Buku Lutfi

Menulis di Harakah kerana Lutfi, berhenti pun kerana Lutfi

Oleh LIM HONG SIANG

MUSTAHIL nama Ahmad Lutfi boleh dipadamkan dari sejarah akhbar tanah air. Malah sosok tubuh inilah yang mengarus-perdanakan akhbar alternatif ketika zaman Reformasi. Tamadun, Detik, Wasilah antara media cetak yang menyajikan maklumat untuk memenuhi keperluan zamannya.

Malah buku-buku politik seperti Mengapa Perlu Anwar Lawan Mahathir? Layakkah Anwar Ketuai Reformasi? dan sebagainya, sudah tentu mewarnai dunia politik Malaysia.

Secara jujur, kegemilangan tersebut tidak sempat saya ikuti. Majalah politik seperti Detik dan Wasilah hanya saya ketahui melalui tulisan akademik pengkaji media semasa zaman universiti. Bagaimanapun saya sempat membaca akhbar mingguan Siasah yang diusahakan Ahmad Lutfi, sebelum beliau menyertai semula Harakah pada awal tahun 2006.

Saya lupa sejak bila saya berkenalan dengan beliau. Namun tulisan beliau sering saya petik dan terjemah ketika berkhidmat di MerdekaReview untuk membayangkan pergolakan dalam dunia wacana bahasa Melayu. Sudah tentu bacaan politik dan pandangan Ahmad Lutfi antara tulisan yang harus dirujuk – sama ada kita setuju atau tidak dengannya.

MerdekaReview memulakan edisi bahasa Melayunya pada tahun 2009. Barangkali Ahmad Lutfi lebih tahu apa yang berlegar-legar dalam minda saya setelah tingkap itu dibuka. Ada juga tulisan dalam MerdekaReview yang dipetik Harakah ketika di bawah kelolaannya. Jelas, beliau sentiasa tercari-cari sesuatu perspektif yang baru, untuk menyegarkan perdebatan dunia wacana.

Ahmad Lutfi menawarkan ruang pojok di Harakah kepada saya pada tahun 2011, setelah MerdekaReview mengumumkan bahawa kami terpaksa melabuh tirai seandainya tiada suntikan dana baru. Bagaimanapun MerdekaReview hanya mampu bertahan untuk setahun selepas itu, tetapi kolum Siang Malam saya kekalkan sehingga Februari 2015. Saya bubuhkan noktah di situ apabila Ahmad Lutfi dilucutkan jawatan Ketua Pengarang Harakah secara rasminya.

Antara retorik dengan wacana

Bersembang dengan Ahmad Lutfi amat lumayan hasilnya. Kisahnya dirakam sejak beliau bergiat aktif dalam gerakan siswa pada tahun 1980-an, sebelum beliau menceburi dunia akhbar. Pengalaman dan pengamatannya begitu bernilai dan semestinya menarik seandainya beliau menulis memoirnya.

Fikirannya tersusun rapi. Kepakaran Ahmad Lutfi sebagai editor atau penganalisis tidak dapat dipertikaikan. Beliau mampu mengolah pandangannya dengan baik. Bukan main tuduh sahaja, tetapi beliau akan cuba memberi contoh perilaku seseorang untuk menunjukkan perwatakan yang digambarkannya. Dan andainya boleh, beliau akan cuba mengupas mengapa ia berlaku sebegitu, dan kupasan itu memperlihatkan kesediaan dirinya untuk bermuhasabah.

Misalnya Ahmad Lutfi tertanya-tanya, mengapa PAS gagal menawarkan kepimpinan di peringkat nasional sungguhpun PAS adalah parti pembangkang yang paling tersusun dari segi organisasinya di peringkat akar umbi? Sosok tubuh Tengku Razaleigh Hamzah ditonjolkan pada tahun 1990, kemudian Anwar Ibrahim pula yang diangkat di akhir 1990-an sehingga kini.

Gelombang zaman yang memenangkan PAS. Tetapi sejauh manakah PAS mengambil kesempatan itu untuk menawarkan kepimpinan yang meyakinkan kepada rakyat? PAS meraih kemenangan besar hasil ledakan gelombang Reformasi. Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah menyandang jawatan Menteri Besar Terengganu, malah memangku jawatan Ketua Pembangkang Parlimen penggal tahun 1999-2004 selepas pemergian Almarhum Ustaz Fadzil Noor – tanpa kehadiran Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh dalam Dewan Rakyat. Persoalannya, mengapa kepimpinan Abdul Hadi Awang masih gagal menggarap imaginasi rakyat seluruh Malaysia, sungguhpun berbekalkan portfolio sebegitu?

“Mesti ada sesuatu yang tak kena,” katanya. Ahmad Lutfi sayangkan partinya, malah mengakui dirinya penyokong tegar PAS sejak zaman sekolah rendah. Kampung kelahirannya, Kg Raja, Kubang Pasu adalah lubuk Parti Islam itu. “Tidak ada orang kampung saya yang mengaku bukan penyokong PAS,” ceritanya.

Luahan hatinya membuktikan segala-galanya, “Hatta sampai PAS jadi kecil sekalipun, atau merosot macamana sekalipun, kemungkinan saya pun tak akan keluar PAS.” Kerana sayangkan PAS, teguran dan kritikan diajukan agar PAS bertambah kuat, malah memimpin untuk menegakkan teladan.

Sebagai pengamal media, aktivis parti merangkap pendukung reformasi politik, Ahmad Lutfi cukup sedar bahawa penerbitan Harakah bukan sekadar untuk menjual suratkhabar, tetapi persaingan idea – bagaimana untuk menawarkan idea yang mampu mempengaruhi audiennya, pada zaman di mana pelbagai maklumat dapat sampai ke tangan audien melalui internet. “You (PAS) nak menang dalam pilihan raya, bukan nak buat revolusi,” katanya.

Jelas, Ahmad Lutfi memandang ke depan, sehingga terlalu jauh ke depan berbanding sesetengah pemimpin partinya yang lebih selesa untuk mengekalkan status quo. Politik tanah air sudah melangkah ke arah sistem dua parti, bermaksud parti politik pembangkang tradisional juga perlu mempersiap-sediakan diri untuk mengambil-alih tampuk kerajaan. Pembangkang tidak boleh lagi hanya membangkang selama-lamanya. Retorik politik yang panas biarpun mengujakan, tetapi tidak bertahan lama. Masyarakat kita sekarang menuntut bukan propaganda, tetapi hujah atau wacana yang lebih mendalam dan rasional. Perbezaan ini menambat langkah Harakah, lebih-lebih lagi apabila kita menemui jalan buntu dalam politik.

Pada saya, malapetaka yang menimpa Ahmad Lutfi ini lebih dahsyat berbanding masalah keuzuran yang membelenggunya. Sekatan yang dibataskan telah membantutkan perkembangan Harakah sebagai media alternatif, menutup terus kemungkinan Harakah untuk mengulangi kegemilangannya pada zaman Reformasi. “Kegemilangan” tidak semestinya terjelma dalam bentuk angka jualan yang mencecah ratusan ribu, tetapi sebagai media alternatif – menawarkan sesuatu yang tersendirinya, sesuatu yang tidak ada dalam pasaran.

Saya merasai kekecewaannya apabila dituduh “bekerja untuk Anwar dengan gaji PAS (Harakah)”, termasuk oleh orang-orang yang rapat dan sepatutnya mengenali beliau dari dekat. Sebagai pengamal media, Ahmad Lutfi tersepit dalam dilema dengan beberapa faktor yang menekan dari pelbagai sudut.

Bukan sahaja tekanan daripada pemerintah, tetapi juga angka jualan (pasaran), keperluan politik kepartian (lidah parti pembangkang), naluri untuk mempertahankan kebebasan bersuara dan keinginan untuk mengangkat idealisme yang didukung – apatah lagi dalam kekangan di mana dunia kewartawanan kita belum cukup subur untuk mencambahkan wartawan yang berkualiti tinggi.
Rasai kekecewaan dalam hatinya

Sesungguhnya hidup kita sarat dengan dugaan dan rintangan, yang gagal kita harungi kesemuanya, lebih-lebih lagi apabila terbelenggu dengan masalah keuzuran. Beberapa tahun kebelakangan ini Ahmad Lutfi terus dihantui masalah kesihatannya. Saya sendiri bersedih apabila beliau meluahkan kepada saya bahawa dirinya seolah-olah sedang membilang hari-hari terakhir.

Pernah terlintas dalam otak saya, tanpa saya membisikkan kepadanya, mengapa tidak saudara Ahmad Lutfi kawal pemakanannya, untuk kesihatan dirinya? Sehinggalah saya mengalami sendiri – batuk yang tidak henti-henti untuk beberapa bulan meskipun seribu satu cara saya cuba untuk menyembuhkan diri. Rasa seolah-olah mahu pasrah begitu sahaja. Itupun hanya batuk. Bayangkan penyakit yang membelenggu saudara Ahmad Lutfi untuk tempoh bertahun-tahun, saya hanya mampu kagum dengan kekentalannya.

Beliau terus berjuang. Saya tidak terbayang apakah saya setabah beliau jikalau itu berlaku pada diri saya. Beliau masih menulis, menyemak layout hingga lewat malam atau awal pagi – sehinggalah satu hari apabila beliau gagal berbuat demikian. Ahmad Lutfi sedar masalah kesihatan dirinya. Beliau tidak menuntut lebih, malah beliau reda jikalau dirinya perlu dilucutkan jawatan Ketua Pengarang. Apa yang beliau minta adalah ruang supaya beliau boleh menyumbang. Menyumbang sebagai seorang ahli PAS – dengan tulisannya.

Saya mengikuti perkembangan di akhir-akhir hari sebelum beliau dilucutkan jawatan Ketua Pengarang Harakah. Saya dapat bayangkan betapa pedih hatinya, apabila seorang editor yang memaut jiwanya dengan Harakah dan PAS, sejak sekian lama meluahkan kata-kata bahawa dirinya rasa tidak mahu menulis lagi di Harakah, kerana khuatir tulisannya dikaitkan dengan Harakah atau PAS, atau masih dianggap orang luar sebagai pendirian rasmi Harakah.

Sedangkan sepanjang lebih kurang 30 tahun usia Harakah, walaupun semasa Ahmad Lutfi berada di luar sidang editorial dan menjalankan penerbitan sendiri, beliau tidak pernah menjarakkan dirinya dengan Harakah. Ada saja sumbangan tulisannya kepada Harakah.

Bukan mudah untuk mendapat seorang lagi pengamal media seperti Ahmad Lutfi. Beliau mencurahkan titisan peluhnya, menggadaikan kesihatannya untuk akhbar partinya. Beliau mempertahankan ruang kebebasan sedaya upaya sungguhpun bilik editorialnya dibatasi garis jalur parti politik. Ahmad Lutfi sememangnya layak untuk layanan terhormat yang lebih memadai, jika pun perlu berundur atas alasan kesihatan.

Maka saya terpanggil untuk bersolidariti bersamanya, meskipun saya tidak hebohkan keputusan saya ini pada waktu itu. Saya menulis di Harakah kerana Lutfi, dan saya berhenti menulis di Harakah pun kerana Lutfi. Tetapi itu berbaloi, walaupun saya cukup sedar bahawa protes sedemikian tidak akan membuahkan hasil. Biasalah, bukan semua perjuangan kita berhasil, dan jikalau ditakdirkan ia tidak berhasil – sekurang-kurangnya protes itu dilakukan untuk menegaskan pendirian bahawa saya tidak bersetuju dengan keputusan sebegitu.

Kita tidaklah naif. Kekal atau perginya Ahmad Lutfi dalam Harakah, adalah keputusan politik. Setiap insan yang menceburi bidang ini menjangkakan senario sebegini. Cuma, di sebalik politik,
kemanusiaan perlu dipelihara. Di sebalik propaganda, kebenaran perlu ditegakkan. Kita yakin wacana yang segar diperlukan untuk merungkaikan masalah politik kita. Semua ini tunjang perjuangan kita dalam politik.

Sosok tubuh Ahmad Lutfi yang uzur ini telah melakar sejarah, sungguhpun tidak diiktiraf secara rasmi dalam dunia media arus perdana. Namun usaha gigih beliaulah yang mengarus-perdanakan sesetengah tokoh, yang sebelum ini cuba dipinggirkan. Beliau boleh diundurkan, tetapi namanya kekal terpahat dalam sejarah.

LIM HONG SIANG, bekas Editor MerdekaReview (Bahasa Melayu), pernah menjadi kolumnis Harakah, Siang Malam.
 ___________________________________________________________________________________
Artikel ini petikan dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas,untuk mendapatkan buku tersebut dengan harga istimewa ,sila WhatsApp/Hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291

























No comments