Buku Lutfi

Wartawan cerdik bukan saja dibimbangi penguasa ...

Oleh KASSIM MUHAMAD

AHMAD LUTFI OTHMAN
(bila zamannya, mana daerahnya sebatang pena tulen
TIDAK pernah berbisa coretannya?)
fikiran adalah pedang disarung
fikiran ranum itu bilah-bilah senjata
pabila diasah-canai, tajam jadinya
fikiran ranum diasahcanai
abadi berbisa, bisanya.
Peluru batin;
E- kebal di maya
Nyalanya
Abadi.
13 November 2015
Wangsa Maju.

CORETAN di atas muncul dalam fikiran semasa meneliti memoir politik Said Zahari, Meniti Lautan Gelora, terbitan Universiti

Kebangsaan Malaysia, Utusan Publications & Distrubutors Sdn Bhd, 2001. Memoir pedih sayu ini mengingatkan kita kepada novel Hujan Pagi, A Samad Said, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003 dan juga Catatan Hujung (Ahmad Lutfi Othman, Kemilau Publika Sdn Bhd, 2011).

Said Zahari merakamkan rinci-rinci penderitaan para wartawan tulen yang sentiasa gigih berjuang mempertahankan kebebasan, meluahkan hati nurani rakyat, dari aniaya dombrakan dan gusuran orang politik. Seperti yang diceritakan oleh sejarah, wartawan tidak pernah menang dalam pergelutan seperti ini. Ramai yang terkorban dan dikorbankan, termasuk Said Zahari, oleh jentera bernama politik.

Selain memoir politik di atas, dunia fiksyen kita juga tidak sunyi menceritakan nasib para wartawan apabila berdepan dengan sang penguasa. Dalam genre novel, Hujan Pagi ialah di antara karya yang paling dekat akrab membicarakan tentang derita emosi para wartawan. Penderitaan batin watak Lokman ialah kisah halusinasi sang wartawan di antara dunia yang real dan yang khayal. Begitu beratnya tekanan untuk “dengar dan patuh” kepada sang penguasa.

“Sambil berjalan semula, Lokman memberitahu bahawa dia tidak akan lemah semangat atau berundur kerana ancaman-ancaman seumpama itu. Katanya, sebaik-baik akhbar tunduk kepada ancaman, apalagi ancaman daripada penjajah, ia akan membahayakan seluruh nasib bangsa. Inilah antara salah satu senjata penting bangsa. Lokman kemudian memberitahu itulah sebabnya dia memutuskan untuk menyiarkan rencana “Pemberontakan Teluk Saring” yang mulanya dibatalkan sehari dua. Dia tidak sedia mengalah kepada unsur yang merugikan bangsanya. Dengar katanya, dia akan menyiarkan pula rencana Arfiah yang juga dibatalkan dulu. Semua kisah sejarah yang membayangkan tekanan dan semangat rakyat berazamnya perlu disiarkan. Akhbar perlu menganjurkan tindakan yang hak, katanya. “Tahu itu? Hujan Pagi perlu menganjurkan tindakan yang waras.” (A Samad Said, Hujan Pagi, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003:101

Siapakah Ahmad Lutfi di mataku?

Saya mengetahui bahawa di dunia ini ada sebilah pedang nan tajam bernama Ahmad Lutfi Othman melalui Harakah, Tamadun dan Wasilah. Dan siapa yang dapat melupakan bagaimana pedang itu begitu berani mencantas gencar dan bertubi-tubi terhadap Dr Khir Toyo, mantan Menteri Besar Selangor yang sudahpun terkeluar dari arus perdana politik penguasa sedia ada?
Nah, di situ juga ada namanya.

 Itu permulaannya bagaimana saya menyedari bahawa di Malaysia terdapat watak yang serius berkecimpung dalam suatu dunia yang menuntut pelbagai “ke” tanpa melupakan “keberanian” dan “kesungguhan” tatkala turun ke medan perjuangan.

Pertemuan pertama saya dengan Lutfi menjadi kenyataan kerana inisiatif dan usaha arwah Almarhum Azizi Haji Abdullah.

Dalam sesi-sesi perbualan santai kami di Kulim, di Sungai Petani atau di Pulau Pinang, arwah menyebut watak-watak seperti Samad Ismail, Shahnon Ahmad dan Lutfi. Saya mencadangkan agar kami bertemu. Maka kami pun bertemu di suatu pagi yang redup di warung tidak jauh dari pejabat Harakah di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur. Sayang sekali butiran pertemuan seperti tarikh, gambar atau pun nota tidak pula saya simpan. Sungguh sayang sekali. Jika musim wasap ranum dan ramah seperti sekarang ini, saya percaya akan ada episod yang terakam dari pertemuan pertama bersejarah buat saya itu.

Sejak itu siri pertemuan kami sudah tidak terhitung lagi; di pejabat Harakah, di rumahnya, di katil-katil wad pelbagai hospital, di Madrasah Tarbiyah, Gombak, di hotel sederhana, kami bertemu.

“Aturcara”nya boleh dikatakan hampir-hampir sama saja walaupun di katil-katil wad; dunia penulisan dan pengisiannya. Biasanya siri-siri pertemuan ini dihadiri juga oleh abangnya, Dinsman.

Ada aturcara yang dibincang itu dilaksanakan, ada yang masih sarat dalam kepala, agaknya menunggu waktu untuk dilaksanakan? Namun jika direnung tatap dengan mendalam, ada juga yang tersangkut di kerongkong, masih “mengkelan” kata orang Utara. Mengkelan kerana sebab-akibatnya yang tidak sepatutnya berlaku.

Dalam ziarah terakhir saya dengan Dinsman ke rumah Pak Shukur Harun di Subang Jaya berapa hari yang lalu (Sabtu 28 November 2015), saya sempat bertanyakan Pak Shukur: “Apakah yang istimewa dan menonjolkan tentang Ahmad Lutfi?”

Pak Shukur yang sibuk memperkatakan bagusnya tulisan Hazayani Zakaria tentang Yassin Salleh, watak Zainudin dalam novel buya Pak Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk dalam portal The Malaysia Dateline, sempat juga menjawab: “Kritisnya, keintelektualannya dan analitikalnya yang terserlah itu.” Walaupun hanya tiga atau empat patah perkataan yang keluar dari mulut penulis-pejuang veteran ini, saya sudah faham maksudnya.


Lalu, tanggapan saya pula bagaimana? Kepada Dinsman, saya sering katakan bahawa sebagai seorang ketua (pengarang), kepimpinannya luar biasa dari sudut kesabaran, kesungguhan dan idea.

Dan sebagai seorang pengamal media cetak “sebelah sini” yang tertakluk dan ditakluki agar patuh kepada kawat-kawat berduri peraturan, undang-undang yang hodoh lagi ketinggalan zaman itu, dia cekal dan tidak pernah mengaku kalah. Sebagai seorang insan yang bencikan kezaliman, dia bukan hanya bercakap tentang penderitaan para mangsa kezaliman ISA yang ditinggalkan, tapi Ahmad Lutfi adalah pemilik proses utama pembela mereka.

Isu dan masalah yang digarap Ahmad Lutfi Othman berdasarkan teks Catatan Hujung

Catatan Hujung, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd 2011 adalah sebuah himpunan “catatan” – pernah disiarkan dalam Harakah dan Harakahdaily – menghimpunkan 55 tulisan merangkumi pelbagai tajuk. Sebagai sebuah teks ia memberikan gambaran tentang isu, masalah dan persoalan yang pernah digarap Ahmad Lutfi. Sekiranya 20 bab pertama teks tersebut kita teliti maka di antara persoalan



Ini bermakna 60 peratus iaitu 12/20 daripada bab-bab awal teks membicarakan soal-soal berkaitan politik, termasuk sepak terajang kepimpinan politik dan juga politik kemahasiswaan; 35 peratus atau 7/20 catatan mengulas persoalan media dengan segala penderitaan, kongkongan dan penderaan yang pernah dialaminya sebagai orang media. Bakinya iaitu kira-kira satu catatan (5 peratus) tersebut mengupas isu ISA yang zalim.

Peratusan tumpuan yang begitu besar, iaitu sebesar 60 peratus terhadap dunia politik – sepertimana yang dipaparkan di atas – bukanlah sesuatu yang luar biasa. Ada hakikat yang tidak boleh dipadam begitu saja oleh sesiapa pun; hakikat bahawa Ahmad Lutfi adalah seorang pemerhati politik tanah air yang tekun, kritis, tajam, konsisten dan berpengalaman tidak boleh disangkal.

Sejarah penglibatannya dalam sepak terajang politik bukanlah sesuatu yang baru. Tatkala di kampus dia adalah pemimpin pelajar (Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa UTM, 1984-86) dan justeru itu terlibat aktif dengan politik kemahasiswaan. Di luar, kampus telah sekian lama dia direbus-tapi-tidak-juga-hempuk sepanjang pengulatannya dengan dan dalam dunia media.

Makanya, proses naik turun-tangga pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) dek sergahan peraturan yang tempang dan berpilih-pilih mungkin telah menghauskan tumit kasutnya (sebenarnya dia hanya bersandal, tidak pernah berkasut sepanjang 30 tahun lalu), namun jiwa raga dan semangatnya tidak pernah haus. Untuk perbaiki keadaan yang tempang dan menderakan ini, dia telah mencuba semampu upayanya membuang segala macam jerat dan jerangkap, onak dan duri, racun dan santau yang disajikan penguasa. Ditubuhnya KAMI (Kumpulan Aktivis Media Independen) untuk berjuang memperbaiki nasib yang menimpa media tanah air, mempromosi idea kebebasan bersuara dan menentang segala kongkongan-sekatan ke atas hak berkarya).

Apakah kita boleh lupa begitu saja bahawa beliau itu ketua pengarang Harakah, sebuah akhbar yang menjadi organ PAS? Walaupun tahap kesihatannya menurun, dia tidak pernah penat, susut apatah lagi berundur menulis pelbagai aspek politik tanah air. Politik itu darah dagingnya sejak di kampus lagi.
Ahmad Lutfi Othman dan mangsa ISA

Dalam Harakah kita sering temui berita-berita tentang mangsa tangkapan borong ISA dilaporkan. Laporan tentang isteri dan anak-anak menderita kerana sang suami telahpun ditangkap untuk dikurung atau dinyahkan kerana sebuah akta bernama ISA. Tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini sering dikutuk pelbagai pihak walaupun terdapat segelintir penyokong penguasa bersetuju dengan operasi tangkapan tanpa bicara ini.

Biasanya segala bentuk kritikan, bantahan dan cemuhan pelbagai pihak termasuk para pemerhati dan aktivis hak asasi manusia di seluruh dunia jarang memberikan kesan yang diharap-harapkan. Mangsa merengkok dalam kurungan, keluarga yang ditinggalkan mengharungi kehidupan penuh onak dan duri.

Di sinilah kita ikuti bantuan dihulurkan oleh mereka yang prihatin. Dan dalam siri-siri bantuan ini, kita sering “bertemu” Ahmad Lutfi, dalam keadaannya yang sakit-sakitan, merantau ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak untuk membantu. Para korban ISA yang ditinggalkan; biasanya anak dan isteri diziarahinya, dan tidak lupa (malah itulah misi utamanya) menghulurkan bantuan dan sumbangan.

Malah, isteri keluarga tahanan ISA (yang dipindahkan lokasi kurungan, dari Kemta Kamunting ke penjara Manila) telah diusahakan sebuah rumah baru bernilai hampir RM45,000 menggantikan teratak yang terlalu uzur.

Entah bagaimana, saya pernah mendapat khabar perihal seorang isteri dari salah sebuah negara Afrika terkapa-kapa kewalahan setelah sang suami dinyahnya kerana dikatakan tidak lagi dikehendaki oleh negara ini.

Saya teringat tentang bantuan-bantuan yang sering dihulurkan Ahmad Lutfi sepertimana yang dilaporkan beritanya oleh Harakah. Lalu berita tentang isteri dan anak yang malang ini saya sampaikan kepada Ahmad Lutfi dan setelah melalui proses-proses yang ditetapkan, akhirnya isteri dan anak diberikan bantuan terbang pulang menemui suami yang telah dinyahkan.

Peristiwanya sukar dilupakan kerana saya mengalami dari dekat proses tindakan Ahmad Lutfi dalam membantu para mangsa ISA. Yang jelas, dia amat prihatin. Dan dia tidak sekadar meratap dan bersyarah. Dia benar-benar terjun ke dalam masalah demi menghulurkan bantuan seadanya, mencari sumber dana semampunya kepada para mangsa akta yang zalim ISA.

“Pemecatannya” sebagai ketua pengarang Harakah

Kisah Ahmad Lutfi ini tidak akan lengkap sekiranya dua aspek di bawah ini tidak dibentangkan sebagai “rekod” untuk diteliti oleh generasi akan datang. Pertama, rekod perihal “penyingkiran” Ahmad Lutfi dari jabatan editorial Harakah oleh para pemimpin tertinggi PAS pimpinan Hadi Awang kerana siri peperangan dalaman yang cukup sengit. Siri perang oleh satu saf ulama yang percaya bahawa Islam nasionalisme perlu unggul demi untuk mengekalkan kuasa.

Sesungguhnya, itu titik hitam; satu titik noda yang hitam yang tidak mungkin dipadam dari catatan sejarah parti dan ingatan pedih luka yang mengakibatkan rabak jiwa para penyokong tidak kelihatan seperti saya sendiri.

Ahmad Lutfi Othman yang dibaca dan ditafsirkan sebagai watak yang lebih cenderung kepada keterbukaan, ketelusan dan islah total perjuangan Islam tidak dilihat sebagai watak yang menyebelahi kepimpinan tertinggi parti yang menggelar diri mereka sebagai puak ulama. Dalam politik hukum-hakam tidak bersama tuan penguasa itu adalah kesalahan yang tidak boleh dibiarkan.

Maka oleh kerana itu, Ahmad Lutfi dan bilah-bilah akal yang tajam lagi berbisa itu, perlu disingkirkan. Ini titik noda yang tidak mungkin padam daripada sejarah hitam PAS. Ini peristiwa bersejarah melibatkan seorang wartawan sebuah parti politik bukan pemerintah. Ia mendedahkan bahawa penguasa dan calon penguasa amat takut dengan pena cerdik yang tajam, yang berani.

Bukankah orang-orang politik itu sama saja? Mereka TIDAK mahu ditegur.

Dan sebagai tanda kesetiakawanan dan demi keadilan, PAKSI, Seniman Paksi Rakyat telah membantah, memprotes penyingkiran para staf Harakah yang dilihat tidak bersama kepimpinan PAS. PAKSI membantah dan menentang sikap mereka yang takut berdepan dengan hujah dan kenyataan seperti ini. Dan untuk itu acara baca puisi bulanan PAKSI bersama Madrasah Tarbiyah, Kampung Banda Dalam iaitu Baca Puisi Madrasah Seni, BPMS merakamkan rasa setiakawan ini.

Sesungguhnya PAKSI telah menentang tindakan kepimpinan tertinggi PAS di atas peristiwa zalim yang sarat agenda ini.

Ahmad Lutfi, sama seperti para wartawan ternama terdahulu dimusuhi tuan penguasanya. Apakah dia tidak digemari kerana kebolehan dan kelebihannya? Ini rekod kedua yang kita fikir wajar kita rakamkan. Walaupun wawasannya untuk Harakah itu jauh ke depan, berani dan jauh lebih dinamik, dia tidak diberikan sokongan seperti sepatutnya. Saf kepemimpin tertinggi parti terus mahu kekal dengan cita-citanya supaya Harakah kekal sebagai organ@alat parti. Harakah, yang dijadikan alat, mahu dikekalkan fungsinya untuk dipergunakan para pemimpin parti mempamerkan dan memperagakan diri masing-masing di depan para pengundi.

Sesungguhnya idea untuk menjadi Harakah supaya berada di tengah-tengah masyarakat sebagai akhbar milik rakyat dan memperjuangkan nasib rakyat tidak kesampaian. Sesungguhnya idea seperti ini tidak digemari. Bagi para pemimpin besar parti, sudah cukup jika Harakah itu kekal sebagai selaras alat. Ia cukup sebagai cermin untuk mempamerkan wajah-wajah berbedak bergincu para pemimpin.

Dalam konteks mengusahakan perubahan ini, Ahmad Lutfi pernah mengajak kami dalam PAKSI untuk berbincang dan bertukar-tukar pandangan dalam perancangan strategik Harakah. Sahabat-sahabat yang bukan daripada kalangan PAS termasuk para wartawan Cina seperti Lim Hong Siang dan Selena Teh turut diajak untuk merancang bagaimana Harakah boleh jauh ke depan. Nampaknya segala perancangan strategik yang digerakkan oleh Ahmad Lutfi itu tidak mendapat sambutan.

Kelihatannya Harakah dilihat sudah cukup cemerlang dengan apa yang ada. Ini rekod yang perlu dibaca oleh generasi muda.

Ternyata perubahan menjadi sukar kerana ia (perubahan) sering dilihat sebagai satu ancaman besar oleh penguasa. Wartawan yang hebat-hebat oleh kerana kehebatan bilah-bilah akalnya, tidak digemari penguasa yang sentiasa ketagihkan kuasa yang mutlak.

Tidak syak lagi, Ahmad Lutfi Othman termasuk dalam kelompok wartawan cerdik yang membimbangkan sang penguasanya walaupun ia masih dalam kedudukan menanti. Benarlah, penguasa yang kurang cerdik amat takut dan bimbang terhadap para cerdik pandainya. Golongan yang digeruni ini termasuk wartawan. Apakah para wartawan kelas Hang Nadim seperti Ahmad Lutfi tidak serasi untuk penguasa yang rendah diri dan sentiasa dalam kebimbangan? Apakah Ahmad Lutfi itu sebahagian daripada lantunan pelbagai sisi Lokman dalam Hujan Pagi? Apakah tidak benar bahawa sesungguhnya sebatang pena yang cerdik berani sentiasa digeruni penjajah; baik yang lama, juga penjajah dalam bentuknya yang terbaru?

KASSIM MUHAMAD, seorang jurutera awam, merupakan aktivis budaya dan antara peneraju utama PAKSI (Seniman Paksi Rakyat).
_______________________________________________________________________________
Artikel ini petikan dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas,untuk mendapatkan buku tersebut dengan harga istimewa ,sila WhatsApp/Hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291

No comments