Buku Lutfi

Sahabat Seperjuanganku Yang Konsisten Dan Suka Turun Padang

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KETIKA zaman sekolah, usia 13 tahun, ibuku sering kali bertanya, apakah cita-citamu, Awang – panggilan mesra untuk namaku. Aku dengan pantas menjawab, penulis.

Aku belajar di Sekolah Menengah Agama Al-Falah, Kemaman. Hampir setiap hari aku berulang-alik dari kampung di Kuala Kemaman ke sekolah, di Kampung Besut, Chukai. Setiap hari menaiki bas sekolah Syarikat Tong Aik yang merupakan sebuah syarikat pengangkutan terawal berkhidmat di daerah Kemaman.

Namun begitu, sesekali ada juga menggunakan pengangkutan bot penambang yang berkhidmat antara Kampung Geliga ke pusat bandar Chukai. Waktu itulah, aku pernah terlihat seseorang yang sentiasa bersamanya sebuah meja dengan mesin taip. Bila aku selidiki rupa-rupanya lelaki tersebut seorang bekerja sebagai “penulis bertauliah”.

Pada usia remaja itu, aku mula meminati bidang kesusasteraan. Antara tokoh novelis yang aku minati itu seperti A Samad Said, Kamaludin Mohamad (Keris Mas), Usman Awang, Abdullah Hussain, Azizi Haji Abdullah. Maka, tokoh sasterawan berkenaan turut mempengaruhi cita-cita untuk menjadi seorang penulis seperti mereka. Antara bidang yang aku minati, deklamasi sajak dan syair.

Pada 1990, ketika menuntut di Institut Berakan (IB) Kuala Terengganu, aku mula berjinak-jinak dengan bidang penulisan dan kewartawanan. Waktu itu, setiap kali musim cuti persekolahan IB sering mengadakan kursus asas penulisan berita dan kewartawanan.

Aku tidak pernah melepaskan peluang. Antara penceramah awal yang mencurahkan ilmu penulisan dan berjaya memupuk semangat untuk menceburi bidang tersebut ialah Allahyarham Azizi Haji Abdullah, terkenal dengan novel Seorang Tua di Kaki Gunung yang pernah dijadikan teks sekolah.

Dan tidak lupa juga kepada bekas Ketua Pengarang Harakah, Zulkifli Sulong yang kini berhijrah ke portal berita Malaysian Insider serta beberapa nama lain yang pernah mencurahkan ilmu kewartawanan.

Pada 1993 hingga 1996 aku mula berkhidmat dengan IB sebagai pengurus koperasi sekolah dan guru seketika. Namun, setiap kali kursus kewartawanan diadakan aku tidak pernah melepaskan peluang menyertainya. Bayangkan, berkali-kali aku menyertainya tetapi satu berita pun tidak pernah dibuat dan dihantar kepada mana-mana media. Apa yang aku hantar sekadar sajak dan syair.

Tibalah suatu hari, aku dilamar Zulkifli Sulong untuk menjadi wartawan sambilan di Harakah Terengganu. Waktu itu, wartawan Harakah Terengganu adalah Suhaimi Taib seorang saja. Selama dua tahun aku sebagai wartawan sambilan (1995 dan 1996), sebelum menjadi wartawan sepenuh masa dengan Harakah bermula 15 Januari 1997 hingga sekarang.

Hasil tulisan berita Harakah, aku dibayar honorarium terkumpul lebih RM2,000 dan dengan duit itulah dijadikan hantaran perbelanjaan perkahwinanku dengan seorang muslimah yang bertugas di IB.
Sepanjang tempoh 18 tahun aku berkhidmat dengan Harakah sebagai wartawan dan jurugambarnya.

Pelbagai pengalaman suka duka yang dilalui sekali gus mematangkan fikiranku. Ketika mula berkhidmat di Terengganu, ketua pemberita Harakah negeri itu adalah Suhaimi Taib. Selepas setahun, beliau ditukarkan ke ibu pejabat Harakah Kuala Lumpur. Tempatnya diganti Azmi Yusuf. Sekitar 2007, Azmi kembali semula bertugas di Kuala Lumpur bersama Harakahdaily. Sejak itu aku sendiri yang menguruskan Harakah Terengganu.

Harakah semakin pesat berkembang. Setahun sekali, paling kurang diadakan Hari Keluarga Harakah. Manakala kursus editorial turut diadakan mengikut keperluan semasa. Di situ, kami semua berjumpa dan beramah mesra antara wartawan negeri dengan rakan-rakan di Kuala Lumnpur termasuk teman-teman di Harakahdaily.

Sejujurnya, aku bersyukur kerana dapat mengenali nama-nama hebat di kalangan teman seperjuangan seperti Ahmad Lutfi Othman, Taufek Yahya, Tarmizi Mat Jam, Roslan Hamid, Rashidi Hassan, Mazlan Jusoh, Mashudi Bunyani, Allahyarham Suhaimi Mokhtar, Basiron Abd Wahab dan ramai lagi termasuk tokoh-tokoh veteran seperti Haji Subky Abdul Latif, Abd Shukor Harun dan lain-lain.

Sepanjang tempoh bersama Harakah, empat orang bertukar ganti sebagai Pengarah Urusan Harakah, iaitu Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abd Razak, Dato’ Hishamuddin Yahaya, Dato’ Kamarudin Jaffar dan terkini, Dr Rosli Yaakop. Harakah juga pernah diterajui Dr Daeng Sanusi Mariok.

Tugas aku sebagai wartawan negeri menguruskan pemberitaan dan laporan aktiviti PAS serta isu-isu kemasyarakatan, dari Kemaman hingga ke Besut, yang merangkumi lapan buah daerah. Antara pengalaman suka-duka bekerja, aku pernah melaksanakan tugas pemberitaan itu dengan hanya berkenderaan motosikal di Kemaman, Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Besut.

Alhamdulillah, Harakah dapat memperkenalkan aku dengan dunia global secara lebih dekat. Aku pernah diberi peluang mewakili Harakah bagi membuat liputan di luar negara antaranya Iran, Somalia, Turki, Syria, Mesir, Gaza di Palestin, Mindanao di Filipina dan Jambi di Indonesia.

Meskipun jarak dan hubungan antara kami semua jauh beratus kilometer (Kuala Lumpur-Kuala Terengganu) tetapi hubungan dalam keluarga Harakah tetap akrab dan mesra. Di kalangan teman Harakah, yang paling terkesan di hatiku walaupun tidak seakrab mana – mungkin dipisahkan dengan jarak yang jauh – adalah Ahmad Lutfi yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Harakah. Jarang bersama tetapi masih ada kemanisannya.

Beliau pernah beberapa kali berkunjung datang ke Terengganu dalam lawatan kerjanya bersama sahabat-sahabat dari Kuala Lumpur, antaranya, Azamin Amin.

 Ketika itu, sebelum PRU13. Dalam keadaan bertongkat dan nampak agak sukar bergerak, beliau tetap bersemangat meneruskan amanah PAS, bertemu secara langsung dengan akar umbi di bawah.

Beliau mahu melihat dan merasai sendiri gejolak politik di medan, khususnya Terengganu merupakan antara negeri paling berpotensi buat PAS. Pada September 2007, Lutfi berkejar ke Kuala Terengganu, sebaik mendengar insiden berkaitan program ceramah anjuran Bersih di Pantai Batu Burok yang mencetuskan kekecohan dan kontroversi besar apabila seorang anggota polis melepaskan tembakan yang mencederakan orang ramai. Aku cukup kagum dan itu sedikit sebanyak telah memotivasikan diri ini yang masih sihat dan segar-bugar.

Adat orang berjuang. Kami pernah berdepan kes saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam oleh Umno Selangor. Mereka mengemukakan saman itu terhadap Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali dan lima responden lain termasuk aku dan Ahmad Lutfi Othman. Kami disaman sebanyak RM10 juta oleh Setiausaha Umno Selangor, Ir Dato’ Seri Mohd Zin Mohamed pada tahun 2011. Namun begitu, alhamdulillah, kes tersebut ditolak mahkamah.

Aku masih ingat bagaimana keadaan sahabatku, Ahmad Lutfi, dalam keadaan kurang sihat, penglihatan kabur, jalannya perlahan, suara hampir tidak kedengaran, turut digagahi juga hadir memberi keterangan di hadapan Hakim Dato’ Ahmad Zaki Husin. Kami pergi ke mahkamah ditemani seorang rakan yang juga pembantu Lufti iaitu Khairul Hartimi. Semasa perbicaraan, peguam bagi pihak Umno, Hafarizam Harun menegur keterangan Ahmad Lutfi yang tidak jelas disebabkan keuzurannya, namun beliau tetap tenang menjawab.

Namun, aku tidaklah sehebat Lufti Othman yang pernah ditahan di bawah ISA. Aku amat mengaguminya yang kental dalam perjuangan di bidang penulisan. Selagi kudratnya terdaya menekan papan keyboard, tulisannya akan sentiasa segar dan bertenaga.

Berikut antara buku-buku politik yang dihasilkan Lutfi, iaitu Anwar Lawan Ghafar? (1993), Operasi Nyah 2 (1993), PAS Zaman Anwar: Memo Buat Bakal PM (1993), Anwar Salah Pilih (1993), Mahathir Khianati Melayu (1994), Siapa Dalang?: Cerita di Sebalik Tabir (1994), Bank Negara Bankrap: Siapa Mangsakan Siapa? (1994), Buku Bertemu Ruas (1994), Krisis Anwar-Mahathir: Daim Pencetus Kontroversi Baru (1994), Wajah Baru Politik Malaysia (1995), Mengapa Perlu Anwar Lawan Mahathir? (1995), Realiti 2000, Gugat PAS? (1995), Umno For Sale (1996), Mampukah Tok Guru Pertahan Kelantan?: Implikasi Ku Li Sertai Umno (1996), Anwar Terjerat? (1997), Mufti Lawan Mahathir? (1997), Komplot Bunuh Diana (1997), Menyanggah Fatwa-fatwa Mahathir (1998), Misteri Lebam Mata Anwar Terbongkar: Isu-isu Politik Malaysia (1998), Layakkah Anwar Ketuai Reformasi? (1998), Anwar: Skandal Seks atau Konspirasi Politik (1998), Siapa Yang Dibicarakan: Anwar, PM, ataupun Polis Cawangan Khas? (1998), Dari Bukit Damansara ke Penjara: Pantang Undur (1998), Anwar Boneka Barat? (1999), Malaysia Tanpa Anwar (1999), Ku Li Dijerat Lagi (1999), komik Puteri Reformasi (1999), Bagaimana Mahathir Boleh Ditumbangkan (1999) dan Suara Rakyat Kuasa Keramat (2000). Koleksi kolum beliau, Catatan Hujung, turut dibukukan dalam tiga edisi.

Aku masih ingat ketika bermulanya era Reformasi, akhir 1998, majalah Tamadun terbitan Oktober yang diterajui Lutfi diulang-cetak sebanyak tiga kali; jumlah terkumpul untuk bulan itu saja, 150,000 naskhah. Bulan berikutnya, Lutfi meninggalkan Tamadun dan mengusahakan penerbitan sendiri di bawah syarikat miliknya dengan menyewa permit majalah Detik yang kemudiannya diikuti majalah bulanan remaja, Wasilah. Majalah Detik mulanya diterbitkan sebulan sekali, disebabkan permintaan tinggi, pertengahan 1999, ditambah kekerapan dua kali sebulan tetapi hanya sempat 17 keluaran apabila diharamkan KDN selepas Pilihan Raya Umum 1999.
Wasilah hadapi nasib sama.

Lutfi mula uzur berat sejak tahun 2001. Ketika itu, beliau banyak ‘berperang’ dengan MB Selangor, Dr Khir Toyo. Bukan hanya melalui penerbitan akhbar tidak berkalanya, juga melalui pembikinan video dokumentari, pentas ceramah, forum dan aduan kepada BPR (sekarang SPRM) serta laporan polis. Banyak spekulasi tentang penyakit misteri Lutfi. Pada 26 April 2010, beliau menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital UKM, Cheras. Sebelumnya, tiga kali menjalani prosedur angioplasti membuka saluran jantungnya yang tersumbat. Bercuti seketika, namun ia tidak mengendurkan semangatnya untuk terus menulis. Dari katil hospital, beliau terus mencatat pengamatan politiknya yang tajam dan segar.

Akhir-akhir ini, masalah kesihatannya lebih serius. Ada kalanya penglihatan beliau kabur teruk, hingga menyukarnya untuk membaca dan menulis. Aku sesekali berkomunikasi dengannya melalui aplikasi WhatsApp dan SMS. Temujanji aku untuk menziarahinya juga tergendala kerana faktor masa dan keadaan semasa tidak mengizinkan. Sebenarnya, tahap kesihatanku tidaklah 100 peratus baik. Kesan kemalangan jalan raya, 15 Januari 2014. Tarikh itu genap 17 tahun aku disahkan jawatan wartawan Harakah.

Insiden berlaku ketika aku menunggang motosikal menghadiri program dan mesyuarat Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) di NRCafe, Tok Jembal, Gong Badak, Kuala Nerus. Tiba di satu lokasi kawasan Gong Badak, sebuah Perodua Kembara secara salah memasuki simpang ke Taman Perumahan Desa Makmur dan berlaku pertembungan, sekitar jam 9.00 malam.

Aku cedera teruk. Patah paha kiri dan terpaksa dimasukkan sebatang besi sokongan sepanjang satu kaki ke dalam tulang paha. Selama satu tahun aku “bercuti dalam kerja” bersama Harakah. Satu pengalaman baru; seorang berjiwa wartawan tidak boleh duduk bersahaja tanpa membuat kerja-kerja menulis.

Dalam tempoh rawatan itu, aku mempelbagaikan usaha ikhtiar, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan secara tradisional. Apa tidaknya, enam bulan pertama tulang pahaku langsung tidak bersambung. Ini kerana, kesilapan teknikal doktor yang memasang skru hingga menyukarkan pertumbuhan tulang tersebut.

Selepas enam bulan itu, aku sekali lagi dimasukkan ke hospital bagi mengeluarkan semula dua batang skru itu dan baharulah berlaku pencantuman semula tulang. Dalam masa sama, aku juga berikhtiar dengan bomoh patah dan urat saraf di sebuah perkampungan Saiburi, Pattani, Thailand. Di situ, tumbuh keyakinan dan kekuatan secara fizikal.

Sekitar tahun 1998-99, media alternatif berkembang pesat seiring dengan pergolakan hebat politik tanah air. Walaupun kerajaan tidak bertukar ganti dalam PRU1999, tetapi Umno menerima pukulan cukup pedih daripada Barisan Alternatif.

Harakah, Detik, tabloid Eksklusif dan Al-Wasilah menjadi mangsa kerakusan penguasa. Pengedar media Lutfi menyifatkan fenomena itu itu sebagai pendekatan mendera kerajaan BN terhadap suara yang condong kepada pembangkang. Bersama rakan-rakannya, seperti Fathi Aris Omar, Lutfi menubuhkan sebuah badan media bebas merangkumi editor, penulis, wartawan, kartunis dan penerbit, diberi nama KAMI (Kumpulan Aktivis Media Independen) pada tahun 2000. KAMI berjaya mengadakan pertemuan dengan empat Pesuruhjaya Suhakam pada 6 Oktober 2000. KAMI juga menyerahkan memorandum tujuh perkara sebagai usaha awal ke arah membebaskan media.

Di Terengganu, mengambil inspirasi KAMI itu, aku pernah menyuarakan kepada Lutfi untuk menubuhkan cawangan KAMI di Terengganu. Hasrat itu timbul apabila melihat banyak isu-isu penyelewengan dan kepincangan kerajaan BN Terengganu. Namun, kemampuan Harakah juga terhad. Kewujudan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) lebih 25 tahun di negeri ini hanya dilihat menjadi “penyokong” tegar kerajaan BN. Maka, dirasakan perlu wujud sebuah lagi NGO media seperti KAMI bagi memperjuangkan hak dan kebebasan media. Lutfi bersetuju dan turut turun berbincang di Kuala Terengganu.

KAMI Terengganu kini diterajui oleh Dr Azman Ibrahim sebagai Pengerusinya, dan Timbalan Pengerusi, Sazali Mohd Noor. Manakala, Setiausaha dan Bendahari KAMI adalah Khairul Azlam Mohamad dan Nazmi Ghazali. KAMI Terengganu mula bergerak aktif sejak 15 Jun 2012 dan kini telah pun didaftarkan dengan nama KAMI Management.

Sejak itu, nama KAMI Terengganu semakin dikenali kerana terlibat dengan pelbagai aktiviti program media, liputan berita, kursus penulisan berita, konvensyen dan muktamar termasuk menyertai program bersama Yayasan Amal Malaysia di dalam dan luar negara.Antaranya, menyertai program bantuan kemanusiaan gempa bumi di Afghanistan, Acheh, program korban dan akikah anjuran Amal Malaysia di Sudan, Syria, Jordan, Palestin, Kemboja, Mindanao dan lain-lain.

Sesungguhnya Lutfi berjaya mengilhamkan momentum yang kuat kepada perjuangan menuntut kebebasan media di negara ini.

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD, wartawan Harakah cawangan Terengganu
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Artikel ini petikan dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas,untuk mendapatkan buku tersebut dengan harga istimewa ,sila WhatsApp/Hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291

No comments