Buku Lutfi

Parti Amanah Negara - tentang 'hijau' yang lebih muda

Oleh Al-Abror Mohd Yusuf

Waktunya mungkin pada tahun Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan - secara mengejut - dia mahu meletakkan jawatan sebagai presiden Umno sekali gus perdana menteri.

Saya bertugas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika itu. PWTC ialah kesibukan yang meriah sekurang-kurangnya sekali setiap tahun. Ia adalah ibu pejabat Umno.
Saya melihat Ahmad Lutfi Othman berjalan bersahaja di situ. Susuk itu bukan sekadar pengarang Harakah tetapi dia ialah watak yang sedang melakukan gerakan menyerang salah seorang pemuka Umno - Mohamad Khir Toyo.

Ahmad Lutfi - pemimpin redaksi lidah rasmi PAS - membongkar satu demi satu dakwaan dikaitkan dengan Mohamad Khir - seorang pemimpin Umno sedang meningkat naik ketika itu.

Doktor gigi itu bukanlah sesiapa sehinggalah Dr Mahathir menunjuk susuk itu sebagai pengganti Tan Sri Abu Hassan Omar sebagai menteri besar Selangor.

Itulah Dr Mahathir - penuh dengan pesona kejutannya.

Di sebalik itu pun saya bukan pengagum dan pengikut tulisan-tulisan Ahmad Lutfi. Cuma saya kenal dia dan dia rasanya tidak mengenali saya semasa itu.

Tetapi ia tidak menghalang buku-buku Ahmad Lutfi yang sangat wajar dihormati kandungannya – seperti naskhah berjudul Parti Amanah Negara ini – menjadi bahan bacaan.

Tentang beberapa tetamu

Membaca Parti Amanah Negara selepas Lorong Sunyi Media Bebas membawa perbezaan yang ketara. Lorong Sunyi Media Bebas berkisah tentang sesuatu yang peribadi manakala Parti Amanah Negara itu menceritakan kewujudan sebuah parti baru dalam negara.

Memang judul buku itu sangat skema, dan amat tebal sifat propagandanya walaupun mungkin di pihak penerbit ia dianggap membawa nilai komersial atau tarikan tersendiri.

Namun itu cuma cebisan kecil daripada sekian banyak hal-hal menarik dalam buku ini.

Parti Amanah Negara dibahagikan kepada lima bahagian. Segmen pertama diisi dengan wawancara “tetamu” Ahmad Lutfi. Pada bahagian ini pembaca umumnya dapat melihat sudut pandang positif mengenai Parti Amanah Negara (AMANAH) kerana ia dikisahkan oleh orang yang memang mahukan parti itu wujud.

Misalnya Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub yang masing-masing ialah presiden dan timbalan presiden AMANAH. Retorik? Memanglah dan ia bukan sesuatu yang aneh.
Cuma jangan cepat menjuih. Pada wawancara mereka – serta sejumlah yang lain – terkandung input istimewa (jika pun tidak eksklusif) yang belum diketahui ramai. Misalnya kisah di sebalik penubuhan AMANAH.

Segmen kedua pula dinamakan Sudut Pandang dan Rakaman Pengalaman, memuatkan tulisan tokoh akademik, ahli politik, penulis serta penulis merangkap wartawan.

Ada tiga “doktor” yang menyumbang pada bahagian ini. Kesan pembacaan adalah beragam.
Satu daripadanya sederhana (kalaulah Datuk Dr Mujahid Yusof boleh mempermudahkan hamparan ideanya), manakala seorang doktor lagi (Dr Muhaimin Sulam) lebih nakal kerana memainkan perasaan pembaca dengan beberapa umpan kisah di sebalik tabir yang tidak diceritakannya dengan baik.

Sudut pandang segar

Pada segmen ini juga saya kadang-kadang terfikir ahli akademik ‘diharamkan’ menulis mengalahkan khutbah sekali gus mendera pembaca.

Jika mahu menulis juga, tulislah dalam buku yang lain.

Namun menariknya pada segmen kedua ini termuat juga tulisan Adam Adli Abdul Halim. Dengan sedikit curiga tulisan itu dibaca dan memang benarlah – ia membosankan. Sehinggalah sudut pandangnya itu dijelaskan dengan lebih baik.

Adam Adli yang dikenal sebagai aktivis itu memang mempunyai idea segar untuk diketengahkan.

“Sejarah jujur perjuangan AMANAH bukan bermula hanya pada 2015 sebaliknya berdekad lama lagi,” tulisnya di bawah tajuk Tidak Mudah Menjadi Progresif.

Adam Adli (gambar) menjelaskan secara bersahaja tentang “sapere aude” tanpa mengada-ngada atau perasan bagus, sambil menjelaskan itu dan ini dari sudut pandang individu bukan ahli AMANAH dengan nada memberi semangat.

Bukan mahu menjadi terlampau, tetapi secara umum Tidak Mudah Menjadi Progresif – pada saya – boleh dianggap sebagai jantung buku Parti Amanah Negara ini.

Segmen ketiga pula dinamakan Catatan Hujung Ahmad Lutfi Othman. Sesuai dengan nama yang diberikan bahagian ini adalah mengenai sudut pandang penulis buku Parti Amanah Negara ini.
Ia memuatkan 10 rencana Ahmad Lutfi yang pernah disiarkan portal Malaysia Dateline – wadah yang memang khusus diwujudkan untuk mempromosi AMANAH.

Memanglah ada bias

Menyusul kemudian ialah segmen keempat – Lampiran – memuatkan tulisan orang lain yang diterbitkan semula. Sebanyak 47 halaman dikhususkan untuk hal ini.

Antara penulis yang terpilih ialah Dr Farish A Noor, Liew Chin Tong dan Wan Saiful Wan Jan.
Menutup naskhah ini ialah Bukan Penamat Bicara yang berkisah mengenai sikap Ahmad Lutfi terhadap PAS serta AMANAH.

Membaca buku ini, di sini sana akan dapat dikesan sikap berpihak (bias) yang nyata. Namun ia bukanlah masalah kerana individu yang bersikap itu ialah orang kuat AMANAH sendiri. Ia hanya akan jadi aneh jika ada pemimpin PAS yang ditemu ramah dan kemudian menunjukkan sikap lunak kepada parti berkenaan.

Namun di sebalik bias itu pembaca yang tahu akan adanya sebuah parti politik berdaftar bernama PAS di negara ini akan terkenang bahawa suatu ketika dulu pertubuhan berkenaan pernah menawan hati jutaan orang dengan slogan PAS For All.

Parti Amanah Negara ini juga boleh menyedarkan umat Islam di negara ini bahawa PAS bukanlah satu-satunya wadah politik yang menjadikan Islam sebagai dasarnya. Dalam erti kata lain PAS tidak memiliki hak eksklusif untuk menjadi parti politik Islam di Malaysia.

Selain itu ada kisah-kisah lazim yang memang menjadi latar gerakan anggota PAS yang masih wujud dan membawa masalah kepada parti itu sendiri. Contohnya kecurigaan terhadap orang lain – walaupun berpayung di bawah parti sama – hanya kerana latar belakangnya ‘diragui’. Pernah menyertai Jemaah Islah Malaysia (JIM) atau Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) misalnya.

Di sana sini sesekali muncul pandangan yang agak ‘romantik’ dan ideal, seperti ayat: "Parti AMANAH menjadi tempat ahli-ahlinya berasa selamat. Tidak terdapat mana-mana ahli pun yang disakiti hatinya, apatah lagi ditekan dengan leteran, bebelan dan kata-kata marah mahupun tindakan yang menyakiti secara fizikal (halaman 251).

Bagusnya buku ini, ia tidak disusun mengikut plot tertentu. Justeru anda boleh saja mula membaca dari mana-mana tajuk tanpa perlu bimbang akan tenggelam punca kerana tercari-cari kaitan antara satu sama lain.

Cuma itulah, dengan kandungannya yang disusun baik, rasa sayang juga meninggalkan mana-mana tajuk.
  • Judul: Parti Amanah Negara
  • Penulis: Ahmad Lutfi Othman
  • Penerbit: Ahmad Lutfi Othman (2018)
  • Harga: RM40
  • Tebal: 525 halaman

No comments