Buku Lutfi

Potret wartawan aktivis yang tidak pernah mengaku kalah

Oleh NOOR AZAM SHAIRI

“Wartawan jati jarang makan gaji tanpa makan hati.” A Samad Said, Hujan Pagi. 

ADA satu soalan yang selalu ditanyakan kepada saya berulang-ulang – hampir oleh semua orang – setiap kali saya maklumkan kepada teman-teman, saya pergi berjumpa Ahmad Lutfi Othman: “Dia macam mana? Apa khabar kesihatannya?”

Setiap kali itu juga, jawapan saya hampir sama – keadaan kesihatan sangat mengganggu dirinya tetapi sama sekali tidak pernah meruntuhkan semangatnya. Dia masih Lutfi yang kita kenal, kata saya. Lutfi yang sihat atau Lutfi yang uzur, yang ternampak pada mata saya, adalah Lutfi yang sama.

Semangat cinta kepada keadilan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara marak bernyala-nyala dalam dirinya.

Semangat itu bersemayam dalam jiwanya yang merdeka. Semangat itu tidak pernah dapat dibungkam dan kepada yang selalu cuba untuk memadamkan semangatnya, Lutfi selalu memburu mereka bagaikan satu kutukan. Semangat yang berkobar-kobar itu dibakar oleh penghayatannya yang cukup tinggi tentang makna keadilan dan rasa tanggungjawab sebagai seorang wartawan, malah sebenarnya lebih daripada itu.

Lutfi sangat menyedari bahawa pada bahunya sebagai seorang wartawan terpikul sebuah amanah yang cukup berat yang turut dipertanggungjawabkan oleh agama.

Kesedaran itu urat nadi yang menggerakkan segala fikir dan tindaknya. Kesedaran itu peta dan kompas hidupnya. Kesedaran itulah yang mendorong dia masuk dan keluar Harakah beberapa kali.

Kesedaran itulah yang juga mendesak dia menerbitkan akhbar tidak berkala yang berganti nama setelah pemerintah menafikan hak kepadanya untuk mendapatkan permit penerbitan.

Setelah kerajaan menarik balik permit penerbitan majalah Detik yang beliau kendalikan selepas Pilihan Raya Umum 1999, Lutfi bersama beberapa orang teman yang dekat mendirikan Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI).

 Langkah itu bukanlah kerana tindakan kerajaan itu hanya ke atas dirinya semata-mata. Langkah itu dibuat kerana kerajaan juga menarik balik permit penerbitan akhbar mingguan Eksklusif serta pengurangan kekerapan penerbitan Harakah daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan.

Ini jalan perang melawan kongkongan ke atas media – Lutfi terjun langsung ke medan sebagai pejuang media bebas. Dia dan teman-temannya giat menyuarakan pandangan yang lantang mempersoalkan tindakan kerajaan mengenakan sekatan dan menafikan hak untuk bersuara.

Dia mengadakan dialog dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan kemudiannya memujuk rakan-rakan media lain untuk menyertai perjuangan menuntut media dibebaskan daripada kongkongan. KAMI muncul ketika kerajaan mengenakan cengkaman yang sangat luar biasa ke atas media.

Ini cerita pada tahun-tahun ketika Internet baru bertatih merangkak di negeri ini, ketika orang belum begitu akrab dengan media online. Ini cerita ketika hanya ada Malaysiakini yang terbit dalam talian sebagai media pilihan. Ini cerita ketika Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad berdepan dengan ujian besar politik menghadapi penentangan Anwar Ibrahim.


Ini tahun-tahun ketika beberapa majalah antarabangsa dihalang beredar di pasaran. Ini tahun-tahun ketika Malaysiakini yang baru setahun dua beroperasi dituduh khianat dan dilarang akses daripada membuat liputan beberapa majlis kerajaan. (Nota: Tuduhan itu masih dilemparkan sehingga ke hari ini dan tuduhan yang sama dicampakkan kepada beberapa portal berita yang lain.)


Tidak berapa lama sebelum Lutfi mula sakit-sakit dan keuzuran kemudian memperlahankan langkahnya, dia cergas dan ligat melawan menuntut kebebasan yang dinafikan – bukan saja untuk dirinya tetapi kepada media di negeri ini secara umum.

Adalah dia dan teman-teman yang menggerak KAMI yang mendesak kepada kerajaan untuk memberikan akses media yang lebih luas kepada semua parti politik yang bertanding.

Ketika banyak wartawan memilih untuk jadi wartawan – entah dalam pengertian apa dan bagaimana, Lutfi meloncat jauh dan memaksa dirinya untuk jadi seorang aktivis.

 Dia tidak hanya jadi aktivis media bebas, malah pada suatu ketika, melaporkan dakwaan salah laku rasuah dan moral pemimpin politik kepada pihak berkuasa, bukan lagi hanya melalui penulisan dan laporan dalam akhbar berkala yang dia terbitkan sendiri. Tetapi Lutfi hampir bersendirian – kalau tidak kerana dukungan beberapa orang teman yang boleh dikira dengan sepuluh jari.

Dia tidak hanya bersendirian di luar – dalam kelompok gerakan pembangkang pun, dia hampir berseorangan. Memberi faham tentang makna kebebasan yang murni memang bukan satu kerja yang mudah.

Parti pembangkang yang sering mengkritik cengkaman kerajaan ke atas kebebasan pun belum tentu cukup bersedia sepenuhnya untuk menghormati kebebasan media apabila terkena pada batang hidung sendiri. Setelah bertahun-tahun jadi wartawan aktivis, Lutfi sangat menyedari betapa menuntut kebebasan yang hak daripada pemerintah adalah kerja yang cukup melelahkan.

Dia kemudiannya akur betapa memberi faham kepada kelompok sendiri tentang makna media yang beretika, media yang adil dan media yang seharusnya bebas sama sulitnya – kalaupun tidak barangkali lebih sukar. Tetapi dengan segala susah payah itu, Lutfi tidak pernah mengalah. Dia mungkin dikalahkan tetapi dia tidak pernah mengalah. Tidak pernah.

Kalau nanti ada satu soalan lain yang ditanyakan kepada saya tentang Lutfi, saya tentunya akan mengatakan begini: Dia mungkin lelaki yang lelah berjuang – tetapi dia tidak pernah mengaku kalah.

 AZAM SHAIRI, editor Astro Awani, bekas wartawan Mingguan Malaysia.
 __________________________________________________________________
Artikel ini petikan dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas,untuk mendapatkan buku tersebut dengan harga istimewa ,sila WhatsApp/Hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291





















No comments