sebalik muka surat.

Mereka berasa jemu disogokkan dengan berita-berita sebelah pihak yang berbentuk mengampu. Fenomena ini dapat dimanfaatkan oleh majalah Tamadun, yang berjaya membawa kelainan dalam pendekatan pengisian tulisan-tulisannya.

Saya juga pernah menulis dalam majalah Tamadun. Apabila majalah itu diambil balik oleh tuan punya permitnya, saya diminta menjadi editornya hinggalah majalah itu ditutup kerana pelbagai masalah. Lutfi kemudiannya menyertai semula penerbitan di bawah Harakah, pada 2005. Dia diamanahkan menerajui akhbar mingguan Siasah – milik Sayuti Omar tetapi diurusterbit oleh Harakah – yang dikendalikannya sangat baik. Saya juga pernah menulis dalam Siasah. Tidak sampai setahun mengetuai Siasah, Lutfi diminta pimpinan

Lutfi merancakkan kembali ruangan sastera dalam akhbar tersebut, dan ternyata mendapat sambutan ramai para penulis dan sasterawan tanah air.

Ramai sasterawan tanah air yang telah mencipta nama dalam alam persuratan menulis dalam ruangan sastera ini. Hassan Basri Budiman, Fuzi Hadi, Jamaluddin D dan ramai lagi, antara yang menyumbang dalam ruangan ini. Lutfi pernah mempertahankan supaya ruangan sastera akhbar tersebut dikekalkan walaupun beberapa pemimpin PAS yang mahu memansuhkan ruangan tersebut.

Beliau berpendapat bahawa sastera memainkan peranan yang penting dalam dunia politik, kerana pengaruh sastera tidak boleh dikesampingkan. Novel Shit oleh Shahnon Ahmad dan novel Interlok karya Abdullah Hussein adalah bukti betapa sastera bisa menggemparkan dunia politik tanah air. Amatlah rugi dunia politik kalau tidak disokong oleh para sasterawan.

Lutfi mengalami keuzuran pada akhir-akhir perkhidmatannya di Harakah. Selain menghidap kencing manis, darah tinggi, jantung dan kegagalan buah pinggang, beliau pernah menjalani pembedahan pintasan jantung.

Akhirnya pada awal 2015, khabarnya beliau telah diberhentikan perkhidmatannya sebagai ketua editor Harakah kerana masalah kesihatan.

Setelah beliau dipindahkan ke bahagian lain – bukan lagi editorial – ruangan sastera dalam Harakah turut ditamatkan sama.

Ali Bukhari Amir yang diamanahkan oleh Lutfi mengendalikan ruangan itu turut ditamatkan perkhidmatannya. Maka Harakah kini tempang tanpa sastera kerana ianya hanya diisi dengan tulisan-tulisan berbentuk propaganda kepartian sahaja. Tidak lagi disulam dengan tulisan-tulisan kreatif seni sastera.

Amat rugi sekali PAS mengambil keputusan sedemikian. Ini bererti pengarang-pengarang sastera yang kritis terhadap kerajaan tiada saluran lagi untuk menyalurkan tulisan mereka bagi mengkritik kerajaan.

Lutfi kini tidak lagi mampu menulis kerana tahap kesihatannya yang semakin merosot. Sebenarnya beliau sudah tidak berkarya sejak Oktober 2014 ketika krisis MB Selangor hangat diperdebatkan.

Namun saya percaya daya juangnya untuk menegakkan keadilan dan membantah kezaliman tetap tersemat kuat di dalam sanubarinya.Kita percaya fikiran serta pandangannya tetap bernas dan pastinya akan dinukilkan melalui tulisan-tulisannya nanti. Kita menunggu buku politik terbarunya.
Al- Fatihah buat  Penulis Razali Endun( 16hb Febuari 2017)- Admin
...............................................................................................................................................................
Artikel ini petikan dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas,untuk mendapatkan buku tersebut dengan harga istimewa ,sila WhatsApp/Hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291











No comments