Kata Pengantar: Buku Parti Amanah Negara
Oleh Ahmad Lutfi Othman
ALHAMDULILLAH, buku tentang Parti Amanah Negara ini dapat disiapkan juga. Meskipun kerap terhalang kerana keuzuran dan dalam masa sama menghadapi kesukaran mengumpulkan tulisan daripada rakan-rakan wartawan, sarjana dan pemimpin Amanah sendiri, akhirnya ia mampu dilunaskan.
Amanah adalah sebuah parti Islam yang sering disalahtanggap, dan dilabelkan dengan bermacam-macam panggilan yang negatif. Sudah tentu kemunculannya tidak diraikan oleh Pas, malah dianggap pengkhianat yang perlu dihapuskan, dan dalam masa sama, kewujudannya juga mungkin tidak begitu dialu-alukan oleh rakan sekutu dalam pembangkang. Amanah juga tidak mempunyai nama-nama besar dan tersohor, seperti parti-parti serpihan Umno, iaitu Semangat 46, Keadilan dan Bersatu. Ia dipandang lekeh dan diramal mempunyai hayat pendek sepertimana parti Hamim dan Berjasa.
Namun, latar belakang para pengasas parti Islam ini, berdasarkan komitmen, kegigihan dan ketulusan mereka bersama Pas dahulu, dengan kesediaan untuk membentuk wadah baru yang inklusif, peduli, terbuka, sederhana dan progresif, menjanjikan Amanah sebagai parti masa depan yang berpengaruh dan berintegriti. Barisan pemimpinnya yang teruji dengan rantaian tribulasi yang mematangkan, didukung para penyokong yang istiqamah, setia tetapi kritis, juga diasuh dengan adab akhlak yang baik.
Amanah juga berpeluang untuk menjadi parti Islam yang lebih baik apabila ia nampak mampu menimba iktibar daripada jatuh-bangunnya Pas dan memanfaatkan pengalaman lama dalam eksperimen berpolitik parti-parti pembangkang. Ia berusaha keras dan diiktiraf sebagai tenaga pemersatu oposisi, walaupun terpaksa banyak berkorban demi cita-cita luhur membebaskan tanah air daripada cengkaman Umno-BN. Sungguh, kejujuran dan ketulusan pemimpinnya menyerlah, terutama bagi menentukan agenda perubahan dan pembaharuan yang didamba rakyat dapat dicapai.
Supaya buku ini mampu menawarkan maklumat dan sudut pandang yang bermanfaat kepada pembaca, saya menghimpunkan siri wawancara dengan pelbagai lapis kepemimpinan, bagi mendengar sendiri idea, tanggapan dan wawasan mereka. Soalan dilontarkan mungkin ada yang berulang tetapi dijawab oleh pemimpin berbeda dengan penekanan berlainan. Bukan sahaja untuk mematahkan tohmahan dan menyanggah usaha terancang memperkecilkan Amanah, tetapi juga bertujuan mendedahkan misi dan visi besar parti Islam berdepan cabaran masa depan yang lebih rumit. Amanah bukan sekadar mencari pengaruh dan kuasa, tetapi berperanan besar membawa misi islah dan tajdid, meneroka makna sebenar progresif dan kesederhanaan, dengan Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin.
Antara persoalan yang kerap dilemparkan, wajarkah ditubuhkan sebuah lagi parti Islam selepas wujud Pas sejak sekian lama? Apakah Amanah hanya berbeda dengan Pas, daripada segi pendekatan dan gaya berpolitik, iaitu kewujudannya sekadar Pas 2,0?
Benarkah pengasas Amanah merupakan golongan yang kecewa kerana kalah dalam pemilihan Pas 2015?
Benarkah Amanah nenganggap Pas adalah seteru kuatnya, sepertimana Pas menganggap Amanah perlu “dibunuh” demi survivalnya?
Golongan asatizah tiada tempat dalam Amanah dan kedudukan Majlis Penasihat Pakar jauh lebih rendah berbanding Majlis Syura Ulama Pas?
Jika Ustaz Abdul Hadi Awang tidak lagi memimpin Pas, maka Amanah boleh sahaja dibubarkan dan kembali bergabung? Mengapa Amanah begitu mudah menerima Dr Mahathir Mohamad? Apakah tiada syarat ketat untuk Amanah mengadakan kerjasama politik dengan pihak luar? Jika Pakatan Harapan menang PRU14, apa sumbangan Amanah dalam kerajaan baru terutama dari segi memartabatkan agenda Islam, memandangkan jumlah kerusi Parlimen yang diperuntukkannya agak kecil?
Bagaimana Amanah mahu memastikan janji-janji perubahan, reformasi dan pembaharuan dapat dijalankan sebaiknya? Dan sekiranya PH gagal, mungkinkah masa depan Amanah turut gelap dan berkubur?
Mengenali sosok pendiri Amanah sejak lama sehinggalah semasa mengadakan sesi wawancara untuk buku ini, saya terkesan dengan sikap terbuka, berterus- terang dan jujur, serta merendah diri.
Termasuk presidennya Mohamad Sabu, yang sedia mengakui kelemahan dan berbicara dengan bahasa yang mudah, tiada gagasan yang sukar difahami tetapi sarat dengan tekad untuk bersamasama membentuk tamadun baru Islam yang gemilang.
Idea tentang pemerintahan berakhlak, urustadbir yang telus dan berintegiriti, perangi korupsi, sentiasa menjadi basahan lidah. Begitu juga teman-teman pimpinan yang lain, seperti Penasihat Umum, Ustaz Ahmad Awang, yang menjelaskan amalan demokratik dalam pembentukan Majlis Perundingan Pakar dan kesilapan memperuntukkan kuasa yang besar kepada Majlis Syura Ulama Pas. Salahuddin Ayub turut mengimbau pengalaman berharga penuh berhikmah bekas presiden Pas, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor ketika menangani tragedi pemecatan Anwar Ibrahim.
Demi maslahat jangka panjang, Ustaz Fadzil menggalakkan Anwar menubuhkan parti baru berbanding menyertai Pas kerana mahu meraikan penyokong bekas TPM itu yang mempunyai pelbagai latar belakang. Sesungguhnya dihuraikan oleh ramai pemimpin dan penganalisis, bahawa Amanah adalah warisan Pas yang diterajui Ustaz Fadzil dan Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat.
Pengarah Strategi, Dr Dzulkefly Ahmad memberi pencerahan khusus mengenai jati diri Amanah sebagai parti Islam. Sementara Pengarah Komunikasi, Khalid Samad menjelaskan beberapa persoalan asas tentang penubuhan parti baharu sehinggalah polemik agihan kerusi Parlimen PRU14.
Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali membuat unjuran menarik tentang masa depan dan kekuatan Amanah termasuk berupaya menyaingi pengaruh Pas dalam masa terdekat. Beliau turut memberi cadangan bagaimana Amanah harus memposisikan dirinya dalam masyarakat yang sentiasa berubah. Tanda tanya besar tentang peranan Amanah mengisi kelompongan yang ditinggalkan Pas dalam kolisi besar pembangkang juga dijawab. Ramai mempersoalkan fungsi kritikal ini memandangkan jumlah keahlian dan rangkaian cawangan Amanah tidak dapat menandingi Pas.
Aktivis Amanah Kedah, Taib Ahmad mengulas senario akar umbi dan peluang mendekati golongan azatizah dan masyarakat pondok. Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail berbicara tentang pengalamannya menubuhkan parti baharu, sumbangan Ustaz Fadzil yang bukan sahaja banyak membantu tetapi tidak lokek membimbing Keadilan. Gaya berbeda Ustaz Hadi Awang turut disentuh, selain potensi besar pendekatan politik baharu rentas kaum dan agama.
Selain bahagian pertama yang mengkhususkan bicara pemimpin melalui sesi interbiu, bahagian kedua buku ini mengundang pemimpin parti, sarjana dan rakan-rakan wartawan mengemukakan sudut pandang masing-masing. Bekas profesor madya Universiti Teknologi Malaysia, Dr Abd Latiff Ibrahim menyorot panjang lebar tentang gerakan Islam dan parti politik Islam dalam perspektif global dan lokal, serta relevansi kehadiran Amanah. Setiausaha Agung, Anuar Tahir yang pernah membidani dua parti baharu, Keadilan dan Amanah, berkongsi pengalaman menarik, termasuk idea Muslim Demokrat dengan merujuk personaliti tertentu. Hanipa Maidin juga berkongsi cerita sekitar episod awal penubuhan Amanah. Namun begitu, Naib Presiden, Dr Mujahid Yusof Rawa dan wartawan Nazri Abdullah menyingkap secara lebih terperinci susur-galur pengasasan parti ini, yang bermula dengan Gerakan Harapan Baharu (GHB). Pengarah Syariah, Ustaz Zolkharnain Abidin turut menampilkan cerita menarik khususnya tentang kelegaannya keluar daripada Pas! Liku-liku hidup terselindung bekas pimpinan Pas, seperti Mohamad Sabu, Salahuddin dan Mahfuz Omar diungkapkan dalam naratif santai dan bersahaja oleh Dr Muhaimin Sulam. Berdasarkan saksi mata, perwatakan sederhana mereka terserlah.
Adun Hulu Kelang, Saari Sungib, yang terbabit lama dalam bidang dakwah bersama NGO, menurunkan beberapa gagasan menarik tentang usaha memantapkan Amanah sebagai parti Islam berintegriti.
Manakala aktivis muda, Adam Adli Abdul Hamid secara terbuka mencabar kemampuan Amanah untuk mempromosikan Islam yang progresif.
Baginya, idea yang cantik seringkali berdepan dengan praktis yang sukar, apatah dalam situasi masyarakat yang konservatif. Zulkifli Sulong, yang berpengalaman meniti saat-saat perpecahan Pas ketika mengemudi Harakahdaily merumuskan, lebih baik mendirikan parti baharu daripada terus bercakaran dan bertelingkah dalam Pas.
Sementara Zin Mahmud membuat penelitian asal-usul bagaimana kumpulan ulama muda boleh mengalahkan golongan profesional dan aktivis akar umbi dalam pemilihan 2015. Sebahagian mereka adalah anak-anak pemimpin Pas yang progresif!
Budayawan Dinsman yang popular dengan gagasan Tekad Budaya, menaruh pengharapan berbeda kepada Amanah sebagai parti masa depan. Amanah seharusnya meraikan kelompok budayawan-seniman dan tidak menyempitkan kegiatan kepada program politik sahaja. Dan ia sebenarnya telahpun dirintis oleh Tok Guru Nik Aziz dan pemimpin akar umbi Amanah sendiri, antaranya Cikgu Ishak Surin.
Lim Hong Siang mengingatkan, Amanah bermula dengan kekalahan pemimpinnya dalam Pas dulu, jadi diharapkan ia mampu meraih kemenangan selepas ini. Selain menjangkakan bebanan yang diwarisi daripada Pas, terutama dalam konteks non Muslim, Amanah harus mengembangkan potensinya dalam sektor yang belum diteroka, bukan seputar kalangan Pas sahaja.
Bahagian ketiga buku ini diisi dengan koleksi tulisan Ahmad Lutfi Othman, pilihan daripada kolum Catatan Hujung, dalam portal Malaysia Dateline. Tulisan tersebut dihasilkan selepas tidak lagi menjadi ketua pengarang Harakah secara rasmi, bermula Januari 2017. Antara topik yang disinggungnya, sekitar kemampuan Amanah untuk bertahan, jati diri sebagai parti Islam, faktor Mahathir dalam PRU14, proses kematangan Pas yang tersekat, pengalaman politik Ustaz Hadi yang dibazirkan, senarai panjang kuasa PM dan MB yang perlu dicantas.
Bagi membantu pembaca mendapat gambaran lebih menyeluruh tentang penubuhan Amanah, terutama daripada sudut pandang berbeda, bab keempat dikhususkan untuk tulisan penganalisis yang dipetik dari pelbagai penerbitan berbahasa Inggeris, seperti akhbar The Star, The Straits Times Singapura, makalah ISEAS, dan portal berita Malaysian Insight.
Rakaman terima kasih dan penghargaan buat semua penyumbang, termasuk para tetamu yang sedia diwawancara.
Tanpa kerjasama dan sokongan mereka, nescaya buku ini tidak dapat disiapkan. Proses pembikinan kerap tergendala disebabkan keuzuran. Alhamdulillah, ia dimudahkan dengan bantuan rakan-rakan penulis yang menyediakan transkrip, Arif Atan, serta Zin Mahmud dan Dinsman yang tekun menyemak tulisan.
Semoga Allah menerima amal bakti yang kecil ini. Diharap buku ini mampu menawarkan informasi, idea dan pencerahan agar kita semua dapat melihat Parti Amanah Negara dalam kerangka ilmu, bukannya penuh syak wasangka.
AHMAD LUTFI OTHMAN
Taman Bukit Ampang, Selangor 11.50 pagi
19 Februari 2018
..............................................................................................................................................................
Artikel ini petikan dalam buku PARTI AMANAH NEGARA ,untuk mendapatkan buku tersebut dengan harga istimewa ,sila WhatsApp/Hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291

No comments