Buku Lutfi

Wira Media Alternatif Mencabar Hegemoni Kerajaan

Oleh JENIRI AMIR

DALAM konteks negara demokrasi, penyebaran dan pengaliran maklumat yang pelbagai akan dapat menyuburkan demokrasi, malah demokrasi dan penyebaran maklumat adalah saling memerlukan dan tidak dapat dipisahkan. Media alternatif sebagai institusi sosial dapat berperanan sebagai wahana untuk memupuk tradisi dan amalan demokrasi.

Media alternatif berperanan seperti lalat yang akan menghurungi bau atau sesuatu yang busuk – iaitu mendedahkan sebarang penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan kebobrokan kerajaan serta institusinya.

Media alternatif memainkan peranan sebagai saluran mengungkapkan aspirasi, keprihatinan, dan kekecewaan pelbagai kumpulan. Saluran sedemikian menjadi lebih penting kerana suara pembangkang atau wacana tandingan biasanya tertutup atau diberi ruang kecil dalam media arus perdana. Media yang dimiliki parti pemerintah bertindak sebagai alat propaganda terutama menjelang pilihan raya, manakala sepanjang tahun ia melaporkan rancangan pemerintah dan kegiatan pemimpinnya.

Pola dan corak laporan dalam media arus perdana dan media alternatif menyerlahkan ideologi dan pola pemikiran atau pendirian pihak prokerajaan dengan pihak yang tidak prokerajaan. Akhirnya, muncul laporan bersifat pertentangan duaan atau dikotomi dalam dua jenis media itu, media arus perdana menonjolkan imej positif kepimpinan pemerintah, manakala media alternatif pula memaparkan imej negatif. Dua jenis media tersebut adalah umpama dua garisan selari yang sukar bertemu; sebaliknya bertembung dari segi idealisme dan falsafah perjuangannya.

Disebabkan pola laporan yang demikian, pengkritik pemimpin utama kerajaan dan dasarnya, terutama parti pembangkang sentiasa menerima pelbagai tekanan. Wacana dalam media alternatif lebih merupakan hegemoni tandingan terhadap akhbar arus perdana. Media alternatif merupakan mekanisme yang menyampaikan mesej politik yang berbeza dan bertentangan perspektifnya daripada media arus perdana. Dasar dan kandungannya lebih kritis, bebas, bersahaja, bias, malahan vokal dan bersikap popular, dan komersial, selain bersikap anti-establishment terhadap parti yang memerintah.

Kemunculan media alternatif

Tekanan politik membuka ruang kepada media alternatif untuk menjadi lebih terbuka dalam mengartikulasikan persoalan sosiopolitik dan ekonomi, tetapi protes media alternatif yang keras tetap berada dalam kerangka struktur tindakan pemerintah, malah bertindak sebagai alat propaganda tandingan di tangan golongan dan parti pembangkang untuk melawan hegemoni pemerintah.

Hiper realiti media alternatif pula terjadi kerana media berkenaan memilih untuk menyajikan berita dan maklumat yang sesuai dengan kepentingan dan latar belakang ideologi pembacanya serta mampu memenuhi keperluan emosi dan intelektual mereka. Pembaca memerlukan media yang tetap kritis terhadap pemerintah dan masyarakat dan isu politik yang tercetus agar dialog dapat berlangsung dan kehidupan demokrasi dapat disemarakkan ketika kredibiliti media arus perdana diragui.

Terdapat corak atau pola tertentu liputan media berkenaan ketika politik dan ekonomi bergelora selepas pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998. Yang pasti isu Anwar merupakan titik tolak penting dalam sejarah perjalanan akhbar, terutama akhbar alternatif di negara ini ketika kerajaan berupaya menempatkan akhbar sebagai sebahagian alat ideologi kerajaan yang dapat berperanan dalam proses mengukuhkan hegemoni dan menjaga kestabilan legitimasi pemerintahan BN.

Perbalahan antara kerajaan dengan gerakan pembangkang semakin hebat melalui media alternatif, khususnya internet yang menyediakan medan untuk bertelagah melalui teknologi tinggi.

Populariti dan kesan media alternatif

Seorang penulis dan editor yang memainkan peranan besar dalam kemunculan dan gerakan media alternatif ialah Ahmad Lutfi Othman. Ahmad Lutfi dikenali sebagai seorang yang mempunyai pendirian politik yang jelas. Meskipun dikaitkan dengan PAS, namun yang menjadi perjuangan beliau ialah tadbir urus yang baik. Beliau memusuhi rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pemimpin politik. Hal ini mungkin disebabkan kerjayanya sebagai penulis dan wartawan bermula dengan Harakah. Dalam satu catatan, Ahmad Lutfi mengakui, “Semasa menyertai Harakah pada 1987, hatta untuk menggunakan perisian komputer yang paling mudah, iaitu sekadar untuk menulis bagi menggantikan mesin taip, saya ‘merangkak-rangkak’. Dari segi aplikasi, seorang rakan sepejabat, lulusan sekolah Arab, lebih cepat memahaminya.”

Namun, meskipun bertatih pada awalnya, ternyata kemudiannya, Ahmad Lufti, yang pada awalnya mempelajari bidang kejuruteraan, kemudiannya terjun ke dalam dunia kewartawanan dan penulisan. Beliau tidak lagi menoleh ke belakang sejak menyertai Harakah ketika Umno bergelora apabila Tengku Razaleigh Hamzah menentang kepemimpinan Dr Mahathir Moahamad. Tahun 1987 juga menyaksikan ketegangan hubungan etnik dan politik berlaku sehingga banyak yang dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Tentu keadaan sedemikian memberi cabaran menggunung, sekali gus peluang besar kepada wartawan muda seperti Ahmad Lutfi Othman.
Tahun-tahun penuh gelora itu memperkaya dan mewarna-warnikan pengalaman politik beliau.

Hakikat ini jelas terserlah daripada buku dan media alternatif lain yang pernah diterbitkannya. Beliau bukan sahaja pengarang mapan yang menerbitkan lebih daripada 35 judul buku, tetapi editor yang disegani kerana ketajamannya. Kolum mingguan atau bulanannya sentiasa ditunggu-tunggu kerana sikapnya yang berterus terang, kritis dan analitis, dengan gaya pengolahan yang menarik.

Sesungguhnya, dalam dunia penulisan politik, Ahmad Lutfi dapat dianggap sebagai ikon, namun ikon yang tidak didendangkan, kerana di negara ini, penulis yang bersikap kritis terhadap parti pemerintah atau disifatkan sebagai anti-establishment, sering dipandang serong. Walhal, mereka, seperti penulis dan rakyat lain, juga memberi sumbangan besar terhadap kematangan demokrasi, dan membuka ruang awam. Menjadi agenda penulis dan editor seperti Ahmad Lutfi untuk memastikan negara ini bergerak di atas landasan yang betul. Tidak ada yang dapat meragui kesungguhan dan komitmen Ahmad Lutfi dalam penulisan.

Selain telah menerbitkan lebih 35 judul buku politik, satu hal yang mungkin tidak disedari ramai ialah beliau telah menerbitkan 40 akhbar politik tidak berkala, termasuk Haraki, Memo, Kritis, Ehsan dan beberapa lagi. Ahmad Lutfi juga pernah mengendalikan majalah-majalah seperti Muslimah, Dunia Islam dan Tamadun. Malah, suatu ketika dahulu, Tamadun boleh dianggap sebagai majalah yang wajib dibaca kerana corak tulisannya yang berani, analitis dan mendalam. Melalui majalah politik yang diterbitkannya, Ahmad Lutfi cuba membuka minda pembaca, dengan mencelikkan mata mereka tentang perkembangan dan pergolakan politik di dalam negara.

Sumbangan penting Ahmad Lufti dalam meningkatkan kadar celik politik dan kematangan demokrasi di Malaysia, melalui bidang yang menjadi kecintaannya, perlu diakui. Melalui penerbitan, terutama majalah dan akhbar alternatif, termasuk Harakah, ketika beliau menjadi editor dan ketua editornya, Ahmad Lutfi, telah bertindak dengan penuh tanggungjawab.

Di bawah segala macam tekanan, terutama oleh KDN, Ahmad Lutfi, berupaya bertahan, kerana iltizam dan kekentalan semangat serta profesionalismenya dalam bidang penulisan dan penerbitan. Bidang penulisan dan penerbitan majalah alternatif sudah mendarah daging dalam dirinya. Dari segi ini, peranan dan sumbangan beliau dalam penerbitan dan penulisan buku dan majalah alternatif terutama tentang politik perlu dinilai melalui neraca yang objektif dan adil.

Kerjaya Ahmad Lutfi sebenarnya bermula sebagai pemberita Harakah, malah beliau bagai tidak percaya akhirnya beliau diberi tanggungjawab menerajui akhbar itu. Sesudah itu, Ahmad Lutfi mengucapkan selamat tinggal kepada Harakah, tetapi untuk kemudiannya kembali ke pangkuan akhbar itu. Beliau menubuhkan syarikat penerbitan sendiri, Penerbitan Pemuda, bagai memberi gambaran darah muda yang bergelora di jiwanya ketika itu. Syarikat itu berjaya menerbitkan beberapa hasil tulisan beliau, namun apabila syarikat itu ditutup, beliau kembali menjadi ketua pengarang Harakah (selepas beberapa bulan sebagai editor akhbar Siasah yang juga diterbitkan di bawah Harakah).

Pada dasawarsa 1990-an, Ahmad Lutfi banyak menulis artikel dalam majalah Dunia Islam yang juga dipimpinnya sendiri, malah mempunyai kolum Catatan Hujung, dan hasil daripada tulisan itu kemudiannya diterbitkan dalam bentuk buku dengan judul yang sama.

Ketika menggelegaknya Reformasi 1998 ekoran pemecatan Anwar, dan sentimen anti-Mahathir yang begitu ketara, Ahmad Lutfi memimpin majalah Tamadun. Sebulan selepas Anwar dipecat, menerbitkan majalah bulanan Detik dan majalah bulanan remaja, Wasilah. Beliau bertindak sebagai ketua pengarang untuk kedua-dua majalah yang permitnya milik rakan beliau.

Dua siri tulisan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad turut disiarkan Ahmad Lutfi dalam Tamadun. Pertama, kolum tetapnya, Sasterawan Negara Shahnon Ahmad Menulis. Kedua, novel bersiri bertajuk Kami Masih Ingat Lagi yang penuh nostalgia. Tamadun mendapat permintaan tinggi kerana laporannya mengenai fenomena Anwar Ibrahim dan Reformasi. Keluaran September 1998, misalnya (yang lewat dicetak kerana hendak mengisi cerita terbaru Anwar Ibrahim dan Reformasi) mencapai edaran 150,000 naskhah, setelah terpaksa diulang cetak sebanyak tiga kali. Sebelum itu Tamadun hanya dicetak 30,000 naskhah, tetapi disebabkan kedahagaan pembaca dan rakyat untuk mengetahui perkembangan terkini tentang Anwar dan Reformasi, maka edarannya melonjak. Orang mencari Tamadun untuk mendapatkan maklumat terbaharu, benar dan berani, mengenai Reformasi dan cerita mengenai Anwar.

Dalam kata pengantar buku Catatan Hujung, Dinsman menyatakan, “Memang itu satu fenomena. Fenomena Reformasi. Dan Ahmad Lutfi Othman yang sedang mencipta nama sebagai penulis buku politik semasa paling prolifik dan diminati waktu itu, berasa tidak cukup sekadar menangkap dan merakamkan fenomena itu di dalam buku dan Tamadun – majalah yang bukan miliknya.” Kata beliau lagi, apabila mencebur diri dalam kancah penerbitan akhbar/majalah, yang mengkritik kerajaan pula, kerenah dan cabaran yang dihadapi oleh beliau bukannya kecil. Kolumnya, Catatan Hujung memang sentiasa ditunggu-tunggu oleh peminat politik. Mengapakah kolum Ahmad Lutfi itu mendapat sambutan hangat daripada pembaca? Mengikut Dinsman, sebabnya adalah “Ada pandangan dan pemikiran yang agak lain, khasnya dalam hal politik. Sudut pandangannya kadang-kadang yang kita tak terfikirkan. Kesegarannya, dan keberaniannya.”

Selain itu, beliau menyatakan, maklumatnya dan ingatan Ahmad Lutfi mengenai peristiwa-peristiwa penting dalam perjalanan politik Malaysia, dengan kejadian-kejadian rasuah, penyelewengan, penipuan, kezaliman, begitu luas dan rinci. Dia mengingatkan hal-hal yang orang mungkin terlupa.

“Dia boleh jadi orang PAS, tetapi pandangannya kadang-kadang ada yang tidak menyenangkan orang-orang PAS tertentu. Komitmennya terhadap perjuangan PAS memang tidak perlu dipersoalkan, tetapi kadang-kadang ternampak dia seperti lebih memihak kepada profesionalisme kewartawanan,” jelas Dinsman.

Detik diterbitkan sebulan sekali sejak Januari 1999, hasil pinjaman permit daripada seorang teman baiknya, Samsuri Roslan, kemudiannya diterbitkan dua bulan sekali pada Julai 1999, namun hanya sempat diterbitkan sebanyak 17 kali. Cabaran sebagai penerbit majalah politik alternatif bukannya kecil. Ahmad Lutfi bukan sahaja bergelut dengan masa untuk mendapatkan bahan terbaik, tetapi perlu menghadapi cengkaman kerajaan melalui KDN. Sebagai instrumen hegemoni kerajaan, KDN mempunyai Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang dapat digunakan pada bila-bila masa.

Selepas pindaan 1987, melalui akta ini, pihak kerajaan mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan, menarik balik, menggantung dan mengharamkan lesen penerbitan majalah atau akhbar. Ia umpama pedang yang dapat mencantas kepala editor pada bila-bila masa. Jika tersalah langkah, dengan menyiarkan berita atau rencana yang boleh menyinggung perasaan pihak berkuasa, atau menggugat kedudukan mereka, KDN tidak teragak-agak mengambil tindakan, termasuk menarik balik permit penerbitan.

Detik pernah menyiarkan wawancara dengan Anwar yang diseludup dari penjara. Disebabkan populariti majalah itu, ia pernah mencecah edaran 100,000 naskhah namun seperti Tamadun, Detik juga tidak bernafas panjang. Detik diharamkan oleh KDN, setahun selepas diterbitkan kerana menyedari bahawa majalah terbitan Ahmad Lufti, merupakan duri dalam daging kepada kerajaan.

Selepas Detik diharamkan, Lutfi Othman beralih kepada edisi tabloid tidak berkala dengan pelbagai pendedahan berani tentang salah guna kuasa di bawah kepemipinan Mahathir, menyebabkan KDN mengambil tindakan termasuk merampas dan mengheretnya ke mahkamah. Ahmad Lufti, sebagai editor dan penerbit yang berpengalaman, sedar akan risiko yang perlu dipikul.

Bermula 2001, Ahmad Lutfi yang “keras kepala” dan kuat daya tahan itu, jatuh sakit dan akibatnya, beberapa tahun kemudian, beliau tidak punya pilihan, melainkan terpaksa menutup syarikat penerbitan yang disayanginya. Puncanya, kerenah pengedar yang enggan dan lambat membayar memberi tekanan kewangan kepada beliau. Beliau perlu membayar penulis dan pencetak. Apabila pengedar tidak bertanggungjawab dan menipu, maka, kesannya terpaksa ditanggung oleh beliau.

Biasanya majalah dihantar dahulu, dan bayaran dikutip kemudian. Jika tidak laku, naskhah baki berkenaan boleh dikembalikan. Ini merupakan amalan biasa dalam industri perbukuan dan majalah.

Pada 2004, selepas agak pulih, beliau kembali semula ke dunia kewartawanan. Kali ini, beliau menjadi editor akhbar politik, Siasah yang diterbitkan oleh Mohd Sayuti Omar adalah bersaiz kompak. Meskipun isu politik kelihatan menjadi keutamaannya, akhbar dengan moto “Neutral & Berwibawa” itu turut menyajikan berita hiburan, pendidikan, agama, serta berita perniagaan dan berita dunia.

Sejak 2006 pula, Ahmad Lutfi diamanahkan memikul tanggungjawab yang lebih berat. Beliau dilantik sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Harakah. Siasah muncul ketika Harakah dipaksakan oleh KDN mengurangkan kekerapan penerbitannya daripada lapan kali sebulan kepada hanya dua kali sebulan. Pada zaman politik negara bergelora, selepas pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Lutfi telah menerbitkan malajalah Detik dan Wasilah, namun kedua-dua majalah itu tidak dapat bertahan lama kerana diharamkan KDN.

Peningkatan minat yang ketara terhadap media alternatif bertitik tolak daripada dasar dan sikap terlalu memihak media arus perdana dalam melaporkan isu yang berkaitan dengan isu pemecatan dan skandal Anwar. Media arus perdana telah diperalat sehingga isi kandungannya tidak berasas dan semata-mata menyebelahi pihak pemerintah sehingga mencetuskan kemarahan rakyat. Kesabaran rakyat sampai ke kemuncaknya apabila akhbar berkenaan terus memesongkan berita untuk tujuan melindungi pihak pemerintah. Corak laporan seperti itu menyebabkan kredibilitinya terhakis.

Media atau sumber alternatif, termasuk yang ditangani Ahmad Lutfi telah memberi saingan sengit kepada media arus perdana. Ia muncul sebagai wadah penting dalam menggerakkan maklumat pro-Reformasi dan pro-Anwar terutama ketika negara akan mengadakan pilihan raya pada 1999. Pada ketika itu rakyat mahu membaca berita yang dapat dipercayai dan bersifat analitis, dan bukan merupakan trompet kerajaan. Ketika krisis politik media arus perdana memilih untuk menjadi jurucakap kerajaan, berbanding menjadi jurucakap rakyat (Mustafa Kamal 2004, 488) dan ini menyebabkan kredibilitinya terpukul teruk. Dengan kekangan terhadap kebebasan bersuara, pertubuhan sivil telah muncul memperjuangkan kebebasan akhbar, termasuk Charter2000-Aliran, Center for Independent Journalism, Writer’s Action for Media Independence, Media Agenda Malaysia, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dan Jawatankuasa Menentang Pengambilalihan (Nanyang Siang Pau) (Mustafa Kamal 2004, 492).

Sementara laman yang lebih profesional yang dikendalikan oleh parti pembangkang atau NGO yang berorientasikan hak asasi manusia seperti AIM (Abolish the ISA Movement), Aliran Online (Aliran), Harakahdaily (PAS) dan Berita Keadilan terus muncul dan sebahagian laman berkenaan adalah dirangkai justeru menggalakkan interaksi antara pelayarnya yang kebanyakannya terdiri daripada penyokong pembangkang dan mereka yang ingin mengetahui pandangan yang berbeza (Abbott 2004, 86).

Dalam hubungan ini, Ahmad Lutfi telah turut memainkan peranan penting dalam mengasaskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) media, Kumpulan Aktivis Media Independen atau KAMI. Beliau berusaha mengumpulkan pengamal media bagi mempromosikan kebebasan akhbar dan menyampaikan memo kepada Suhakam. Malah, NGO terbabit berjaya bertemu dengan Naib Pengerusi Suhakam, Harun Hashim dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya Zainah Anwar, Hamdan Adnan dan Mehrun Siraj untuk menyatakan pendirian.

Harakah: Mencabar dan meragui naratif utama

Harakah, lidah rasmi PAS mulai diterbitkan pada 27 Mac 1987 sebagai menggantikan Al-Harakah yang dirampas oleh KDN kerana diterbitkan tanpa permit. Idea menerbitkan Harakah diasaskan oleh Subky Latif, bekas wartawan Utusan Melayu dan Mastika dan Nakhaie Haji Ahmad, Ketua Penerangan PAS Pusat yang kini sudah menyertai Umno. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Megat Junid Megat Ayub mempersoalkan mengapa parti pembangkang itu tidak memohon permit. Harakah beredar di pasaran seminggu sebelum Muktamar PAS dilangsungkan dan ketika krisis teruk berlaku dalam Umno dan menjelang Operasi Lalang 1987.

Sebagai lidah rasmi parti, matlamat Harakah adalah bersifat politik demi memperjuangkan matlamat, dasar dan ideologi parti berkenaan meskipun turut memuatkan isu dan berita parti-parti lain. Harakah juga dijadikan wadah untuk rakyat yang menghadapi masalah dengan kerajaan. Tentang matlamat Harakah, Nakhaie Haji Ahmad, menjelaskan tujuannya adalah untuk menampung pandangan PAS kerana pandangan PAS tidak diberikan ruang di akhbar lain, selain pandangan oleh akhbar lain itu tidak selari dan tidak seimbang dengan pandangan PAS. Harakah juga bermatlamat untuk memberikan pandangan kedua yang mendukung pandangan kerajaan, serta menerima kritikan dan pandangan orang lain terhadap PAS (Ashrab 1988), dan dalam proses tersebut sering mencabar dan meragui metanaratif.

Harakah dapat dianggap sebagai sumber kewangan parti. Bagi menarik perhatian pembaca dan meningkatkan jualannya, Harakah lazimnya menyiarkan isu semasa dan isu nasional, terutama isu politik sebagai tajuk utamanya. Bagi mendapatkan sumber kewangan, walaupun sesuatu berita tidak mempunyai unsur yang diperjuangkan oleh parti, tetapi demi kepentingan komersial, berita itu tetap disiarkan di muka hadapan (Ashrab 1988). Antara ketua pengarang yang pernah menerajui Harakah ialah Zin Mahmud, Ahmad Lutfi, Zulkifli Sulong, Taufek Yahya dan Suhaimi Mokhtar.

Dari segi kandungan editorial, selari dengan matlamat penerbitannya, maka Harakah mengamalkan dasar dan corak pemberitaan yang berbeza daripada media arus perdana. Sebagai lidah rasmi parti, Harakah mengutamakan objektif parti dengan menyiarkan kegiatan parti serta cuba menonjolkan imej positif tentang PAS. Laporannya lebih banyak menyiarkan kritikan terhadap kerajaan, khususnya Umno, parti yang menjadi pesaing utamanya. Harakah sebagai akbar alternatif melaporkan sesuatu yang tidak disiarkan dalam akhbar arus perdana, termasuk persoalan politik, agama, sosial, ekonomi dan sebagainya.

Ahmad Lufti, ketika menjadi ketua editor Harakah, sedar akan cabaran yang dihadapinya, selepas akhbar itu menemui zaman cemerlang. Ketika krisis politik berlaku pada 1999, Harakah mendapat sambutan luar biasa daripada pembaca sehingga angka jualannya mengatasi edaran akhbar arus perdana. Beliau merombak kandungan, reka letak dan gaya penyampaian, dengan harapan untuk menarik kembali pembaca ketika sentimen pro-Anwar dan isu berkaitan semakin mengendur.

Harakah cenderung memaparkan laporan tentang kepincangan kerajaan dan sebagai wadah mempertahankan diri dan menangkis segala kritikan dan laporan negatif akhbar arus perdana yang dikuasai kerajaan, selain saluran memaparkan dasar dan propaganda parti, termasuk rencana becorak dakwah.

Berbanding lidah rasmi parti pembangkang lain, Harakah mempunyai kelebihan kerana diterbitkan dengan kadar yang agak kerap, sedangkan lidah rasmi parti lain pada amnya diterbitkan sekali dalam sebulan atau tiga bulan.

 Harakah juga mempunyai jumlah wartawan dan editor yang relatif banyak, itu 20 orang serta sistem pemasaran yang relatif baik berbanding lidah rasmi parti-parti lain. Jumlah ini sudah meningkat berbanding hanya enam orang pada 1987 sebelum bertambah menjadi 13 orang pada 1988.

 Dari segi pengedaran, Harakah tidak berhadapan dengan masalah besar kerana PAS mempunyai rangkaian pengedar yang terdiri daripada ahli dan cawangan PAS di seluruh negara. Jabatan Penerangan dan Penyelidikan PAS dan rangkaian pengedarannya dianggap mampu menerbit dan mengedarkan Harakah (Zulkifli 2005; Hussain 2000, 214). Jumlah sirkulasi pada peringkat awal ialah sekitar 20,000 tetapi melonjak kepada 60,000 pada bulan Ogos, September dan Oktober 1987 ketika berlakunya krisis dalam Umno, krisis kehakiman dan ketegangan hubungan kaum dengan majoriti pembeli di Kuala Lumpur, Terengganu, Kelantan, dan Kedah.

Sambutan terhadap Harakah meningkat tahun demi tahun, selari dengan peningkatan jumlah ahli PAS. Ketika berlaku perpecahan dalam Umno mengikut Team A dan Team B, Harakah terus mendapat sambutan. Dalam keadaan demikian, Harakah mengalami peningkatan edaran yang memberangsangkan. Masyarakat dan juga orang Umno terutama Team B mendapatkan Harakah bagi mengetahui sikap PAS terhadap mereka ketika pergolakan dalam Umno berlaku.

Harakah menjadi popular kerana meskipun dikenakan sekatan oleh kerajaan, iaitu untuk dijual kepada ahli sahaja, namun akhbar tabloid dwimingguan itu dijual secara terbuka walaupun sesetengah penjual mengedarkannya secara bersembunyi bagi mengelakkan dikenakan tindakan, terutama menjelang sesuatu pilihan raya. “Atas pelbagai alasan, Harakah, lidah rasmi PAS merupakan akhbar kesayangan rakyat Malaysia beberapa tahun lalu.” (Aliran Dis 2000, 13-14).

Harakah yang wujud hari ini ialah Harakah yang turut dibentuk oleh perkembangan sosiopolitik dan kematangan masyarakat, selain tekanan yang diterimanya sebagai media alternatif. Harakah hari ini wujud daripada sekatan-sekatan yang menghalang pandangan tertentu daripada berada di pasaran (Rozaid 2000).

Jika sebelum kes pemecatan Anwar, Harakah lebih bersifat sebagai lidah rasmi PAS dengan banyak menyiarkan berita tentang dasar dan kegiatan parti itu, namun Harakah menjadi kian popular, malah menjadi bacaan wajib pembaca menggantikan media arus perdana selepas kes Anwar memuncak.

Sebab, akhbar itu mempunyai keberanian melaporkan berita yang tidak disiarkan atau yang cuba disembunyikan, diselewengkan dan diremehkan oleh akhbar arus perdana.

 Harakah menjadi nadi utama gerakan Reformasi dan pembangkang dengan pendekatan yang lantang dan berterus terang. Ketika edaran dan populariti akhbar arus perdana merosot, Harakah mengambil kesempatan daripada krisis keyakinan khayalak, dan hal ini dibuktikan daripada edarannya yang meningkat dengan mendadak ketika itu.

Peningkatan yang ketara berlaku pada zaman Reformasi apabila pada 1998 ia mencecah 380,000 naskhah – sekali gus mencipta sejarah dalam dunia persuratkhabaran tanah air. Itulah untuk pertama kali akhbar pembangkang pernah mencecah angka yang begitu tinggi, iaitu peningkatan 500 peratus, mengalahkan edaran akhbar-akhbar harian yang lain.

Peningkatan itu dikaitkan dengan peningkatan jumlah ahli yang menyertai PAS selepas pemecatan Anwar dan memuncaknya gelombang Reformasi. Peningkatan edaran Harakah turut memperlihatkan sokongan orang Melayu terhadap PAS yang meningkat berkali ganda ketika sokongan terhadap Umno semakin merosot. Keputusan pilihan raya umum 1999 membuktikan hakikat ini apabila PAS menambahkan majoritinya kerusi dan undi popular, selain berjaya merampas Terengganu daripada Umno. Sebelum Reformasi ahli PAS hanya sekitar 450,000, namun terus melonjak kepada 800,000 selepas tercetusnya Reformasi, termasuk mereka yang keluar dari Umno dan mereka yang tidak memasuki mana-mana parti sebelumnya.

Dengan mengambil kira bahawa jualan dua buah akhbar bahasa Inggeris utama, NST dan The Star masing-masingnya hanya sekitar 200,000 naskhah, maka Harakah dapat dianggap sebagai akhbar de facto selepas kejatuhan Anwar (Hwang 2003, 320).

Peningkatan edaran yang begitu drastik berpunca daripada kesedaran orang ramai betapa perlunya saluran maklumat alternatif, berikutan akhbar utama tidak memberikan maklumat yang tepat dan adil.
“Rakyat mencari alternatif. Mereka terjumpa pilihan, Internet dan Harakah. Sebab itulah, homepage Harakah turut mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan, di samping Harakah sendiri,” kata Zulkifli. Bagi menghadapi cabaran alaf baru, Harakah mahu mempertahankan sirkulasinya dan ingin muncul sebagai akhbar harian yang disegani, mantap dan dihormati. Caranya adalah dengan meningkatkan kualiti persembahan walaupun mengakui sukar selagi pemerintah yang ada terus berkuasa (Zulkifli 1999, 26).

Walau bagaimanapun, angka itu memperlihatkan trend edaran yang merosot apabila hanya mampu dijual 250,000 pada tahun 2000 sebahagiannya kerana semangat Reformasi dan menentang kerajaan semakin kendur dalam kalangan rakyat. Kemerosotan itu juga berpunca daripada pengurangan kekerapan penerbitannya daripada lapan atau sembilan kali sebulan kepada hanya dua kali sebulan mulai Mac 2000 sehingga menyebabkan akhbar itu hilang momentum.

Tindakan mengenakan pelbagai syarat kepada Harakah termasuk mengurangkan kekerapan dan hanya membenarkan akhbar itu dijual kepada ahli PAS merupakan percubaan Umno untuk menyekat pengaruh Harakah dan PAS. KDN turut mengeluarkan arahan agar penjual Harakah tidak mempamerkan atau menjual Harakah secara terbuka. Harakah hanya boleh dijual di markas dan di cawangan PAS yang berdaftar sahaja. Pihak penguatkuasa KDN dan polis telah merampas naskhah Harakah yang dijual di kaki lima, gerai, dan kedai. Tindakan KDN menyekat orang ramai membeli dan membaca Harakah tidak mendatangkan kesan. Walau bagaimanapun, akhbar Harakahdaily tidak pula dikenakan tindakan atau diganggu oleh kerajaan.

Namun, dengan edaran tinggi dan jumlah pembaca mencapai lebih sejuta orang, Harakah dapat dianggap sebagai akhbar alternatif yang paling berpengaruh sebelum dan selepas krisis 1998 dan pilihan raya umum 1999. Disebabkan populariti dan pengaruh Harakah dalam pilihan raya 1999, maka KDN mengeluarkan arahan hanya membenarkan akhbar itu sebagai akhbar dwibulanan, bukannya dwimingguan seperti sebelumnya mulai 1 Mac 2000.

Persoalannya, mengapakah baru pada waktu itu peraturan itu diwujudkan? Adakah hanya kerana Umno juga hendak menerbitkan akhbar rasminya dua kali sebulan, maka Harakah, Rocket dan Keadilan dipaksa mengikuti jejak langkah suara Umno itu? (Hussain 2000, 213).

Mengikut Husam, hujah Abdullah Badawi bahawa permit dua kali sebulan diberikan supaya selaras dengan penerbitan buletin parti Umno adalah tidak logik dan tidak munasabah. “Kalau Umno boleh bertelur sebiji, pasal apa kita kena ikut Umno bertelur sebiji, kalau kita ada kapasiti bertelur lebih, kita bertelur lebih...” (Husam 2001, 33).

 Pengurangan kekerapan penerbitan hanya dua kali seminggu dan mengehadkan jualannya di tempat tertentu merupakan strategi dan langkah Umno dan kerajaan untuk membendung pengaruh dan populariti Harakah dan PAS yang melonjak menjelang pilihan raya umum 1999.

Hakikat bahawa pihak kerajaan hanya memberi perhatian terhadap akhbar seperti Harakah ketika berlaku krisis atau menjelang pilihan raya terbukti apabila isu tentang Harakah langsung tidak pernah disinggung oleh mana-mana pemimpin selepas pilihan raya 1999 dan 2004 lama berlalu. Malah isu mengenai penjualan terbuka tidak lagi diambil peduli selepas itu. Malah, selepas keadaan reda Harakah kelihatannya dijual bersama-sama akhbar arus perdana di rak terbuka di seluruh negara.

Bagaimanapun, isu ini pasti akan berulang lagi menjelang pilihan raya umum yang akan datang atau jika terdapat “salah laku dan dosa besar” yang ditanggapi mampu mengaibkan pihak pemerintah, khususnya Umno.

Selain itu, Harakah juga dikenakan tindakan hanya dibenarkan untuk diedarkan dalam kalangan ahli PAS sahaja. Langkah ini merupakan langkah mengurangkan kesan dan pengaruhnya, selain memberikan tekanan kepada sumber kewangan parti. Dengan mengambil kira bahawa keuntungan bersih bagi setiap naskhah ialah 50 sen selepas ditolak kos-kos lain, termasuk dalal pengedar, jadi pada waktu puncak, keuntungannya sebulan ialah sekitar RM1.6 juta sebulan.

 Dengan itu, dari segi edaran, pengeluarannya telah dikurangkan sebanyak 75 peratus. Tetapi Harakah bertindak balas secara pragmatik dengan meningkatkan jumlah halaman dan harga bagi memastikan keuntungannya tidak terjejas. Selepas arahan tersebut, edaran Harakah adalah sekitar 250,000 hingga 300,000 naskhah (Tamadun, Feb 2000).

Mengikut kerajaan, tindakan itu diambil kerana Harakah melanggar syarat bahawa akhbar itu adalah untuk ahli PAS sahaja. Tetapi kerajaan mendapati bahawa Harakah dijual secara terbuka kepada umum. Selain itu, kerajaan menyatakan, tindakan itu perlu supaya selaras dengan kekerapan pengeluaran lidah rasmi parti lain (Mustafa 2000, 13).

 Mengikut Zulkifli (2005) sekatan itu diambil atas dua sebab, iaitu faktor masyarakat dan faktor politik. Dari segi masyarakat, kerajaan mendapati bahawa Harakah mempunyai pengaruh yang kuat apabila mendapat sambutan menggalakkan daripada pembaca, terutama dalam kalangan masyarakat Melayu. Dari segi politik, sokongan masyarakat terhadap Harakah adalah sebagai bukti kemarahan mereka terhadap kerajaan kerana cara mengendalikan kes Anwar yang dianggap keterlaluan dan mengaibkan seorang pemimpin yang pernah berjasa kepada Umno dan negara. Jadi, jalan terbaik adalah dengan menyekat Harakah daripada terus melebarkan pengaruhnya.

Faktor lain ialah pembaca telah hilang kepercayaan terhadap media arus perdana yang begitu memihak kepada kerajaan. Pada satu peringkat PAS telah mengambil tindakan memboikot media berkenaan. Itulah ketikanya masyarakat memilih media alternatif seperti Harakah, Tamadun, Detik, Rocket, Keadilan dan lain-lain muncul. Mengikut Zulkifli, sebagai lidah rasmi parti Islam, Harakah perlu berpegang pada prinsip kebenaran, iaitu melaporkan fakta dan kebenaran walaupun tidak disenangi oleh kerajaan.

Dalam hubungan ini, Ahmad Lutfi telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan majalah Detik dan Tamadun dan sebagainya ketika itu mendapat sambutan hangat daripada pembaca. Ketika krisis, Harakah, Detik, Tamadun dan majalah-majalah lain yang diusahakan oleh Ahmad Lutfi mendapat sambutan bukan sahaja kerana keberanian beliau menyiarkan rencana yang berlainan daripada yang disiarkan oleh media arus perdana, tetapi corak penulisan yang terus terang, kritis dan analitis.

Dengan gelombang antikerajaan dan kesedaran politik yang meluas dalam kalangan rakyat, akhbar dan majalah terbitan Ahmad Lutfi mendedahkan berita dengan pendekatan yang berani dan lantang. Pendekatan sedemikian dapat memenuhi cita rasa khalayak. Hal ini menyebabkan media terbitan beliau menjadi saingan utama media arus perdana dari segi mendapatkan khalayak.

Hakikatnya, sumbangan dan jasa besar Ahmad Lutfi dalam meningkatkan edaran Harakah, dan menyerlahkan imej dan kredibiliti akhbar itu, perlu diakui. Ahmad Lutfi memainkan peranan besar dalam melakarkan perjalanan editorial Harakah sehingga bukan sahaja dikenali dalam kalangan ahli PAS, tetapi juga pembaca umum. Harakah menjadi akhbar yang dikenali dalam kalangan ahli PAS pada tahun-tahun sebelum ledakan Reformasi 1998. Namun, kemudiannya, akhbar itu semacam bacaan wajib bagi pembaca yang ingin mengetahui berita politik tanah air. Menjelang PRU13, Ahmad Lutfi memainkan peranan penting dalam menonjolkan isu penting melalui Harakah, sehingga berjaya mempengaruhi pola perngundian.

Cabaran dan kawalan media alternatif

Media alternatif, termasuk yang diterbitkan oleh Ahmad Lutfi berdepan pelbagai cabaran dan masalah. Antaranya ialah tiada latihan staf atau penataran kemahiran dan ilmu yang sistematik, dan rangkaian pengedaran yang lemah dan terbatas, serta jumlah kakitangan yang terbatas. Tidak ada pihak yang berminat menyuntik modal, berpunca daripada kesedaran bahawa permit penerbitannya boleh ditarik balik pada bila-bila masa

. Pada zaman Reformasi, Ahmad Lutfi berada dalam keadaan serba salah dan sukar. Pihak penerbit sering dipanggil ke pejabat KDN. Sesi pertemuan itu biasanya turut dihadiri pegawai kanan KDN dan polis Bukit Aman. KDN turut memanggil pihak Harakah atas alasan akhbar itu dijual di merata-rata tempat. Ia tidak membenarkan Harakah dijual bersama-sama dengan akhbar lain kerana Harakah ialah lidah rasmi parti. Justeru, KDN meminta Harakah membuat rak khas. Untuk tujuan itu, pihak Harakah dan penjual terpaksa membelanjakan sekitar RM80,000. Ironinya, langkah itu
mendatangkan dampak positif apabila jualan Harakah meningkat. Apabila menyedari kesan berkenaan, KDN pun hanya membenarkan Harakah dijual di markas dan pejabat parti, namun arahan tersebut tidak dipatuhi kerana dianggap tidak adil dan keterlaluan (Zulkifli 2005).

Dalam keadaan demikian pihak Cawangan Khas sering mengugut dan mengancam penjual Harakah. Penjual bukan Melayu biasanya menjadi sasaran kerana mereka tidak mungkin ahli PAS kerana mengikut syarat hanya ahli PAS yang boleh menjualnya. Permit untuk menerbitkan Harakah berakhir pada 28 Februari setiap tahun. Selepas Umno tidak lagi mendapat sokongan kuat daripada rakyat, kerajaan bertindak mengenakan tekanan terhadap Harakah. Permit penerbitan Harakah tidak diperbaharui tanpa alasan, sehingga “pihak pengurusan Harakah menunggu surat izin baharu bagi tahun 2000 daripada KDN dengan amat cemas sekali kerana edisi Jumaat 3 Mac 2000 itu perlu dicetak dua hari sebelumnya.” (Hussain 2000, 211).

Hanya pada akhir Mac 2000 barulah pihak Harakah diberitahu bahawa permit diluluskan dengan syarat menjadi akhbar dwimingguan. Strategi melengah-lengahkan kelulusan itu membayangkan dilema yang dihadapi oleh KDN dan pemerintah dalam memikirkan tindakan dan keputusan yang terbaik untuk dirinya, sekali gus memberi tekanan kepada Harakah dan PAS.

Pada waktu yang sama, kerajaan sedar ia tidak boleh mengambil tindakan yang ekstrem terhadap akhbar itu, kerana bimbang akan kemungkinan reaksi keras daripada penyokong PAS dalam keadaan suhu politik yang bergelora. Kerajaan Mahathir terpaksa mengambil langkah yang drastik bagi mengembalikan kerelevanan dan hegemoni Umno yang didapati bersaing hebat dengan PAS.

Tindakan itu merupakan strategi kerajaan untuk menyekat atau mengurangkan pengaruh Harakah. Mengikut Mahathir, tindakan itu diambil sebagai hukuman kepada Harakah kerana melanggar syarat permit penerbitannya dengan menjual akhbar itu secara terbuka meskipun telah diberi amaran banyak kali oleh KDN.

Dalam pada itu, meskipun laporannya cenderung mengkritik kerajaan, hal ini tidaklah pula bermakna bahawa Harakah dapat mengkritik sesuka hati tanpa batasan. Memetik kata-kata Ahmad Lutfi, “Harakah juga menghadapi tekanan batin yang amat menyeksakan” kerana sesuatu isu mengenai kemungkaran pemerintah hanya dapat dibongkar sepintas lalu sahaja. Jika editor mendedahkan segala kebenaran, ia takut permit penerbitannya ditarik balik tanpa amaran. Untuk itu, pengarangnya terpaksa mengekalkan Harakah dalam keadaan yang tidak terlalu menyerang kerajaan, atau lebih tepat lagi dalam keadaan yang lemah dan tidak menggugat kerajaan Umno.

Sebenarnya, seperti akhbar arus perdana, pengarang dan wartawan lidah rasmi PAS itu juga berhadapan dengan cabaran yang serupa dari segi kawalan operasi. Mereka juga perlu melakukan kawalan dalaman sebagai mekanisme saringan editorial. Mereka perlu memenuhi agenda dan matlamat pemilik atau penaungnya. Falsafah bahawa lidah rasmi parti berperanan sebagai alat promosi, propaganda, dan hamba parti menyebabkan ruang bergerak dan melakukan wacana terbuka terbatas. Biasanya editor ditegur supaya mencari dan menggunakan perspektif yang lebih lunak. Isu yang membangkitkan kontroversi adalah apabila Ahmad Lutfi menyiarkan berita bagaimana anak Mahathir menggunakan alamat Seri Perdana dalam perkara berkaitan dengan perniagaan. Walhal, wacana bebas untuk membincangkan kepentingan dan kemajuan parti perlu juga dibenarkan untuk dibincangkan melalui organ parti (Ahmad Lutfi 2005).

Sedar akan hakikat bahawa Harakah merupakan lidah rasmi parti, maka Ahmad Lutfi dalam satu temu bual dengan penulis pada 2005, tidak menyalahkan pihak pengurusan. Sebaliknya, dia menganggap dirinya sebagai bukan petugas parti yang baik. “Saya faham bahawa Harakah ialah organ parti, tetapi keputusan kita sebagai editor selalu bercanggah dengan kehendak kita sebagai petugas parti.

Sebagai petugas parti saya sedar saya perlu mendukung kepentingan dan strategi parti.” (Ahmad Lutfi 2005) Dari segi ini, pengarang organ parti berada dalam keadaan yang serupa dengan pengarang media arus perdana.

Pemimpin tertinggi parti atau beberapa pemimpin kanan parti berperanan besar menentukan jatuh bangun pengarang lidah rasmi parti seperti Harakah. Ketua Pengarang Harakah dilantik oleh Lembaga Pengarah. Ahmad Lutfi pernah mengalami tekanan pihak pemimpin parti apabila mereka kurang senang dengan laporan – yang dikatakan negatif – terhadap Anwar Ibrahim, waktu itu Menteri Kewangan, rakan Dato’ Fadzil Noor, pemimpin kanan PAS.

 Lidah rasmi parti tidak boleh sama sekali menyeleweng daripada menjadi hamba atau kuli sepenuh masa parti ini. Sebarang tindakan yang ditanggapi tidak serasi dengan aspirasi parti akan menyebabkan pemimpin kanan, dan juga pengikut parti mempertikaikan pengarang kanannya, termasuk memecat atau menekannya hingga dia harus melepaskan jawatannya. Kadangkala pihak Lembaga Pengarah memanggil, menegur dan menasihati Ketua Pengarang jika ia tidak berpuas hati dengan kandungan yang disiarkan (Fathi Aris 2005, 73).


Sekitar pertengahan tahun 2014, sekali lagi Ahmad Lutfi yang menjadi ketua pengarang Harakah sejak 2006 mendapat kritikan hebat sesetengah pimpinan PAS ekoran liputan Harakah terhadap isu menteri besar Selangor. Beliau dikatakan mempunyai pertimbangan sendiri, berdasarkan prinsip kewartawanan yang dipegangnya, serta mahu menjaga keharmonian antara parti dalam Pakatan, tetapi dilihat mengetepikan kehendak pemimpin tertinggi PAS.

Pertembungan antara golongan profesional-ulama, kontroversi idea kerajaan perpaduan, juga dikatakan menjadi isu. Pada akhir bulan Disember 2014, dalam pertemuan dengan Pengerusi Lembaga Pengarah Harakah, Dato’ Mustafa Ali dan Pengarah Urusan Dr Rosli Yaakop, Ahmad Lutfi diminta melepaskan jawatan Ketua Pengarang atas alasan keuzuran berpanjangan. Beliau menolak. Susulan itu, Lembaga Pengarah Harakah pada 17 Februari 2015, memanggil Ahmad Lutfi, membincangkan lebih lanjut kedudukan beliau. Ada yang menyatakan bahawa masalah beliau dengan pihak pengurusan Harakah timbul ekoran daripada artikel Dinsman yang dipercayai mengkritik ulama dalam PAS. Namun, Ahmad Lutfi menyatakan bahawa perkara itu adalah di luar pengetahuannya. Mesyuarat 17 Februari itu memutuskan Ahmad Lutfi dipindahkan ke jawatan yang baru dibentuk, Ketua Pengarah Jabatan Latihan dan Pembangunan Kewartawanan, berkuatkuasa 1 April 2015.

Sesungguhnya, cabaran yang dihadapi oleh Ahmad Lutfi bukan sedikit dan kecil. Bukan calang-calang editor dan penulis politik yang dapat menghadapinya. Cabaran dalaman dan luaran, terutama daripada mereka yang menjadi instrumen hegemoni pemerintah menuntut ketahanan mental dan emosi yang kuat. Mungkinkah segala tekanan berkenaan sedikit banyak memberi kesan kepada kesihatan Ahmad Lutfi? Namun, bagi mereka yang mengenali Ahmad Lutfi, mereka pasti tahu betapa komitednya beliau sebagai editor dan penulis politik. Buktinya, begitu banyak buku politik dan majalah politik yang diterbitkannya. Sebahagian besar menerima sambutan positif dan luar biasa daripada pembaca yang dahagakan maklumat alternatif yang bertanggungjawab, kritis, dan berani.

Ketekunan beliau tidak diragui. Lebih daripada 35 judul buku mengalir daripada bakat penulisan dan ketekunan beliau. Antara buku tulisan beliau (yang diterbitnya sendiri) ialah Anwar Lawan Ghafar? (1993), Anwar Salah Pilih (1993), Mahathir Khianati Melayu (1994), Wajah Baru Politik Malaysia (1995), Mengapa Perlu Anwar Lawan Mahathir? (1995), Anwar Terjerat? (1997), Skandal Seks atau Konspirasi Politik (1998), Anwar Boneka Barat? (1999), Malaysia Tanpa Anwar (1999), Suara Rakyat Kuasa Keramat (2000) dan Pencuri Pilih Anjing (2013).

Kesimpulan Kewujudan media alternatif adalah berkait rapat dengan dasar dan sikap media arus perdana terhadap suara yang berbeza, khususnya suara parti pembangkang. Kesediaan kerajaan membenarkan kewujudan media alternatif adalah sesuai dengan sistem demokrasi dan kerana ia tidak mahu dilihat sebagai terlalu mencengkam dan mengongkong suara alternatif rakyat. Kerajaan dilihat “bermurah hati” terhadap media alternatif, dengan membenarkannya mengkritik sesiapa pun tanpa tindakan kerana tidak mahu dilihat terlalu mengongkong kebebasan media dan hak bersuara rakyat.

Apabila layanan dan peluang yang diskriminatif dilakukan oleh media perdana terhadap parti pembangkang, maka apa-apa pun bentuk dan jenis media itu, akan mudah pula melahirkan media alternatif yang dapat menjadi gantian dan menampung keperluan parti tersebut bagi menyebarkan dasar dan maklumat berkaitan dengan pendirian dan pandangan mereka tentang sesuatu isu.

 Maka, muncullah majalah one-off yang berbentuk tematik, buku politik, cakera padat, dan kaset yang rata-rata memuatkan pandangan yang vokal dan keras terhadap kerajaan atau tokoh tertentu.

Dengan sendirinya, media tersebut dapat memenuhi ruang yang tidak dapat diisi oleh media perdana. Di sebaliknya ciri komersial dan sifat popularnya, media alternatif mendapat sambutan khalayak, kerana ia berjaya mengungkap banyak peristiwa, pergolakan dan perkembangan politik. Media tersebut memainkan peranan sebagai komunikasi politik yang tersendiri dalam politik tempatan dan memperluas ruang kebebasan akhbar dan demokrasi, apatah lagi penulis artikelnya lebih berani mengemukakan pendapat mereka.

Yang menarik, Ahmad Lutfi melalui media yang diterbitkannya, dan juga ketika beliau menjadi editor, mengupas sesuatu isu semasa berkaitan politik, pelaku politik, dan segala tidak-tanduk-mereka dengan berani dan berterus terang, malah kadangkala isu dan persoalan yang didedahkan amat menggemparkan.

Struktur wacana awam dalam media alternatif dicirikan oleh penonjolan ideologi kebebasan yang membincangkan antara lain, isu hak asasi, demokrasi, keadilan, dan kedaulatan rakyat. Kecenderungan wacana sedemikian bertentangan dengan struktur wacana yang disiarkan melalui media arus perdana yang menonjolkan ideologi pembangunan serta kepentingan sosiopolitik dan ekonomi kerajaan.

Satu daripada sumbangan besar beliau melalui media yang diterbitkannya dan ditanganinya ialah meningkatkan kesedaran pentingnya prinsip kebebasan media di negara ini. Terdapat pertarungan sengit antara media arus perdana yang menjadi wadah pemerintah dengan media alternatif.

 Meskipun terdapat pelbagai sekatan dan kawalan, termasuk dari segi undang-undang, namun masih terdapat individu seperti Ahmad Lutfi yang berani dan gigih menerbitkan media alternatif untuk rakyat yang kehausan maklumat yang telus dan adil tentang peristiwa yang berlaku ketika itu.

 Akhbar yang muncul ketika era Reformasi, termasuk yang diterbitkan oleh beliau kebanyakannya tidak mampu bertahan kerana kekangan undang-undang, sambutan yang mulai berkurangan kerana sentimen politik yang berubah, dan lunturnya semangat perjuangan dalam kalangan penggerak Reformasi, lebih-lebih lagi selepas Anwar dibebaskan dari penjara.

Namun, Ahmad Lutfi, dengan ketajaman mata penanya sebagai penulis politik dan editor majalah dan akhbar politik, telah berjaya membuka ruang awam dan meningkatkan kadar celik politik dalam kalangan rakyat di negara ini. Beliau ialah ikon dan pejuang media alternatif yang tidak didendangkan.

Dengan keberanian intelektual dan ketahanan emosi, Ahmad Lutfi merupakan contoh seorang penulis dan editor yang berpegang kepada prinsip, berani kerana benar. Beliau umpama lilin yang membakar dirinya untuk memberi sinar politik kepada rakyat kita. Jasa dan sumbangan besar beliau dalam arena penulisan dan penerbitan media alternatif pasti akan tercatat dengan tinta emas dalam lembaran media tanah air.

Sesungguhnya, Ahmad Lutfi ialah wira media alternatif yang melawan hegemoni kerajaan melalui wacana tandingan dan naratif politik berani, lantang, dan berterus terang beliau.

Rujukan
Fathi Aris Omar. 2005. 9 September. Mantan Editor Berita Malaysiakini dan Editor Detik.
Ahmad Lutfi Othman. 1993a. Anwar Lawan Ghafar? Kuala Lumpur: Penerbit Pemuda.
Ahmad Lutfi Othman. 1993b. Memo Buat Bakal PM. Kuala Lumpur: Penerbit Pemuda.
Ahmad Lutfi Othman. 1994. Anwar-Mahathir Krisis: Daim Pencetus Kontroversi Baru. Kuala Lumpur: Penerbitan Pemuda.
Ahmad Lutfi Othman.1999. Anwar Boneka Barat? Ampang: Penerbit Pemuda.
Ahmad Lutfi Othman. Temu bual. 26 Julai 2005. Penerbit dan aktivis media.
Hussain Mohamed, 1993. Politik Melayu Masa Kini: Beberapa Isu dan Permasalahan dalam Penulisan Popularnya. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Hussain Mohamed, 2002. Yang Benar dan Yang Palsu: Gejala Globalisasi dan Media Alternatif dalam Politik Malaysia Mutakhir dlm Abdullah Hassan (peny.) Prosiding Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Ke-2. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mustafa K Anuar.1990. The Malaysia 1990 General Election: The Role of the BN Mass Media, Kajian Malaysia. Vol. 8, no2, hal 82-102.
Mustafa K Anuar. 2004. Muzzled? The Media in Mahathir’s Malaysia. Dlm Welsh, Bridget (ed.) Reflections: The Mahathir Years. Washington: SAIS. 486-493.
Rozaid A Rahman, 2000. Jawatan yang berkuasa di atas Kerusi yang Panas, Aneka Peristiwa. Kuala Lumpur: Kreatif Selasih, April, 54-60.
Zulkifli Sulong. 1999. Rahsia Kekuatan Harakah. Detik, 15 Mei, hal 26.
Zulkifli Sulong. 2006. Ahmad Lutfi mula bertugas sebagai Ketua Pengarang Harakah. Malaysia Today. 8 Feb.
Zulkifli Sulong. 2005. 27 Julai. Mantan Ketua Pengarang Harakah dari 2001 hingga Oktober 2004. Ketika ditemu bual, menerajui Harakahdaily.

JENIRI AMIR, Prof Madya di Universiti Malaysia Sarawak, merupakan penganalisis politik, kolumnis akhbar dan penulis prolifik.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Artikel ini petikan dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas,untuk mendapatkan buku tersebut dengan harga istimewa ,sila WhatsApp/Hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291

No comments