Buku Lutfi

Mengenali roh Pak Tam

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

TAHUN 2004, sebenarnya kami sudah bertemu, sebelum beliau masuk secara rasmi semula ke gerbang Harakah. Ketika itu (tahun 2004), saya dan beliau diletakkan ke Unit Khas Isu bersama kartunis Zunar, sisipan Harakah untuk kempen PRU11.

Dari situlah saya mengenal insan bernama Ahmad Lutfi Othman. Walaupun sebelum ini, saya biasa sahaja membaca helaian makalah Memo dan siri tabloid tanpa permit KDN, juga akhbar Cabaran, serta majalah Detik, Tamadun dan untaian tulisannya di Harakah ketika beliau bersenggama dengan Harakah pada tahun-tahun sebelum saya berkhidmat dengan lidah rasmi PAS itu.

Langkah kakinya ketika itu sangat laju; tidak terduga akal, kadang-kadang beliau mencipta satu teori yang bertentangan dengan firasah biasa kita. Bukan kerana beliau nujum, jauh sekali beliau bomoh mahupun tabib. Cuma pengamatan politiknya jauh ke depan, bukan bersendikan andaian dan sangkaan semata-mata, tetapi berlatarbelakang fakta dan sokongan berasas. Kerap juga analisisnya tidak disenangi, bukan oleh elit pemerintah, malah bidasannya sukar diterima rakan-rakan dalam jemaah.

Langkah politiknya dibuai dan tuntas mendominasi aliran alternatif tatkala kes perang terbukanya dengan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo dalam isu skandal rasuah dan salahguna kuasa.

Dia bukan hanya melaporkan berita dan mendedahkan kontroversi tetapi turut membuat siri laporan rasmi ke ibu pejabat BPR (sekarang SPRM) di Putrajaya dan Shah Alam. Malah Lutfi turut berceramah isu sama dalam kempen pilihan raya kecil di Perlis dan Anak Bukit, Kedah (termasuk berpidato atas pentas PAS di sebelah rumah Khir di Simpang Lima, Tanjong Karang), serta menerbitkan video khas pendedahan kes korupsi Khir, juga menganjurkan forum di hotel.

Susulan itu, dibenamnya Lutfi ke dasar undang-undang, diheretnya permainan ‘magika’ yang kuat persandaran ilmu bukan kalam Allah.

Pintu keretanya, Unser, juga pernah dipecahkan. Paling tragis, hampir 50,000 naskhah tablod Memo14 yang mendedahkan salahguna kuasa Khir dirampas KDN di kilang percetakan sebelum sempat diedarkan. Entah apa lagi dikenakan ke atas batang tubuh yang tidak sesado mana, malah sesekali tersembam menutuh longkang tatkala susunan langkahnya sedikit tidak teratur.

Awal tahun 2005 mencatat semula lipatan sejarah Lutfi, apabila menyertai semula Harakah untuk menggantikan Haji Shuhaimi Mokhtar yang berhenti selepas setahun mentadbir Jabatan Editorial Harakah.

Ketika kemasukannya itu, saya adalah Ketua Wartawan. Menjadi teman sepermainannya dalam menongkah arus massa, apatah lagi waktu itu, Harakah mula merosot jumlah edarannya. Lutfi datang dengan seribu idea perubahan dan penyegaran. Beliau kerap berkongsi idea, impian, cita-cita, malah keresahan dan kebimbangan tentang masa depan Harakah.

Ketika itu juga Siasah, sebuah tabloid politik yang diterbitkan Harakah sedang diusahakan oleh Lutfi untuk dimajukan. Merintis jalan untuk mendulang emas politik yang lebih terbuka sifatnya, selain mengisi vacuum yang ditinggalkan Harakah, apabila hanya dibenarkan KDN berada di pasaran setiap 15 hari sekali.

Walaupun Lutfi nampak selesa di Siasah, yang dibidaninya sejak keluaran sulung, namun sentuhan dan kepakarannya ketika itu sangat diperlukan Harakah untuk mengembalikan semula mood pembaca untuk membeli akhbar pilihan ramai tersebut. Langkah drastik diambil Lutfi ialah menambah lapan halaman Harakah serta memberi ruang kepada tokoh-tokoh masyarakat di luar PAS (misalnya Tan Sri Ainuddin Wahid, Prof Emiritius Abu Bakar Hamid, Tan Sri Bashir Ismail), serta memperkenalkan sisi-sisi kehidupan menarik pemimpin parti. “Akhbar parti tak seharusnya sendat dengan berita politik sahaja, harus diimbangi dengan cerita-cerita santai yang melegakan fikiran,” kata Lutfi.

Masalah yang sama, akibat kongkongan KDN dan segala macam sekatan, Harakah berdepan zaman penurunan yang ketara, malah selepas kekalahan Pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-11, maka ia juga memberi kesan kepada penjualan Harakah.

Lutfi atau lebih mesra disapa sebagai Pak Tam dalam kalangan kakitangan, masuk semula ke Harakah dengan harapan untuk meningkatkan jualannya. Penulis selaku Ketua Wartawan Bilik Berita ketika itu menjadi teman rapatnya untuk bersama-sama mengayuh bahtera Harakah bagi mencapai semula sasaran yang dikehendaki.

Berbulan lamanya kami melalui sepak terajang politik, membawa impian dan harapan pembaca untuk mengembalikan semula keyakinan orang ramai bahawa akhbar alternatif ini harus mencapai semula maksudnya.

Menjelang PRU2008, Harakah semakin menjadi pemain utama dalam industri penerbitan. Mencapai jualan hingga 170,000 pada satu masa dan terkadang hanya turun sekitar 150,000 kemudian bersilih ganti angkanya.

Ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi diheret ‘sebagai pesalah’ oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha bekas Perdana Menteri keempat itu menjatuhkan Pak Lah, Harakah antara yang paling terkehadapan melaporkan kemelut itu. Lutfi sendiri melaporkan dari medan banyak program ceramah Mahathir. Beliau sendiri turun ke majlis pidato Mahathir membelasah Pak Lah, antaranya di Taman Melawati, Damansara, Kota Bharu dan Alor Setar. Ketika Dr Mahathir disembur dengan cecair yang merbahaya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada pukul 11 pagi, 28 Julai 2006, Lutfi menjadi saksi matanya.

Lutfi begitu berminat sekali dengan isu-isu yang membabitkan skandal rasuah mahupun penyelewengan. Inilah nadi hidupnya. Penulis diasuh bagaimana mencerakinkan ilmu politik dan penulisan untuk memanfaatkan isu-isu di hadapan mata bagi menggariskan suatu gerak kerja penulisan yang akhirnya memberi manfaat kepada semua.

Inilah ilmu yang diberikan Lutfi kepada penulis, dan hingga kini Lutfi masih lagi memberi kata nasihatnya kepada penulis. Kami sejak tahun 2005 lagi bersama-sama melalui detik sukar dan senang.

Menaiki kereta ke Pulau Pinang, ke Kedah, ke Melaka, Johor, Negeri Sembilan, menaiki kapal terbang ke Kelantan, Sabah dan serata tempat telah kami jelajahi bersama seorang rakan penulis, Azamin Amin yang begitu dekat dengan Lutfi sebelum ini. Lutfi tidak puas menunggu berita di kantor; beliau mahu merasai sendiri “ratap tangis derita umat”, dan isu-isu itu sering dijadikan modal untuk Catatan Hujung.

Walaupun berada jauh dari Kuala Lumpur, seperti Pengerang, Johor ataupun Tawau, Sabah, Lutfi tetap memantau persiapan akhir Harakah sebelum dicetak. Kalau boleh, dia mahu memastikan setiap halaman Harakah bersih daripada kesilapan teknikal. Tidur sebilik dengannya di kamar hotel, saya menyaksikan sendiri, sehingga azan Subuh dilaungkan, Lutfi belum tidur dan sibuk membuat panggilan telefon, berhubungan dengan artis grafik, membetulkan layout Harakah.

Beliau menyedari banyak lagi kelemahan Harakah yang mesti diperbaiki segera. Impiannya menggunung terhadap potensi Harakah; bukan sekadar organ parti tetapi akhbar alternatif berwibawa dan dihormati ramai. Selalu dia berpesan: “Harakah umpama muka wajah kita, ke mana saja kita pergi kita membawa muka ini. Elok Harakah, tampanlah wajah kita. Masakan kita bersedia ke sana sini jika wajah kita banyak cacat-celanya.”

Lutfi mendidik dan mengasuh kami berdua untuk menjadi wartawan yang turun ke lapangan masyarakat. Menceritakan kesedihan rakyat, mencari nilai tambah dengan mendapatkan bahan-bahan berita yang segar, bukan copy paste. Tahun 2014 Lutfi semakin tidak sihat, sebelum ini beliau pernah melalui detik sukar iaitu berdepan pembedahan pintasan jantung pada 2010 dan diserang berulang kali angin ahmar (serangan strok kali kedua dialaminya ketika kami dalam perjalanan pulang dari membuat liputan di Johor, menjelang PRU13, dengan jadual sendat dan amat sibuk). Jalannya perlahan dan terpaksa bertongkat.

Kali ini beliau melaluinya sekali lagi. Tahun 2014-2015 juga mencatat kesedihan buatnya apabila keadaan penglihatan matanya semakin merosot ekoran diabetes, dan paling membimbangkan, adalah jangka masa agak panjang apabila beliau terus terlantar uzur di rumahnya. Tidak lagi mampu membaca dan menulis – degup jantung kehidupannya. Lebih serius apabila Lutfi dikesan mengalami kegagalan fungsi buah pinggang yang teruk. Setahun sebelum menjalani rawatan hemodialisis, Lutfi tidak mampu lagi menulis.

Melalui detik kesedihan dalam hidupnya. Kini beliau adalah Ketua Pengarah Jabatan Latihan dan Pembangunan Kewartawanan Harakah. Jasa baktinya akan terus disumbangkan buat akhbar parti ini. Bersama teman-teman rapat dan seperjuangan walaupun telah ada yang meninggalkan akhbar ini, namun Lutfi masih bersamanya. Ayuh doakan beliau terus istiqamah dan terus sihat untuk perjuangan Islam ini.
..........................................................................................................................................................
Artikel ini petikan dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas,untuk mendapatkan buku tersebut dengan harga istimewa ,sila WhatsApp/Hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291

No comments