Buku Lutfi

Lembut tapi tegas dengan perjuangan

Oleh AZIZ MUDA

SEMEMANGNYA antara aku dan Ahmad Lutfi mempunyai banyak kenang-kenangan. Sebagai rakan sekerja dan seperjuangan dan dalam masa yang agak lama, tentulah banyak kenangan pahit manis yang menjadi ingatan bersama sepanjang hayat.

Sebagai rakan yang sama-sama bergelar wartawan, aku juga sama seperti Lutfi. Hidup kami tidak boleh lari daripada menulis. Jika sehari tidak menulis walaupun sekadar berita atau rencana ringkas, terasa cukup gelisah, serba tidak kena, tidak tenteram, tidak ubah jika meninggalkan satu waktu solat fardu lima kali sehari semalam.

Namun kini Lutfi tidak lagi boleh menulis dengan aktif. Malah beliau mengalami kepayahan untuk menulis walaupun sekadar rencana ringkas. Lantaran keuzuran, beliau tidak dapat menulis dengan baik walaupun jiwanya meronta-ronta untuk menulis dan di dalam benaknya juga terdapat pelbagai isu untuk diperturunkan menerusi penulisan.

Lantaran keuzurannya itulah juga, beliau terpaksa merelakan diri melepaskan kedudukannya sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Harakah dan menerima tawaran perlantikan jawatan baru sebagai Pengarah Jabatan Latihan di Harakah sejak awal 2015.

Lutfi sejauh yang aku kenal adalah seorang yang lembut, tetapi tegas dengan perjuangan dan prinsip perjuangannya. Aku mula mengenali beliau pada tahun 1992. Sebelum itu, aku bertugas sebagai Pemberita Sambilan sepenuh masa di akhbar Utusan Malaysia yang berpejabat di Utusan Melayu (M) Berhad, Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu. Setelah aku meninggalkan Utusan Malaysia, aku terus berjinak dengan Harakah. Ini sejajar dengan jiwaku sendiiri selaku penyokong PAS.

Titik awal perkenalanku dengan Harakah bermula di pejabat Harakah, di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, ketika itu di bawah pentadbiran Ketua Biro Harakah Terengganu, Zulkifli Sulong. Tidak lama selepas itu, aku terus memohon untuk menjadi wartawan tetap Harakah dan terus pula diitawarkan sebagai Wartawan Kanan oleh Pengarah Urusan Harakah, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak (kemudiannya Menteri Besar Kedah, 2008-2013), bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mohd Rashidi Hassan.

Sebaik menerima tawaran itu, aku diminta berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bertugas di ibu pejabat Harakah yang terletak di Jalan Pahang. Pada tahun 1992 itulah aku mula mengenali Ahmad Lutfi.

Ketika kedatanganku ke ibu pejabat Harakah, Lutfi sedang berada di hujung khidmatnya dengan Harakah. Dia meletakkan jawatan sebagai Pengarang Kumpulan.

Punca krisisnya dengan Harakah adalah kerana prinsipnya sendiri. Harakah ketika itu sedang ditekan dengan teruk oleh pihak kerajaan Umno-BN khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN). Di bawah Ahmad Lutfi, corak pemberitaan Harakah agak keras. Lutfi lebih suka dengan pendekatan menyerang. Corak pemberitaan seperti itu dirasakan agak bahaya kepada survival Harakah.

Untuk menyelamatkan Harakah, Ustaz Azizan meminta Ahmad Lutfi menukar corak pemberitaan Harakah kepada pendekatan agak sedikit lunak, terutama mengurangkan serangan terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan anak-anaknya yang terlibat dalam perniagaan. Namun, Ahmad Lutfi tetap berkeras tidak mahu menukar pendekatannya. Akhirnya dia berhenti, melepaskan kedudukannya sebagai Pengarang Kumpulan Harakah serta merta.

Demikianlah tegasnya Ahmad Lutfi dengan prinsip perjuangannya. Walaupun wajahnya agak lembut dan perwatakannya pula tidak ganas, tetapi dia tegas dengan prinsip dan keputusannya. Jika begitu yang diingininya, pasti begitulah yang ingin dilakukannya. Usah ditentang. Jika ditentang, beliau rela hilang kedudukan daripada hilang prinsip.

Disebabkan ingin mempertahankan prinsipnya itulah juga, aku dengan Ahmad Lutfi tidak berkesempatan bekerja bersama sebagai staf Harakah. Ketika aku berurusan dengannya, aku hanya sebagai Pemberita Sambilan Harakah bagi cawangan Terengganu yang berpejabat di Kuala Terengganu.
Setelah enam bulan menjadi Pemberita Sambilan Harakah sejurus selepas berhenti kerja sebagai Pemberita Sambilan sepenuh masa Utusan Malaysia, baharulah aku mengambil keputusan menerima tawaran sebagai Wartawan Kanan Harakah yang ditawarkan Ustaz Azizan.


Pada hari aku melangkahkan kaki, berhijrah dari tempat tumpah darahku di Kampung Gong Kijang, Bukit Tunggal, Kuala Terengganu ke ibu pejabat Harakah di Kuala Lumpur itulah juga, Ahmad Lutfi melangkahkan kakinya meninggalkan Harakah. Ketika itu, kami bertembung di tangga. Aku mahu naik ke tingkat 1 untuk memulakan tugas, Ahmad Lutfi pula sedang menuruni tangga bersama sebahagian barangannya untuk dibawa pulang.

“Selamat datang ke Harakah, Ziz,” kata Ahmad Lutfi sebaik sahaja kami bertembung bersama sekuntum senyuman.

“Ya, selamat datang dan selamat berjumpa lagi, Lutfi,” balasku.

Setelah berbalas senyuman, aku bertanya jujur kerana sememangnya tidak tahu duduk perkara sebenarnya. “Tapi awak nak ke mana ni, banyak sangat nampak bawa barang?”

“Eh, awak tak tahu ke?” tanya Lutfi.

“Tak tahu. Apa ya?” balasku jujur.

“Sebenarnya hari ini adalah hari akhir saya kat Harakah ni. Maaflah ya, awak datang, saya pergi,” katanya.

“Kenapa pulak begitu? Saya harapkan saya akan bekerja bersama awak,” kataku.

“Takdir tidak begitu, Ziz. Sebaliknya, awak datang, saya pergi. Awak tak bekerja bersama saya, tapi awak akan bekerja bersama Taufek Yahya,” jelas beliau.

“Begitulah pulak ceritanya,” kataku yang agak terpinga-pinga.

“Tak apalah, Ziz. Walaupun saya tak lagi bekerja kat sini, tapi saya tetap orang PAS. Saya tetap ahli PAS dan penyokong PAS buat selama-lama, walau di mana pun saya berada,” kata Lutfi sambil tersenyum.

Dari gerak hati, aku dapat rasakan yang dia sememangnya berkata jujur. Senyumannya juga cukup jujur tanpa langsung berbaur sebarang sindiran atau maksud lain. Sememangnya, Lutfi yang aku kenali adalah manusia yang jujur.

Entah kenapa, aku dan Lutfi ditakdirkan Allah tidak bekerja bersama. Lebih setahun kemudian, aku pula yang meninggalkan Harakah. Tetapi benarlah seperti yang dikatakan Lutfi. Sebagai ahli PAS, jiwa kami tetap jiwa PAS. Walaupun tidak bekerja dengan Harakah dan di mana pun berada, kami tetap juga ahli dan penyokong PAS sampai bila-bila.

Dari Harakah, aku berhijrah kerja ke Pustaka Wira Sdn Bhd yang berpejabat di Seri Gombak, yang dimiliki pasangan suami isteri, Haji Salleh Hamzah dan Rahmah Saad. Di Pustaka Wira, aku menjadi wartawan bagi majalah Ibu, Pesona, Usahawan Malaysia dan Buletin Baitulmal Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


Selain itu, aku juga turut berperanan sebagai wartawan sisipan majalah Dewan Masyarakat, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ini kerana Pustaka Wira ketika itu turut mendapat tender

DBP bagi melaksanakan kerja pengisian sisipan tersebut untuk disertakan dalam Dewan Masyarakat setiap keluarannya setiap bulan.

Sekitar dua tiga tahun setelah aku meninggalkan Harakah, aku mendapat khabar Taufek Yahya juga turut meninggalkan Harakah. Ketika itu, jawatan Pengarah Urusan Harakah tidak lagi dipegang Ustaz Azizan, tetapi bertukar tangan kepada Dato’ Hishamuddin Yahya yang juga Setiausaha Agung PAS. Namun Ustaz Azizan turut dilantik membarisi Ahli Lembaga Pengarah Harakah.

Minat, semangat dan kebolehan Ahmad Lutfi dalam dunia penulisan dan kewartawanan sememangnya tidak boleh disangkal. Walaupun tidak bekerja dengan Harakah, beliau terus juga mengekalkan kerjaya penulisan dan kewartawanan dalam hidupnya. Sebagai gantinya, beliau mengusahakan perniagaan sendiri. Penerbitan Pemuda, dengan menerbitkan majalah Detik dan Wasilah, yang disewa permit dari rakan-rakannya.

Menerusi Detik dan Wasilah, beliau berinteraksi dengan pembaca dengan pelbagai pandangan segar mengenai politik tanah air. Penulisannya memang cukup bertenaga. Pelbagai penyelewengan kerajaan Umno-BN terutama di Selangor dibongkarnya ke akar umbi sehingga pihak yang terbabit tidak senang duduk.

Lantaran penulisan dan pendedahannya yang begitu mengancam, kedua-dua majalah itu akhirnya diharamkan KDN. Namun, patah sayap bertongkat paruh. Ahmad Lutfi terus juga menerbitkan makalah politik dalam bentuk tabloid tidak berkala, yang berubah-ubah namanya.

Antara serangannya menerusi tabloid itu termasuk penyelewengan kerajaan Selangor di bawah Dr Mohd Khir Toyo. Pendedahannya ternyata berkesan apabila Khir disiasat pihak penguatkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga didakwa di mahkamah. Setelah sekian lama kes itu disiasat dan dibicarakan, September lalu, Khir didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama setahun.

Selain itu, terdapat pendedahannya yang cukup berani membabitkan rasuah, salah laku dan penyelewengan pemimpin kerajaan Umno-BN. Semua pendedahan ternyata tidak sia-sia sehingga berjaya mendapat perhatian pihak yang bertanggungjawab untuk disiasat, walaupun kebanyakannya berakhir tanpa pendakwaan, mungkin disebabkan campur tangan pihak eksekutif.

Dalam masa yang sama, Ahmad Lutfi turut aktif menulis buku politik. Antara buku-buku yang dihasilkan itu ada yang diterbitkan oleh pihaknya sendiri dan penerbitan lain. Semua itu dilakukan kerana dorongan dalam dirinya sendiri untuk menyumbang pandangan-pandangan yang berguna menerusi penulisan bagi kepentingan agama, negara dan bangsanya sendiri.

Meskipun tidak lagi bersama Harakah, persahabatan aku dan Lutfi tetap tidak putus. Ketika tertentu, kami bertemu juga. Apabila bertemu, sama ada secara kebetulan atau sebaliknya, perbualan tentang warna politik tanah air tetap tidak ketinggalan dibualkan. Selain itu, kami juga turut juga bertukar-tukar maklumat tentang Harakah.

Kami amat berbangga jika terdapat perkembangan yang positif di Harakah. Kami juga turut sedih jika Harakah berada dalam keadaan yang tidak menyenangkan setelah ketiadaan kami. Walaupun tidak lagi bekerja di Harakah, namun Harakah tetap dekat di hati kami sehingga selamanya.

Sekitar tahun 2005, Harakah mengurus-terbitkan tabloid Siasah. Ahmad Lutfi ditawarkan sebagai Pengarang Siasah. Pengarah Urusan Harakah ketika itu, Dato’ Hishamuddin Yahya. Ustaz Azizan masih kekal sebagai Ahli Lembaga Pengarah Harakah.

Awal tahun 2006, terdapat cadangan daripada Lembaga Pengarah Harakah untuk membawa masuk kembali Ahmad Lutfi ke dalam Harakah. Ahmad Lutfi bersetuju untuk memegang jawatan Ketua Pengarang Harakah, yang ditinggalkan pada 1993 dulu.

Semua itu berlaku kerana dalam diri Ahmad Lutfi itu sendiri terdapat nilai kejujuran dalam perjuangan. Lantaran kejujurannya itulah, dia sanggup berubah dan menguburkan prinsipnya sendiri yang dipertahankan selama ini walaupun dengan berat hati. Segalanya itu dilakukan bukan semata-mata untuk kepentingan dirinya sendiri, tetapi juga untuk kepentingan Harakah dan PAS yang didukunginya sejak dulu.

Ustaz Azizan juga terbukti sebagai manusia yang jujur dengan perjuangannya bersama PAS. Disebabkan perubahan sikap Ahmad Lutfi, Ustaz Azizan juga turut berubah lalu tidak lagi menjadi individu yang anti kepadanya sehingga turut bersetuju menerima kemasukan kembali Ahmad Lutfi ke dalam Harakah dengan senang hati.

Aku pula ketika itu tidak lagi bekerja di Pustaka Wira. Malah aku hanya bekerja sekitar setahun sahaja di syarikat tersebut. Dari Pustaka Wira, aku berhijrah ke Tastax Raya Sdn Bhd yang menerbitkan akhbar tabloid Buletin Utama yang kini bertukar kepada Buletin Rakyat. Setelah beberapa bulan bekerja sebagai wartawan, aku diamanahkan tugas sebagai Pengarang Buletin Utama menggantikan Ahmad Kamal Othman yang berhijrah ke tempat lain.

Tempoh perkhidmatan aku di Tastax Raya juga tidak lama, hanya sekitar setahun. Selepas itu, aku berhijrah ke Perdana Production House Sdn Bhd yang berpejabat di Taman Permata yang menerbitkan akhbar tabloid Warta Perdana. Kebetulan Perdana Production House juga turut menerbitkan majalah Wawancara. Setelah beberapa bulan bertugas sebagai wartawan Warta Perdana, aku diamanahkan sebagai pengarang majalah Wawancara.

Perdana Production House dimiliki bersama oleh Dato’ Radhi Latif dan Haji Mohd Khairunie Ali yang juga selaku Pengarah Urusannya. Ketika kemasukan aku ke Perdana Production House itu juga, Khairunie turut menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri, diberi nama Mohd Khairunie Sdn Bhd atau ringkasnya MKSB yang berpejabat di Seri Gombak.

Selain menerbitkan akhbar tabloid, MKSB turut menerbitkan beberapa majalah. Antaranya majalah Cermin, iaitu sebuah majalah agama yang berorientasikan human interest. Setelah beberapa bulan menjadi pengarang Wawancara, aku diamanahkan pula sebagai pengarang Cermin.

Setelah 10 tahun aku menjadi pengarang majalah Cermin, tahun 2008, aku tergerak hati untuk kembali ke Harakah. Kebetulan Harakah ketika itu turut mengurus atau mengelolakan penerbitan akhbar Siasah yang dimiliki Mohd Sayuti Omar. Kebetulan juga Siasah memerlukan pengarang bagi sisipan Tokoh yang kemudiannya ditukarkan kepada sisipan Wanita yang disertakan sekali untuk diletakkan di bahagian tengah Siasah bagi setiap keluarannya setiap minggu.

Kemasukan aku ke Siasah diajak Zulkifli Sulong yang bertugas sebagai Ketua Pengarang Eksekutif Siasah ketika itu, yang kemudian turut menjadi Ketua Pengarang Harakahdaily. Setelah berbincang, aku mengambil keputusan untuk turut sama ke Harakah kembali. Berdasarkan pengalaman, aku ditawar tugas oleh pihak pengurusan Harakah sebagai Penolong Pengarang Siasah, tetapi hanya bertanggungjawab terhadap sisipan Tokoh atau Wanita yang secara automatiknya sebagai pengarang sisipan Tokoh atau Wanita.

Tahun 2010, Harakah tidak lagi menguruskan atau mengelolakan penerbitan Siasah kerana permitnya diambil kembali Sayuti Omar. Semua staf Siasah diserapkan kepada akhbar Harakah sepenuhnya.

Aku yang di bahagian editorial Siasah diserapkan ke bahagian editorial Harakah dengan posisi sebagai Wartawan Kanan. Ketika ini baharulah aku ditakdirkan Allah dapat bekerja bersama Ahmad Lutfi.

Ketika kemasukan kembali aku ke Harakah dan bekerja di bawah Ahmad Lutfi, beliau sudah tidak berapa sihat kerana menghidap kencing manis, juga mengalami sedikit komplikasi buah pinggang. Jantungnya turut bermasalah, selain kesan angin ahmar sewaktu menjalani pembedahan pintasan jantung. Namun ketika itu, beliau masih boleh menulis dengan baik serta aktif dan boleh melaksanakan tanggungjawabnya dengan sempurna.

Sungguhpun begitu, sebagai orang yang kurang sihat, beliau sebetulnya perlu banyak rehat. Namun sebagai wartawan, pengarang atau penulis, apalah erti rehat. Wartawan, pengarang atau penulis yang sejati pasti ingin terus menulis selagi hayat dikandung badan. Begitulah juga dengan Ahmad Lutfi. Apatah lagi dengan kedudukannya sebagai Ketua Pengarang yang tentunya terpikul dengan pelbagai tanggungjawab terhadap akhbarnya.

Banyak pihak berpendapat, jika ketika itu beliau sudah mengambil jalan pintas dengan melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, dengan mengambil tugas yang bersesuaian dengan tahap kesihatannya, bagi memberikan cukup kerehatan kepada dirinya, mungkin keadaan kesihatannya masih boleh dipulihkan.

Namun, dia tetap tidak memilih jalan itu. Walaupun kurang sihat, beliau tetap memaksa dirinya melaksanakan tanggungjawab itu dengan baik, sama seperti orang sihat. Walaupun perlu rehat, beliau tetap tidak cukup rehat, malah bekerja hingga awal pagi demi melaksanakan tanggungjawabnya.

Masa semakin pantas berlalu, keadaan kesihatan beliau makin hari semakin kritikal sehingga terpaksa melakukan pembedahan pintasan jantung. Untuk tidak memburukkan keadaan dan demi menjaga kesihatan beliau serta staf yang lain yang terpaksa berjaga malam untuk menyiapkan deadline, juga kakitangan Unit Teknikal yang menguruskan bahagian grafik atau layout, terdapat cadangan daripada pihak pengurusan Harakah agar kerja-kerja di bahagian editorial dan teknikal dipercepatkan deadline bagi mengelakkan semua pihak terlibat bekerja hingga awal pagi bagi membolehkan masing-masing mendapatkan tidur atau kerehatan yang cukup, tetapi semua itu tidak dapat dilaksanakan oleh beliau disebabkan beberapa kekangan.

Tambahan pula, Ahmad Lutfi sememangnya terkenal sebagai manusia yang agak cerewet atau teliti dengan tugasnya. Semua kerja mahu dilakukan dengan cermat dan sesempurna mungkin walaupun terhadap perkara kecil atau remeh-temeh dan terpaksa berjaga atau mengambil masa sehingga larut malam malah hingga jauh awal pagi.

Dalam masa sama, sejak kembali ke Harakah, beliau sendiri juga turut mewujudkan kolum khas untuknya yang dinamakan Catatan Hujung yang disiarkan setiap keluaran Harakah. Untuk memenuhi kolum seperti itu walaupun nampak simple, tetapi ketika tertentu pasti memberikan tekanan yang amat kuat kepada kolumnisnya, apatah lagi jika individu itu juga pada masa yang sama turut memikul tugas berat sebagai ketua pengarang. Ini tentunya berbeza jika kolumnis terbabit bukan staf yang terlibat di bahagian editorial penerbitan berkenaan.

Begitulah juga yang dialami Ahmad Lutfi. Meskipun ketika tertentu, beliau bahagia dengan kolumnya itu, tetapi ketika yang lain pasti terbeban untuk menyiapkan story untuk mengisi kolum tersebut. Tekanan tersebut terutama dialami ketika fikiran buntu untuk mencari idea yang sesuai untuk dimuatkan, apatah lagi jika dalam masa sama, individu berkenaan turut mengalami tekanan hebat dengan kerja-kerja lain yang perlu disiapkan dalam waktu yang segera kerana masa yang sudah semakin menuju ke titik akhir deadline.

Itulah antara tekanan yang dialami oleh Lutfi. Meskipun tidak diceritakan secara detail kepadaku, tetapi sebagai rakan sekerja dan sudah lama bergelut dengan dunia kewartawanan, segala bebanan, susah payah, tekanan dan permasalahan yang dialaminya itu cukup aku fahami malah turut sama merasainya.

Namun sebagai manusia yang jujur dengan perjuangan dan tugasnya, Ahmad Lutfi tetap tidak menghiraukan segala halangan yang mendatang. Walaupun kurang sihat, segala tanggungjawabnya tetap juga dilaksanakan dengan baik dan sempurna. Komitmennya terhadap tugas tiada siapa yang dapat menafikannya. Walaupun kurang sihat, kolum Catatan Hujungnya tetap juga dipenuhinya dengan pelbagai idea yang diketengah walaupun hingga ke hujung pagi, bagi membolehkan dia terus berinteraksi dengan pembaca seperti biasa pada setiap keluaran Harakah dua kali seminggu.

Dalam masa yang sama, semakin hari, beliau sebagai Ketua Pengarang turut mengalami tekanan yang semakin hebat dari luar Harakah, terutama ketika tercetusnya krisis dalam PAS menjelang Muktamar Tahunan Ke-61 Jun 2015 sehingga akhirnya turut membawa kepada penubuhan parti Amanah.

Awal 2015, keadaan kesihatannya ternyata semakin kritikal. Demi kepentingannya dan kepentingan Harakah sendiri, pihak pengurusan Harakah di bawah Dr Rosli Yaakop mencadangkan kepada beliau agar menerima skim pencen di bawah tanggungan Perkeso, tetapi cadangan tersebut ditolaknya kerana difikirkan akan menyekat dirinya dari terus menyumbang kepada Harakah dan parti.

Walaupun cadangan itu turut memberikan peluang kepadanya untuk terus menulis dalam Harakah sekadar kemampuannya dengan perkiraan tertentu, tetapi Lutfi tetap menolak, sejajar dengan kejujuran dan komitmennya terhadap dirinya sendiri sebagai penulis atau wartawan, terhadap dunia penulisan dan perjuangannya bersama parti.

Namun sekitar April 2015, menyedari kemampuannya sudah amat terbatas, beliau akhirnya terpaksa bersetuju melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Harakah dan digantikan dengan jawatan Pengarah Jabatan Latihan.

Sebagai individu yang masih mempunyai kaitan tugas dengan Harakah, ketika tertentu, beliau tetap juga berkunjung ke pejabat editorial dan berada di bilik kerjanya yang lama. Ada kesempatan, beliau turut hadir ke mesyuarat editorial Harakah, dua kali seminggu, iaitu setiap hari deadline Harakah, Selasa dan Jumaat sekitar jam 11.00 pagi.

Meskipun keuzuran hingga terpaksa bertongkat, beliau tetap sudi menyumbangkan pelbagai idea yang berguna kepada kami untuk Harakah, terutama dalam mencari isu-isu yang relevan.

“Hanya sekadar memberikan pandangan begini sajalah yang saya boleh sekarang, Ziz. Nak menulis dah tak boleh menulis lagi. Saya memang dah tak mampu untuk menulis lagi sekarang, walaupun kadang-kala memang ada perkara yang berada dalam fikiran untuk ditulis,” katanya.

Setiap kali aku mendengarnya membuat hatiku cukup sebak. Namun, apakan daya, apa sangat yang mampu aku tolong. Sebagai penulis, jika sudah tidak boleh menulis lagi, lantaran keuzuran, sememangnya amat menyeksakan. Hidup bagaikan sudah hilang serinya dan sudah tidak bererti lagi.

Dunia bagaikan sudah terhenti lantaran terputus hubungan dengan pembaca. Sesuatu yang terbuku di hati dan fikiran sudah tidak dapat dikongsi dengan masyarakat, sedangkan sebelum itu, itulah sumber kebahagiaan dalam kehidupan seseorang penulis.

Aku sebagai rakan seperjuangan sememangnya cukup faham dan merasai apa yang dialami Ahmad Lutfi. Namun sebagai manusia biasa, aku seperti juga sahabat-sahabatnya yang lain, apalah sangat yang mampu aku lakukan. Setiap apa yang berlaku ke atas kita sememangnya berlangsung atas qada’ dan qadar Allah.

Hanya doa yang mampu aku panjatkan kepada Allah agar saudaraku ini dikurniakan kesihatan dan kesembuhan oleh Allah. Doa itu selain sering aku panjatkan berseorangan sering juga kami panjatkan bersama rakan-rakan sekerja setelah selesai solat fardu di surau tempat kerja kami di Harakah.

Lutfi yang aku kenal sememangnya seorang yang jujur dengan perjuangannya bersama PAS, terhadap tugas dan kawan-kawannya. Terhadap rakan-rakan, beliau sememangnya terkenal sebagai manusia yang suka menolong rakan-rakan sekadar terdaya dalam pelbagai aspek, terutama terhadap rakan-rakannya yang susah.

Kini beliau sudah terlalu uzur, dan terbaru terpaksa menjalani hemodialisis untuk buah pinggangnya. Sudah tibalah pula masa untuk rakan-rakannya pula yang menolongnya sekadar terdaya supaya beliau kembali sihat dan pulih seperti sedia kala. Paling tidak pun hanya sekadar berdoa untuk kesembuhannya dan kebahagiaan hidupnya seisi keluarga.

AZIZ MUDA, Pengarang Berita Harakah yang berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan selama 30 tahun.

No comments