Buku Lutfi

Posisi Wartawan Dan Lidah Parti

Oleh LIM HONG SIANG

SEKETIKA dahulu saya memiliki ruang pojok dalam ketiga-tiga lidah parti komponen Pakatan Rakyat. Bermula dengan Siang Malam di Harakah pada Ogos 2011, disusuli dengan Secawan Kopi di Suara Keadilan pada November 2012 dan kolum bahasa Cina di The Rocket pada Julai 2013. Malah pada Mac 2014, saya menyertai The Rocket sebagai Penasihat Editorial edisi bahasa Cina-nya, untuk tempoh setahun.

Saya memasuki dunia kewartawanan sebaik sahaja menamatkan pengajian di Pusat Komunikasi Universiti Sains Malaysia pada tahun 2004. Kerjaya saya bermula sebagai wartawan di media cetak, Oriental Daily – selepas Abdullah Ahmad Badawi menyapu lebih 90 peratus kerusi Dewan Rakyat dalam PRU11. Ramai yang menjangkakan bahawa Pak Lah bakal membuka ruang kebebasan bersuara, untuk menonjolkan betapa bezanya pendekatan dirinya berbanding Mahathir Mohamad.

Hakikatnya, menyiarkan tulisan yang mengkritik Presiden MCA pada ketika itu pun boleh dikenakan surat amaran daripada Kementerian Dalam Negeri!

Ruang kebebasan bersuara tidak berkembang. Pasaran media cetak bahasa Cina hampir dimonopoli tycoon bernama Tiong Hew King, sementara Oriental Daily yang baru memasuki gelanggang pada tahun 2002 masih teragak-agak untuk melanggar batas. Maka medan internet dijadikan wadah untuk menembus sekatan maklumat oleh kerajaan dan monopoli tycoon besar. Saya bersyukur dan berbangga kerana sempat menyertai usaha untuk mengasaskan MerdekaReview pada tahun 2005, satu portal berita yang bebas.

MerdekaReview bertahan selama tujuh tahun, terpaksa menggulung tikar lantaran ketandusan dana pada tahun 2012. Trend baru menyaksikan kemerosotan kelarisan media cetak (meskipun masih meraih keuntungan dari iklan), namun pada masa yang sama media internet yang independen juga masih tercari-cari satu formula untuk melanjutkan kelangsungannya. Sungguhpun media alternatif sering dianggap lebih memihak kepada parti pembangkang dari kaca mata kerajaan (baca: Barisan Nasional), namun parti pembangkang yang juga memerintah di peringkat negeri, tidak kurang sikap was-wasnya terhadap media independen yang tidak beroperasi mengikut telunjuknya.

Latar belakang ini, sungguhpun berbeza konteksnya dengan pengalaman Ahmad Lutfi Othman, tetap berkongsi persamaan secara umumnya – bagaimana seseorang wartawan yang berpegang kepada idealisme, cuba memposisikan dirinya dalam institusi lidah parti, berlatar-belakangkan suasana politik yang mengekang demokrasi dan kebebasan bersuara.

Perjuangan bermula dari idealisme

Kita sedia maklum bahawa setiap perjuangan bermula dari idea yang bercambah dalam minda. Politik bukan sekadar pergelutan kuasa tetapi juga persaingan idea. Propaganda bukan sekadar untuk menyanggah hujah musuh politik, tetapi juga merungkaikan perjuangan yang kita dukungi. Dari strategi, halatuju sehinggalah destinasi perjuangan, perdebatan dalam ruang wacana bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik. Kebenaran hanya menjadi kebenaran setelah diuji dan teruji dengan pertikaian. Barulah keraguan boleh dijawab dengan keyakinan.

Di negara yang belum mengalami pertukaran kerajaan di peringkat persekutuan, seperti Malaysia, sama ada NGO yang memperjuangkan demokrasi, mahupun media alternatif yang menuntut ruang kebebasan, sering terikat nasibnya bersama pembangkang. Malah parti pembangkang dimanfaatkan lantaran perjuangan NGO atau media alternatif ini, kerana mustahil pembangkang berkembang dalam ruang demokrasi dan kebebasan yang tercengkam.

Namun demikian, senario politik terkini mula menemui kebuntuan. Pertama, parti pembangkang bukanlah pembangkang sepenuhnya, tetapi juga berkuasa di peringkat negeri, malah pemerintahannya sudah lebih daripada satu penggal. Mengikut lumrahnya, pembangkang berperanan untuk membesarkan dimensi negatif sesuatu isu – agar ia mencuri perhatian umum, kalau bukan untuk dikaji secara lebih menyeluruh. Sementara parti pemerintah lebih cenderung untuk meredakan situasi, kalau bukan untuk memikirkan jalan penyelesaian masalah. Pertindihan identiti sebagai pembangkang di peringkat persekutuan dan kerajaan di peringkat negeri sudah tentu memerlukan satu keseimbangan atau penyelarasan dari segi hujahnya, kerana apa yang ditujukan terhadap kerajaan persekutuan boleh jadi menempias ke muka kerajaan negeri sendiri.

Kedua, hujah ataupun retorik yang diketengahkan selama ini perlu dikaji semula, untuk disesuaikan dengan perubahan zaman. Ia tidak bermaksud menggadaikan prinsip perjuangan – tetapi menyahut cabaran bagaimana mentafsirkan makna perjuangan dalam konteks politik kontemporari. Apapun ideanya, betapa indahpun cita-citanya – seandainya tidak diungkap dalam bahasa yang difahami dan diterima, akan ditolak dengan undi dalam pilihan raya.

Secara idealnya, media independen memainkan peranannya untuk semak-imbang parti politik yang berkuasa di semua peringkat. Penguasa dipantau di bawah kanta pembesar kerana dengan kuasa dalam tangan, kesilapan yang dilakukan semestinya memberi impak yang lebih besar, berbanding mereka yang tidak berkuasa. Kita terpaksa akur, bahawa dalam dunia yang sarat dengan pelbagai kepentingan yang rumit ini, kejahatan gagal disekat jikalau berasal dari kuasa yang mutlak. Hanya apabila sistem semak-imbang yang utuh diwujudkan, barulah kejahatan dapat dikurangkan, atau dikawal.

Peranan lidah parti

Malangnya, media arus perdana yang rela menghambakan dirinya kepada si penguasa, gagal menggalas misi sebagai kuasa keempat. Media alternatif pula, ditambat langkahnya oleh akta dengan lesen dan permitnya, sebelum memasuki gelanggang. Jikapun berjaya menembus ke dalam pasaran, ugutan terhadap vendor sudah memadai untuk mematikan langkahnya. Pengalaman Ahmad Lutfi paling sempurna untuk membayangkan bagaimana taktik penguasa mencantas suara-suara yang tidak disenangi. Sudahlah ahhbar tidak berkala (yang tidak memerlukan permit penerbitan) sering dirampas KDN, rangkaian pengedaran yang dibina Ahmad Lutfi sejak begitu lama melalui syarikat miliknya, Penerbitan Pemuda, dilumpuhkan. Para pengedar dan peruncit diugut dan digertak, serta diheret ke mahkamah. Premis yang menjual terbitannya, misalnya di Kompleks PKNS di Shah Alam berdepan dengan risiko ditamatkan kontrak sewaan.

Wadah internet mungkin antara salurannya, tetapi ia berbalik kepada persoalan dana untuk melanjutkan kelangsungannya. Berbeza dengan blog, institusi media memerlukan dana untuk operasi bilik editorialnya. Langganan online belum matang buat sementara ini – kerana rata-rata warga internet Malaysia beranggapan bahawa apa-apa yang datang dari laman internet sepatutnya percuma.

 Lebih malang, pengiklan jelas lebih selesa untuk mengiklan di media tradisional – dan jika pun ada korporat besar yang mengiklan di internet, ia akan menempah ruang di laman yang terkemuka seperti YouTube, Facebook dan sebagainya.

Dalam konteks sedemikian, parti politik khususnya pembangkang harus memikirkan jalan keluarnya – untuk pembinaan satu sistem semak-imbang. Lidah parti diberi permit untuk cetakan, sungguhpun dikenakan syarat yang tidak masuk akal – Untuk Ahli Sahaja. Persoalannya, dengan sumber yang ada dalam tangan, bagaimana parti politik memposisikan lidah partinya? Sekadar akhbar untuk menonjolkan berita dan gambar pemimpinnya, ataupun menampilkan wacana yang mantap untuk mengupas dan merungkaikan perjuangannya?

Semua ini menguji sejauh mana wawasan pemimpin sesebuah parti politik. Ia bukan zero-sum game, di mana kita terpaksa menggugurkan fungsi itu sepenuhnya jikalau memilih yang ini. Padahal kita boleh menisbahkan kandungannya, kerana kita mengambil kira juga keperluan pemimpin politik untuk menunjukkan bahawa dirinya mendampingi rakyat. Cuma pemimpin politik perlu sedar, bahawa seseorang pembaca di Bukit Bintang tidak semestinya berminat dengan berita pengagihan daging lembu korban di Terengganu.

Akhirnya, apakah kandungan yang mampu menarik perhatian pembaca, tanpa mengira persempadanan geografi, warna kaum malah batas agama sekalipun? Apakah kandungan yang mampu menggarap imaginasi kolektif seluruh rakyat?

Hubungan saling mempergunakan

Dalam kerangka ini, seandainya tokoh wartawan seperti Ahmad Lutfi mengangguk untuk menerajui bilik editorial sesebuah lidah parti, kesudian itu seharusnya dihargai dan dihayati. Dari satu segi, parti menawarkan platform (wadah) kepada Ahmad Lutfi untuk memperkembangkan bakatnya; namun pada masa yang sama, kehadiran sosok Ahmad Lutfi di situ telah mengangkat darjat dan martabat lidah parti – menampilkan kesediaan dan kemampuan parti politik untuk berhujah dan berwacana; malah sebagai media alternatif untuk melanjutkan perjuangan kebebasan media.

Kita semua orang dewasa yang berpijak pada bumi nyata. Secara jujur kita lebih inginkan masa kita digunakan untuk mencari perspektif baru supaya disuntikkan untuk merangsang dan menyuburkan dunia wacana. Namun kita sedar juga antara tugas kita dalam realiti adalah menentukan gambar pemimpin mana dikedepankan, dan gelaran mana yang harus digunakan – supaya sesetengah pemimpin tidak berkecil hati. Sungguhpun remeh, ia dilaksanakan tanpa rungutan.

Cabaran kita sebenarnya lebih besar – tanpa kita sedari ketika sibuk berselisih dengan syak wasangka mengapa pemimpin parti lain ditonjolkan sedangkan pemimpin parti sendiri dibelakangkan. Cabarannya bagaimana kita bersaing dengan idea dan hujah yang lain – pada zaman di mana pelbagai maklumat boleh sampai ke tangan hanya melalui telefon pintar. Apakah retorik yang basi boleh bertahan dari dulu, kini dan selamanya sehingga hari kiamat?

Dan apakah kita benar yakin, bahawa kita mampu mengolah restu pengundi dengan propaganda murahan, yang tidak menampakkan kedalaman intelektual? Jikapun kita berjaya mengolah persetujuan pengundi buat masa kini dengan retorik yang berapi-api – kerana sentimen benci Umno-BN masih membara; apakah mustahil kita dijatuhkan satu hari nanti dengan retorik yang sama?

Jikalau kita yakin bahawa perjuangan kita berada di pihak yang benar, mengapa takut untuk mengasah agar minda pengundi celik berfikir? Banyak yang pernah dibincangkan Ahmad Lutfi bersama saya, sama ada melalui wawancara yang pernah dikendalikan ketika saya berkhidmat di The Rocket, ataupun sembang secara peribadi di kediamannya di Bukit Ampang (sambil makan nasi Arab hasil air tangan isterinya, Siti Hawa). Kita tidak berkhayal untuk mendakwa diri sebagai pahlawan yang memperjuangkan kebebasan media, tetapi kita saling memahami dilema dan risikonya bergerak di celah-celah batas ketika bertugas dalam institusi lidah parti. Sememangnya kita gagal memenuhi keperluan semua pihak, dan semestinya hasil kerja itu tidak sempurna – namun kita sentiasa memastikan ruang yang ada itu digunakan sebaik mungkin. Mustahil naluri mempertahankan ruang kebebasan itu dipadamkan dari jiwa seorang wartawan. Pihak parti perlu mengambil risiko untuk dicabar seandainya mahukan wartawan yang terbaik dalam institusi lidah partinya.

Jangan sesekali memperbodohkan penyokong

Akhir kata, proses perjuangan politik ini jugalah satu proses pendidikan politik. Kita tidak memperbodohkan pengundi semata-mata untuk mendapat undinya. Sokongan membuta tuli tidak bertahan lama. Jikalau mereka boleh diperbodohkan kita pada hari ini, semestinya mereka juga boleh diperbodohkan musuh politik kita pada masa depan.

Lebih selamat untuk kita memposisikan lidah parti sebagai bahan media yang mencerah dan mencelikkan minda. Keyakinan tanpa proses pertikaian terlebih dahulu juga tidak akan kekal lama. Lebih baik kita membuka ruang untuk merangkumi suara yang pelbagai. Lebih baik kita tidak menegakkan benang yang basah semata-mata untuk mempertahankan parti.

Malah kesediaan menampung pandangan yang berbeza memperlihatkan keterbukaan sesebuah parti, dan kesediaan untuk bermuhasabah. Ia meyakinkan rakyat bahawa parti politik ini sedia dipantau dan dipertikaikan orang ramai. Parti ini sabar mendengar dan kemudian menjawab dengan sebaiknya. Malah mereka sedia memperbetulkan kesilapan seandainya dibuktikan bersalah. Rakyat mungkin tidak bersetuju dengan pandangan parti ini, tetapi akhirnya terpaksa bersetuju bahawa parti ini berlapang dada untuk berdepan dengan pandangan berbeza.

Biar kita jujur. Tiada parti politik yang sempurna, dan tiada juga pemimpin politik yang sempurna. Kita menampilkan realiti yang sebenarnya. Kita merungkaikan dalam kerangka yang lebih besar – pilihan mana yang lebih mendatangkan kebaikan dalam kebuntuan politik pada hari ini.

Kita sedar media tidak wujud dalam kekosongan. Setiap zaman memiliki syarat dan keterbatasannya. Cabaran semasa ini membuatkan perjuangan seseorang wartawan independen masih relevan sungguhpun terpaksa bekerja dalam institusi lidah parti. Sebaliknya parti politik yang akan menjadi irrelevant jikalau terlalu angkuh untuk mengiktiraf perjuangan tokoh wartawan sedemikian.

Artikel ini petikan dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas,untuk mendapatkan buku tersebut dengan harga istimewa ,sila WhatsApp/Hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291

No comments