Buku Lutfi

Sebutir bintang di langit zaman

Oleh HASNI ABAS

AHMAD Lutfi Othman dalam kolum Catatan Hujung yang dikumpulkan melalui sebuah buku khas menulis tentang “Kebebasan Akhbar Tidak Datang Sendiri Perlu Diperjuangkan”.

Memang benar, dalam erti kata yang lebih luas, kebebasan dalam apa bidang sekalipun perlu diperjuangkan. Tanpa perjuangan, kebebasan biasanya tidak akan wujud. Seperti contohnya, sebuah negara yang dijajah perlu diperjuangkan kebebasannya atau kemerdekaannya.

Perbezaan di antara orang yang merdeka dengan hamba ialah nilai kebebasan yang mereka nikmati. Jika kita mengimbau kembali, perjuangan Ahmad Lutfi dalam menuntut kebebasan bersuara telah melalui perjalanan yang panjang. Ia dilakukan beliau semasa usia yang sangat muda.

Perjuangan kebebasan Ahmad Lutfi bermula semasa beliau menjadi mahasiswa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Gurney (kini Jalan Semarak), Kuala Lumpur.

Ketika menjadi Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa UTM sesi 1985/86, timbul isu larangan mahasiswi memakai purdah.

Ahmad Lutfi telah memperjuangkan isu ini. Beliau berpandangan adalah menjadi satu kebebasan kepada mahasiswi untuk memakai purdah sebagaimana yang diyakini oleh ajaran agama yang dianuti oleh mahasiswi tersebut.

Kesan dari pertentangan yang panjang di antara pentadbiran UTM dengan Ahmad Lutfi akhirnya Ahmad Lutfi telah dipecat dari pengajiannya di UTM. Walaupun pada ketika itu, Ahmad Lutfi telah berada di tahun akhir tempoh pengajiannya namun pihak UTM tidak mengambil kira kesan tindakan tersebut kepada beliau.

Apa yang menariknya selepas tempoh yang lama dari peristiwa pemecatan ini, Ahmad Lutfi masih berjiwa besar. Ahmad Lutfi telah hadir semasa UTM melancarkan buku tentang Ainudin Wahid beberapa tahun yang lalu sedangkan beliau telah dipecat semasa Ainudin Wahid menjadi Naib Canselor UTM.

Ahmad Lutfi boleh melupakan kezaliman yang dilalui oleh beliau untuk hadir di majlis pelancaran buku tersebut. “Saya amat menghormati Almarhum Bapak Tan Sri Ainudin. Semasa beliau sakit, saya sering menziarahinya, bertanya khabar dan bercerita tentang kisah silam. Kebetulan kediamannya tidak jauh dari rumah saya,” beritahu Lutfi.

Setelah dipecat dari UTM, Ahmad Lutfi memulakan kerjayanya sebagai wartawan pada tahun 1987, menjelang terbitnya akhbar Harakah milik Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Bermula sebagai pemberita di Harakah inilah Ahmad Lutfi mula mengembangkan bakatnya sebagai wartawan dan penulis. Beliau berubah dari bekas pelajar kejuruteraan awam menjadi wartawan dan penulis.

 Dari tulisan yang menggalakkan tuntutan mahasiswa terhadap kebebasan bersuara dan berhimpun, Ahmad Lutfi ditahan di bawah ISA pada tahun 1989 oleh Dr Mahathir Mohamad. Beliau dituduh menghasut mahasiswa supaya berdemonstrasi menentang kerajaan dan menjadi penghubung di antara parti pembangkang dan gerakan pelajar. Pada awal 1990-an Ahmad Lutfi menulis dalam majalah Dunia Islam. Beliau mempunyai kolum sendiri yang dinamakan Catatan Hujung.

Sebagai penulis, Ahmad Lutfi menghasilkan lebih 30 buku, yang kebanyakannya berkaitan isu politik. Buku-buku tersebut mula dihasilkan secara aktif dari tahun 1992 hingga 2000.

Kesan dari meletusnya era Reformasi tahun 1998, beliau menerbitkan majalah Detik. Sebelumnya menjadi editor majalah Dunia Islam dan Tamadun, yang diurusterbitkan oleh Harakah.

Tamadun dan Detik memainkan peranan penting dalam menerbitkan berita dan perkembangan berkaitan Reformasi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim dari jawatan kerajaan dan Umno.

Walaupun pada peringkat awal, terutama semasa beliau menjadi pemimpin mahasiswa. Ahmad Lutfi agak kritis terhadap Anwar tetapi dalam isu pemecatan Anwar dan pertuduhan-pertuduhan keji yang dihadapinya, Ahmad Lutfi ternyata bersimpati terhadap kezaliman yang dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Apa yang dilakukan Ahmad Lutfi semasa era Reformasi ini, dengan menerbitkan siri makalah dan majalah untuk membela nasib Anwar merupakan satu tindakan pembebasan terhadap rakyat Malaysia yang disogokkan dengan berita-berita fitnah dan keji.

Apa yang diusahakan Ahmad Lutfi tidak dapat bertahan lama apabila Detik diharamkan penerbitannya sebaik keputusan pilihan raya umum 1999.

Wasilah, majalah remaja Islam pro-Reformasi juga menghadapi nasib sama. Jaringan pengedaran buku-buku politiknya juga sering diganggu polis dan KDN.

Usahanya menerbit siri tabloid tidak bersiri – yang tidak memerlukan permit penerbitan – juga menghadapi jalan buntu. KDN mempergiatkan operasi rampasan, dan ia bermula dengan tabloid pertamanya, Haraki, yang membazirkan banyak masa Ahmad Lutfi naik turun mahkamah. Dengan beban penyakit ganjil yang dihadapinya sejak tahun 2000, juga rekod pembayaran oleh para pengedarnya yang teruk, Ahmad Lutfi terpaksa mengaku kalah dengan menutup premis perniagaannya di Medan Idaman, Gombak.

Ahmad Lutfi kembali menjadi wartawan dan editor mingguan Siasah bersama pemiliknya, Mohd Sayuti Omar. Tidak sampai setahun mengasaskan tabloid politik yang diterbitkan dua minggu sekali itu, beliau dijemput menyertai Harakah semula pada tahun 2006, sebagai Ketua Pengarang. Banyak perubahan dilakukannya untuk menyegarkan kandungan Harakah, termasuk menemubual tokohtokoh di luar PAS, juga pemuka dari kalangan bukan politikus.

Ahmad Lutfi juga memulakan inisiatif membantu keluarga mangsa tahanan ISA di seluruh negara, termasuk di Sandakan dan Tawau, Sabah. “Rasanya hampir sejuta ringgit dapat diagihkan kepada keluarga dan mangsa tahanan borong itu, terutama menjelang Aidilfitri dan awal tahun baru, khususnya untuk bantu persiapan ke sekolah. Hubungan kami dengan keluarga tahanan bagai adikberadik. Penderitaan mereka yang ditinggalkan cukup menginsafkan. Alhamdulillah, rata-rata rakyat Malaysia begitu prihatin dan dermawan,” cerita Ahmad Lutfi kepada saya.

Menyedari kebebasan akhbar yang sentiasa dikongkong dan ditekan di negara ini. Ahmad Lutfi menubuhkan NGO berkaitan media iaitu Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI).

 KAMI telah mengadakan beberapa sesi pertemuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk membincangkan tuntutan KAMI terhadap kebebasan media.

Pernah satu ketika, beliau sering mengadakan siri perbincangan mengenai isu ini di Harakah dan saya pernah menghadirinya.
 Pada peringkat awal perjuangan KAMI mendapat sokongan ramai aktivis media. Tetapi lama kelamaan sokongan aktivis terhadap KAMI semakin lama semakin berkurangan, mungkin disebabkan faktor keuzuran Ahmad Lutfi.

Penulis pernah mencadangkan kepada Ahmad Lutfi supaya KAMI membuat demonstrasi besar-besaran seperti yang dilakukan oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) pada 7 Mac 2009 supaya isu kebebasan media ini dapat dilihat kepentingannya oleh rakyat negara ini. Mungkin disebabkan kesibukan sebagai ketua pengarang cadangan tersebut tidak dapat dilaksanakan oleh beliau.

Penulis tidak mempunyai hubungan rapat dengan beliau sebelum isu PPSMI diperjuangkan. Namun apabila isu PPSMI mula dibantah dan GMP ditubuhkan pada bulan Disember 2008, hubungan di antara penulis dengan Ahmad Lutfi mula rapat.

Sebagai Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi memberikan ruang yang luas kepada pemimpin-pemimpin GMP seperti Dato’ A Samad Said (Pak Samad), Dato’ Hassan Ahmad dan Profesor Shahrir Md Zain untuk mengeluarkan kenyataan terhadap isu berkaitan PPSMI.

 Hampir setiap minggu isu berkaitan PPSMI diulas dan diberi pandangan tentang keburukannya oleh tokoh tersebut dalam Harakah.

Penentangan terhadap PPSMI dan penubuhan GMP juga merupakan usaha pembebasan terhadap Dasar Pendidikan Negara ini, dari diajar dalam bahasa Inggeris kepada dikembalikan semula pengajarannya dalam bahasa ibunda.

 Hal ini demikian kerana sekiranya PPSMI tidak dibantah dan tidak dimansuhkan, sistem pendidikan di negara ini akan kembali semula kepada bahasa Inggeris seperti yang berlaku semasa zaman penjajahan dan awal kemerdekaan. Dan juga sekiranya tidak dilakukan pembebasan terhadap sistem pendidikan di negara ini, akhirnya bahasa Melayu tidak akan menjadi bahasa ilmu dan tidak mempunyai nilai di kalangan rakyat.

Ahmad Lutfi juga telah memberi ruang yang luas untuk penulis menulis isu-isu tentang keburukan PPSMI dalam Harakah. Hampir setiap minggu penulis menulis isu tersebut dengan menggunakan pelbagai nama samaran. Ahmad Lutfi ternyata sangat memahami perjuangan GMP dalam usaha mendaulatkan semula kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara ini. Malah, beliau turut sama berdemonstrasi dan dihujani tembakan gas pemedih mata pada 7 Mac 2009.

Dalam kolumnya Catatan Hujung, Ahmad Lutfi menulis tentang demonstrasi 100,000 yang bersejarah itu: “Kehadiran cukup memberangsangkan. Lautan manusia, walaupun terpecahpecah kerana disuraikan polis secara ganas, bukan sekadar mahu menyampaikan mesej jelas-tegas buat pemimpin kerajaan BN, malah mereka bertekad tinggi untuk melakukan perubahan menyelamatkan masa depan anak bangsa. Mereka sedar penguasa sombong-angkuh BN selalunya sukar memahami bahasa lunak melalui diskusi, perbincangan meja bulat atau memorandum yang dikarang indah.”

Kecintaan Ahmad Lutfi terhadap kebudayaan juga jelas terlihat melalui sikap beliau bukan sahaja pada isu bahasa tetapi juga isu kesenian dan kebudayaan.

 Ini dapat dilihat melalui peranan beliau mewujudkan ruangan budaya di Harakah. Usaha beliau ini dapat dilihat sebagai bertujuan untuk melakukan pembebasan terhadap sikap buta budaya kepada celik budaya dalam akhbar tersebut.

Tetapi agak malang setelah beliau diberhentikan dari jawatan Ketua Pengarang, ruang budaya dalam Harakah ditutup.

Pembebasan beliau terhadap sikap buta budaya telah dibutakan kembali oleh pihak pengurusan Harakah.

Perjuangan Ahmad Lutfi dalam pelbagai isu melalui jalan yang panjang dan penuh berliku. Tidak ramai wartawan, penulis atau aktivis yang pernah menempuh jalan seperti yang beliau tempuhi.

Beliau pernah dipecat dari pengajian selepas tamat belajar di UTM selama lima tahun. Ahmad Lutfi pernah ditahan tanpa bicara di bawah ISA.

 Selain itu, penerbitan dua majalahnya, Detik dan Wasilah turut diharamkan. Buku-buku politiknya dirampas.

Permohonan mendapatkan permit KDN ditolak mentah-mentah. Beliau juga disahkan mengidap penyakit jantung semenjak tahun 2010 dan kini menjalani hemodialisis. Beliau juga sering turun naik mahkamah akibat daripada pekerjaannya sebagai Ketua Pengarang di Harakah.

Dari peristiwa yang berlaku kepada Ahmad Lutfi tersebut, ternyata ia memperlihatkan ketabahan dan kecekalan beliau dalam menjalankan peranan dan wataknya sebagai wartawan.

Kehadiran beliau dalam dunia kewartawanan tidak boleh diremehkan. Ahmad Lutfi telah menjadi sebutir bintang di antara wartawan, penulis dan aktivis yang terbit di langit zaman tanah air ini.

HASNI ABAS ialah Setiausaha Gerakan Memansuhkan PPSM (GMP) dan bekas Presiden Kesatuan Pekerja DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka)
_______________________________________________________________________________
Artikel ini petikan dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas,untuk mendapatkan buku tersebut dengan harga istimewa ,sila WhatsApp/Hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291

No comments