Buku Lutfi

Mengapa Harakah tidak sesuai untuk Lutfi?

Oleh MOHSIN ABDULLAH

BUKAN Harakah tempatnya buat Ahmad Lutfi Othman. Itu pandangan peribadi saya. Dan ia tidak ada kena mengena dengan isu pemindahan Lutfi – daripada kedudukan tertinggi dalam sidang pengarang kepada kedudukan yang mungkin juga tinggi di bahagian latihan.

Lantas pandangan saya tidak bersandar terhadap persoalan sama ada Lutfi dipindah pengurusan Harakah atas sebab kesihatan atau pun kerana mengizinkan artikel yang dilihat sebagai antikepimpinan Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dalam akhbar yang wajib membela PAS, presiden dan saf pemimpinnya.

Jadi apa sebabnya saya kata apa yang saya kata? Begini.

Lutfi ialah seorang aktivis media independen. Saya antara golongan yang melihat Lutfi sebagai seorang pejuang kebebasan akhbar dan hak bersuara yang pure.

Lutfi mencorak dirinya demikian. Justeru, membabitkan diri dalam pelbagai bentuk pejuangan media bebas termasuk bergiat rancak menerusi KAMI – singkatan Kumpulan Aktivis Media Independen.

Harakah pula sebuah organ parti. Satu penerbitan yang menyaran propaganda PAS – sekali gus bertanggungjawab mempertahan dan mempromosikan parti. Itu antara tugasnya. Tidak ada yang salahnya Harakah serta objektifnya itu. Malah Harakah tidak pernah menyembunyikan hakikat ia media milik PAS.

Cuma bagi saya, mana mungkin atau agak sukar atau jangkal bagi Lutfi, seorang yang berpegang teguh terhadap dasar media bebas, adil serta saksama bertugas di mana-mana organisasi media yang partisan. Satu organisasi media yang memihak. Yang sememangnya ditubuhkan khas untuk memihak kepada pemiliknya. Dalam situasi Lutfi, media itu ialah Harakah milik PAS, sebuah parti politik.

Sebenarnya lawan Harakah ialah penerbitan keluaran ibu pejabat Umno seperti Suara Merdeka (tidak pasti status kewujudannya), Umno online dan sebagainya. Organ parti lawannya organ parti.

Namun iklim politik tanah air khususnya ledakan era Reformasi 1998 mengangkat Harakah ke tahap media mainstream yang menggugat Utusan Malaysia dan Berita Harian – akhbar milik atau pro-Umno tetapi tidak mahu mengaku secara terbuka. Tapi kedua-duanya tidak boleh disimpulkan sebagai organ parti “mutlak”.

Persoalannya, mengapa Lutfi memilih Harakah? Mungkin beliau sayangkan PAS? Atau mungkin beliau mahu membantu Harakah menjadi akhbar untuk semua dan bukan untuk ahli PAS sahaja?

Mahu Harakah bertindak sebagai media arus perdana dan bersaing dengan Utusan dan Berita Harian?

Tetapi realitinya Lutfi pernah bertindak sebaik mungkin untuk melahirkan sendiri penerbitan yang mengamalkan freedom of expression.

Tentunya kita masih ingat majalah berita Detik yang beliau terbitkan pada tahun 1999. Detik mendapat sambutan hangat kerana dasar fair journalism.

Itu tidak menyenangkan pihak berkuasa (baca kerajaan). Mereka tangkas mencabut nyawa Detik bersenjatakan pelbagai peruntukan dalam undang-undang penerbitan media di Malaysia yang disifat ramai sebagai mengongkong dan mencengkam.

Dengan sekelip mata Detik hilang permit penerbitan. Lutfi memohon semula. Kementerian Dalam Negeri menolak.

Peraturan media Malaysia mewajibkan setiap penerbitan berkala mempunyai permit. Bagi penerbitan tidak berkala tidak disebut apa apa. Ini Lutfi lihat sebagai satu kelonggaran atau loophole dalam perundangan. Beliau bijak mengambil kesempatan.

Lantas Lutfi menerbitkan siri akhbar tabloid one-off. (Ini tidak memerlukan permit kerana seperti yang dikatakan tadi, peraturan media Malaysia silent on the matter.) Setiap penerbitan menggunakan nama dan masthead berbeda. Maka muncullah Haraki, Islah, Memo dan sebagainya. Semua diterima baik masyarakat. Paling kurang 50,000 naskhah dijual setiap penerbitan.

Sekali lagi pihak berkuasa bertindak keras.

Penerbitan Lutfi dirampas. Penjual atau vendor akhbarnya kerap diganggu dan diasak. Ada yang diheret ke mahkamah. Dituduh menjual bahan cetak yang tidak legal. Dan mereka didenda.

Lutfi tampil menawar untuk membayar denda si vendor yang berjumlah RM30,000. Pun begitu ramai vendor tetap takut dan bimbang untuk meneruskan khidmat menjual penerbitan Lutfi. Vendor rimas diganggu pihak penguasa dan bazirkan banyak masa untuk naik-turun mahkamah.

Tanpa vendor, akhbar pincang. Dan pukulan maut ialah apbila Kementerian Dalam Negeri menyerbu kilang yang mencetak penerbitannya. Semua akhbar yang baru dicetak – dan belum diedarkan – diangkut begitu sahaja.

Lutfi rugi RM50,000. Minimum. Dan mendapati dirinya menanggung beban hutang.

Lalu beliau mengadu kepada Suhakam. Lutfi disokong badan media antarabangsa yang membuat rayuan kepada Perdana Menteri ketika itu Dato’ Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri (kini juga bergelar Tun) Abdullah Ahmad Badawi.

Di samping itu, Lutfi sendiri merayu dan mengemukakan permohonan permit baru. Berpuluh-puluh. Semua usahanya gagal. Ditolak tanpa sebarang pertimbangan.

Namun beliau terus berjuang walaupun dihimpit beban kewangan dan kesedihan apabila pulangnya ke rahmatullah anak perempuannya, Nurul Syafiqah sewaktu beliau baru memimpin redaksi tabloid politik, Siasah.

Dan setiap 3 Mei iaitu Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, Lutfi akan pergi ke pejabat Suhakam di ibu negara untuk membuat aduan terhadap “gangguan kerajaan” ke atas media Malaysia.

Pun begitu keadaan kesihatan tidak mengizin Lutfi meneruskan amalan itu.

Akan tetapi saya kira, andainya ditanya sama ada beliau akan mengulangi semua yang beliau lakukan selama ini untuk kebebasan media – saya rasa Lutfi akan menjawab “ya.”

Sebabnya? Beliau seorang aktivis media bebas yang “totok”. Dalam erti kata lain aktivis media independen tulen.
...............................................................................................................................................................
Artikel ini petikan dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas,untuk mendapatkan buku tersebut dengan harga istimewa ,sila WhatsApp/Hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291

No comments