Buku Lutfi

Kekosongan yang ditinggal Ahmad Lutfi

Oleh PYANHABIB RAHMAN

 SAYA tidak kenal Ahmad Lutfi Othman tetapi saya tahu siapa itu ‘Ahmad Lutfi Othman.’

Hinggalah pada suatu siang dalam tahun 1998, saya kaget apabila seorang kawan beritahu bahawa orang yang saya bersalam semasa berselisih bahu di kaki lima Medan Idaman, Gombak siang itu ialah Ahmad Lutfi Othman, penulis yang tulisan-tulisannya, buku-bukunya, majalah-majalah kelolaannya, saya baca.

Dan saya lebih kaget apabila diberitahu bahawa Ahmad Lutfi itu sebenarnya adik kepada penggiat teater, penulis-penyair Dinsman, sahabat yang saya sudah kenal sejak berpuluh tahun itu. Ahmad Lutfi Othman adik Dinsman? Ohh!

II

Nama ‘Ahmad Lutfi Othman’ yang khas ini sebenarnya sudah lama melintas masuk dalam ingatan saya. Nama ini saya ikuti melalui beberapa tajuk buku-majalah yang halal KDN, lama sebelum zaman Reformasi. Saya tahu Ahmad Lutfi seorang yang kritikal sejak zaman pelajar dan pernah ditahan ISA susulan pembelaannya terhadap siswi berpurdah UTM serta keberaniannya lawan menteri. Akan tetapi saya lebih mengenali Ahmad Lutfi Othman melalui tulisan-tulisannya yang berani, kritis dan sedap dibaca.

Ahmad Lutfi bukan hanya seorang penulis yang tekun menulis hal-hal kritis yang menyentuh peristiwa politik dan politikus negara semata tetapi juga seorang aktivis yang bergerak memasuki langsung ke lapangan. Dalam beberapa perhimpunan-demonstrasi-solidariti, saya sempat melihat betapa dalam uzur dan bertongkat, Ahmad Lutfi tetap bersemangat memasuki lautan manusia berunjuk rasa di pusat bandar raya Kuala Lumpur dalam pelbagai isu.

Dari jauh saya tahu, Ahmad Lutfi seorang yang sangat mengambil berat terhadap kebajikan orang-orang terpinggir, mangsa perobohan kediaman oleh pemaju atau bersolidariti bersama keluarga mangsa tahanan tanpa bicara, ISA. Malah dalam uzurnya, Ahmad Lutfi dilihat hadir dalam beberapa program di pekarangan balai polis, bersolidariti bersama para siswa.

III

Pada zaman Reformasi, Ahmad Lutfi Othman adalah nama yang kekal diingat dan tersangat khas melalui beberapa penerbitan berkala yang berani, yang halal KDN.

Sehinggalah pandangannya yang tersangat khas dan sentiasa kritis itu diperhati dan tulisan-tulisannya diawasi malah dia dicurigai dan diekori. Tiba pada peringkat, atas apa sahaja tajuk, tulisan dan penerbitan Ahmad Lutfi menjadi tabu dan tidak diberi tanda halal KDN.

Berdepan pelbagai halangan, Ahmad Lutfi terus cekal dan terus berani, dia tidak berdiam diri. Dia terus bergerak dengan berpuluh penerbitan tidak berkala dan buku-buku. Ahmad Lutfi tekun mengerjakan tulisan dengan pelbagai tajuk hinggalah beberapa minggu selepas PRU12, tulisan-tulisan kritis Ahmad Lutfi Othman yang mengupas hal-hal politik tanah air tidak lagi kedapatan bergantungan di kedai-kedai penjual akhbar.

IV

Ya, beberapa minggu selepas PRU12, saya pernah bertanya kepada Ahmad Lutfi melalui SMS betapa suasana selepas PRU12 tidak lagi meriah, tidak seronok, seakan kosong dan tidak terisi. Ahmad Lutfi bertanya kenapa?

Saya katakan bahawa berita-berita kritis tentang politik tidak lagi meriah seperti sebelum itu, manakala berita yang dimainkan akhbar arus perdana tidak syok dibaca. Ketika mengirim SMS itu saya berulang-alik dan melilau dari satu kedai ke satu kedai penjual akhbar hanya untuk mencari penerbitan tidak berkala Ahmad Lutfi Othman!

Rupa-rupanya di masa ‘kekosongan’ itu, kesihatan Ahmad Lutfi terganggu.

V

Hari ini, iaitu selepas era Ahmad Lutfi, kita kekosongan penerbitan makalah-majalah khusus yang memperkatakan politik dan politikus Malaysia.

Mengkesampingkan portal berita, apa yang ada hari ini – jika ada pun – hanyalah hal-hal politik lebih berupa ulasan sambil lalu yang baik-baik dan jalan selamat untuk cari makan.

Bidang kewartawanan Malaysia bukan arus perdana sudah tentu mengingati Ahmad Lutfi Othman sebagai pengasas Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI). KAMI satu-satunya NGO media yang memperjuang dan mempromosikan kebebasan akhbar.

Hari ini, ya hari ini, kalaulah ada penerbitan halal KDN (atau haram) menerbitkan majalah-makalah berkala dan tidak berkala seperti apa yang pernah dilakukan Ahmad Lutfi, alangkah seronoknya.

Ya, alangkah seronoknya dan alangkah meriahnya jika kedapatan mereka yang punya keberanian seperti Ahmad Lutfi. Berani menekuni bahan bacaan bercetak dengan grafik gambar yang tidak disiar di media arus perdana, mengupas isu-isu besar negara, membongkar telatah politik dan politikus dalam pentadbiran negara yang penuh hipokrit dan penuh tipu daya ini!

16 Disember 2015

PYANHABIB RAHMAN, penyair tersohor dengan gaya tersendiri-istimewa, juga pelakon berbakat.
...............................................................................................................................................................
Artikel ini petikan dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas,untuk mendapatkan buku tersebut dengan harga istimewa ,sila WhatsApp/Hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291




















No comments