Buku Lutfi

Siti Hawa: Watak utama di sebalik tabir

Oleh ROY RASUL

SEJAK bertugas sebagas wartawan, rasanya ini kali pertama bahan interview yang ditangguhkan terlalu lama oleh saya hampir sebulan. Bersalah sungguh saya rasakan. Apa lagi wawancara itu melibat seorang insan yang sangat aku kagumi.

Insan yang aku maksudkan adalah boss aku. Ahmad Lutfi Othman namanya. Bekas Ketua Pengarang Kumpulan akhbar Harakah. Beliau seorang wartawan yang hebat, terutama dalam dunia siasah.

 Atas faktor kesihatan, beliau tidak aktif lagi untuk menajamkan mata penanya dalam genre politik khususnya. Mungkin disebabkan itu, beliau mahu dirakamkan kisah hidupnya dalam sebuah buku.

Sebagai rakan setugas dan pekerja di bawahnya, saya diminta untuk sama-sama menyumbang sebuah artikel mengenai dirinya untuk rakaman sejarah atau sekurang-kurangnya “tanda kenang-kenangan seorang sahabat”. Pada masa sama, rakan wartawan, bekas pemberita Harakah, Mohd Arif Atan berkali-kali juga meminta hasil karya saya. Katanya, “Tulislah apa sahaja untuk Encik Lutfi.” Namun jawapan saya, “Tengoklah dahulu.”

Apa pun kali ini, bertarikh 11 November 2015 jam 2.48 petang saya menerima WhatsApp daripada Lutfi sendiri yang menulis: “Assalamualaikum, apa khabar? Arif Atan sedang susun buku kecik tentang pengalaman kewartawanan saya selama tiga dekad. Disebabkan saya uzur dan sudah lebih setahun tak mampu menulis, maka digunakan dua kaedah, iaitu pendekatan interbiu panjang dengan saya dan minta rakan-rakan yang mengenali saya turut menyumbang. “Saya secara peribadi mohon Roy berkongsi idea dan pengalaman. Juga tanda kenang-kenangan seorang sahabat. Dengan status kesihatan mutakhir, saya anggap kerjaya saya sebagai editor-wartawan sudah berakhir. Masa saya di Harakah juga sudah melewati senja.

“Harap-harap Roy tak keberatan. Tulislah apa sahaja, lebih elok secara santai,” begitu ayat Lutfi sendiri menerusi aplikasi WhatsApp kepada saya.

Memang sayu juga membaca permintaannya itu. Serba salah dibuatnya, apatah lagi saya tidak ada pengalaman menulis untuk penerbitan buku. Ya, saya tahu besar hajat Lutfi untuk memohon para sahabatnya sama-sama menukil ilham. Sejak kurang sihat, beliau jarang juga saya temui. Boleh dibilang walaupun biliknya hanya berada setingkat di atas, iaitu di tingkat dua, pejabat editorial Harakah.

Kebetulan tanggal 4 Disember 2015, saya berjumpa dengan Lutfi di Bilik Berita Harakah sempena sedikit jamuan perpisahan untuk bekas Pemangku Ketua Pengarang Harakah, Taufek Yahya, rakan yang mengambil alih tugas Lutfi sepanjang keuzurannya.

Dengan tersenyum, sekali lagi beliau meminta saya tulis apa sahaja untuk buku berkaitan dirinya itu.

Terus terang saya beritahu kepadanya, saya hendak tulis daripada sudut pandangan isterinya sendiri, Siti Hawa Samsam.

Ini kerana isterinya orang yang paling dekat, baik pada jiwa dan raganya. Lutfi segera bersetuju.
Pada Ahad 6 Disember 2015, beliau menghantar mesej melalui WhatsApp lagi: “Esok, Isnin, insya-Allah isteri saya ke pejabat Harakah, jam 10.00 pagi.” Janjinya dikota dan memang tepat jam 10.00 pagi, beliau dan isterinya, Siti Hawa sampai di Harakah. Dalam keadaan kesihatannya yang nampak uzur dan keletihan, beliau sanggup memandu dari rumahnya, di Bukit Ampang sampai ke pejabat Harakah di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Jarak sekitar 20 minit perjalanan.

“Hari ini kali pertama saya memandu sendiri ke ofis selepas hampir setahun, selalunya anak yang membawa saya. Yalah, saya terpaksa menyesuaikan diri sebagai OKU, tak boleh terus harapkan bantuan,” beritahunya kemudian.

Saya naik ke Tingkat 2, dan di situ, Siti Hawa, 51, menunggu dengan setianya dalam bilik mesyuarat editorial, kebetulan bersebelahan bilik kerja Lutfi. Kelihatan Lutfi bekerja dengan begitu tekun di biliknya, menghadap komputer.

Beliau hanya tersenyum menjawab salam saya dan terus dengan kerjanya. Beliau tidak pedulikan kami. Mungkin Lutfi mahu memberi ruang selesa kepada kami untuk bercerita panjang. Di situ bermula bual bicara saya dengan kekasih hatinya, yang lebih mesra dengan panggilan Siti.

Hakikatnya, mengenali dan mendekati isteri Lutfi sungguh indah dan cukup mesra. Apa lagi setiap patah yang diucapkan setiap kali itu juga terukir senyuman di bibirnya.

Dilahirkan di sebuah kampung di Tanjung Karang, Selangor. Selepas tamat pengajian menengah, menuntut ilmu di bidang agama di sebuah pondok di Jeram Selangor. Kemudian sempat melanjutkan pula pengajian di Kelantan, walaupun dalam tempoh singkat. Berkulit putih kuning. Ibu Siti, berketurunan Cina dan berdasar Jawa sebelah bapa. Sederhana tinggi orangnya serta lemah lembut bila berbicara. Masih fasih berbahasa Jawa.

Saya cuba mengorek dengan detik awal perkenalannya dengan Lutfi hingga ke jinjang pelamin. Pada mulanya beliau agak malu untuk bercerita perihal suaminya biarpun membina mahligai cinta sejak tahun 1991.

Demi merealisasikan sebuah buku impian seorang suami tersayang, beliau pun turut meluahkan kisahnya bersama Lutfi.

Dengan mengenakan baju berona biru dan berhijab kelabu lembut, dengan tulus ikhlas Siti berkata, suaminya tidak pandai bergaya.

Baju suaminya, tidak ada yang berwarna garang. Dan tidak pernah memiliki tali leher biarpun memegang jawatan Ketua Pengarang.

“Dan Lutfi sebenarnya tidak pernah memakai kasut. Yang ada hanya sandal. Kemeja lengan pendeknya pula sentiasa dilepaskan keluar,” cerita Siti.

Namun katanya, warna-warna pilihan suaminya secocok dengan pilihan warna kegemaran hatinya. Biru, kuning atau kelabu, “yang penting bukan warna-warna cerah.”
 

(Gambar:  Rombongan peminangan Ahmad Lutfi di rumah abang ipar isterinya, Kampung Baru, Kuala Lumpur, yang diketuai datuk saudaranya, Megat Ali Megat Hasan (dua dari kanan). )


“Pernah saya beli baju warna garang, nak nampakkan pembaharuan sikit, tapi hanya sekali dua dia pakai, tanda dia tak begitu suka,” tambah Siti.

Memang benar, katanya, hati suaminya lembut selembut warna pilihannya. Beliau juga seorang yang simple. Jadi tidak timbul rasa malu atau rendah diri melihat suami berketrampilan dengan begitu sederhana di hadapan khalayak.

Semasa berkenalan dengan suaminya, iaitu jejaka dari Kg Raja, Jitra, Kedah mereka tidak pernah bertentang mata. Bibit cinta hanya dimulakan dengan kiriman sekeping foto saiz pasport, yang hanya menampakkan sepasang mata.

“Sebelum kahwin, saya pakai purdah atau orang sekarang panggil hijab. Jadi gambar saya pun bagi pada dia itu, gambar saya berpurdah,” ceritanya. “Tapi kemudiannya Lutfi minta gambar yang menampakkan muka ... yalah, memang pun itu sepatutnya, takkan tak boleh tengok wajah kot,” tambah Siti, tersenyum.

Sungguhpun begitu, semarak cinta tetap mudah segar. Sesegar mawar disirami embun pagi. Uniknya cinta mereka disatukan oleh bekas tunangan Lutfi sendiri. Sebelum mengenalinya, Lutfi pernah bertunang dan tunangnya itu rakan rapat Siti. “Bekas tunangnya yang perkenalkan saya kepada Lutfi.

Masa itu kami sama-sama menuntut ilmu agama di Jeram, Selangor. Dia pula rakan sekelas Lutfi sewaktu di sekolah menengah,” cerita Siti lagi, sambil ketawa kecil, sambil menambah, “keciknya dunia ini.” Biarpun hati Lutfi pernah dilukai, kehadiran Siti secara tiba-tiba bagai penawar duka wartawan muda itu. Tanpa menunggu lama, dan tidak perlu didahului dengan pertemuan awal – hatta tanpa menatap dulu wajah bakal tunang secara berdepan – Lutfi bersetuju menghantar wakil peminangan.

(Gambar :Ustaz Fadzil Mohd Noor (dua dari kiri) di majlis perkahwinan Ahmad Lutfi, tahun 1991, di Kampung Raja, Kubang Pasu. Abang ipar Lutfi, Morad Ismail sedang berbual dengan Ustaz Fadzil, sambil diperhatikan Dinsman (kiri sekali).)

Mungkin jodoh mereka lebih kuat dan kata orang, kalau sudah jodoh bertemu juga akhirnya.

Disebabkan cinta itu lahir dari sebuah hati yang suci akhirnya mereka bersatu jua.

“Hanya selepas sah diijab kabul di sebuah masjid di Selayang Baru, itu pun pada malamnya, di rumah kakak sulung saya di Kg Baru, baharulah Lutfi buat pertama kali menatap wajah saya,” ujar Siti, tunduk.


Semasa remaja katanya, beliau juga tanpa segan mengakui menolong ibunya menjual kuih dan makanan. Siti datang dari keluarga susah, menetap di perkampungan setinggan keretapi Sg Way, Petaling Jaya, yang bocor atapnya, robek dindingnya, tidak sempurna kemudahan asasnya.

Apakah pernah mengenali Lutfi dari jauh? “Saya tahu dia dibuang universiti kerana isu purdah, bela pelajar Arqam di UTM. Tetapi saya tidak ambil kisah sangat siapa Lutfi sebenarnya.”

Semasa Lutfi terlibat dengan demonstrasi siswa Universiti Malaya, pada suatu malam, hujung 1989, Siti kebetulan mengunjungi kampus tersebut pada siangnya. Ekoran itu, Lutfi ditahan tanpa bicara di bawah ISA atas dakwaan menghasut pelajar. Bercerita lanjut mengenai dirinya, Siti berkata, minatnya terhadap agama terlalu menebal. Beliau tidak fikir tentang jodoh kerana baginya mencari syurga lebih utama.

Menjangkau usia 27 tahun baharu Siti mengakhiri zaman bujang. Ketika beliau disunting, Lutfi sudah bertugas di Harakah, sebagai editor majalah Dunia Islam. Mereka dikurniakan lima cahaya mata, tiga lelaki dan dua perempuan. Putera sulung berusia 24 tahun, manakala puteri bongsu belajar di sekolah agama berasrama penuh, di Subang Jaya, tingkatan satu.

Menjadi suri hidup kepada Lutfi, Siti banyak belajar tentang erti kasih dan huluran bantuan sesama insan. “Saya bersyukur kerana perkongsian hidup dengannya sentiasa mengajak saya membantu orang yang memerlukan,” katanya Bukan memuji bukan mahu menunjuk-nunjuk, ujar Siti.

Insan yang bernama Ahmad Lutfi, sememangnya cukup pemurah dan suka membantu orang yang susah hidupnya. Pantang mendengar sahabat handai jiran tetangga dirundung nestapa. Maka tanpa berkira sama ada wang ringgit atau barangan makanan akan dihulurkan kepada orang yang memerlukan. “Alhamdulillah, modalnya kami perolehi dari sumbangan orang ramai.”

Dengan menu popular nasi Arab, beliau cukup rajin ke dapur demi memenuhi kehendak suaminya yang merupakan penggemar kari utara. Malah menjadi tukang masak perkara biasa baginya demi menjamu selera orang-orang yang diingati.

Rakan seperjuangan, baik pimpinan pelajar universiti, sukarelawan, aktivis dan juga gelandangan di ibu kota sering diraikan. “Banyak kali juga dia meraikan kemenangan pelajar pro-Mahasiswa dalam pilihan kampus, dengan menu nasi Arab kambing, terutama di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan, Universiti Islam dan Universiti Putra,” sambung cerita Siti penuh minat.

“Selalu juga pimpinan pelajar datang ziarah Lutfi di rumah. Saya tengok hubungan dia dengan alam kampus cukup rapat walaupun sudah 30 tahun tinggalkan universiti,” tambahnya.

“Alhamdulillah, saya rasa cara menjamu selera begitu, hati kami tenang. Kami beruntung kerana ramai kawan sudi menaja. Banyak bersedekah makin banyak rezeki mendatang.”

Itu yang menjadi amalan suami isteri ini.

Seperkara lagi yang disampaikan Siti, hobi Lutfi ... seorang gila membaca dan tidak lokek membeli buku. “Sejak uzur dan penglihatannya kabur, dia selalu pesan melalui online, bertimbun buku datang terutama kalau ada jualan murah,” beritahu Siti. “Banyak buku yang dibelinya belum dibaca, hatta bungkusan plastiknya pun belum dibuka,” tambahnya sambil ketawa kecil. Bahkan, katanya, tabiat Lutfi akan membaca semua buku yang berkaitan jika beliau ingin menulis sesuatu topik. “Dan kalau sudah dipilih judul bukunya, dia kerap menyebut-nyebut tajuk buku itu kepada saya, mungkin nak pastikan ia serasi,” ujar Siti. “Ada kalanya, kalau banyak idea, dia menulis lepas Isyak sampai Subuh dan bersambung balik hingga Zuhur. Itu waktu sihat bugar dululah ...”

“Habis semua buku dikeluarkannya, bersepah-sepah, dan jangan cuba menyimpan sebelum dia habis menulis, nanti ada yang hilang, tetapi saya sudah masak dengan hobi dan tabiatnya itu,” kata Siti.

Mengakui beliau tidak meminati dunia politik, Siti lebih dekat dengan buku-buku tasawuf dan kisah sirah Nabi. “Tapi sejak berkahwin, siang malam mendengar cerita politik, terutama berkaitan amalan rasuah dan salahguna kerajaan, saya perlahan-lahan tertarik dengan perkembangan politik. Politik bermakna ambil tahu hal sekeliling dan cuba betulkan apa yang mampu,” tambahnya.

Siti turut bercerita pengalaman mendebarkan beberapa kali Lutfi ditahan polis, dirampas buku dan makalah politik, diserbu pejabat, dan pernah digeledah rumah sewa mereka di Selayang Baru. “Tak tahu apa tujuan polis, apa yang mereka cari sampai selongkar bilik bacaannya, akhirnya balik begitu saja.”

“Saya masih ingat, sekitar tahun 1997, Lutfi diburu polis di PWTC, semasa pesta buku. Buku berkaitan Anwar Ibrahim dan bekas Mufti Selangor, Dato’ Ishak Baharom jadi isu hangat.
 Ibunya, iaitu mak mentua saya, Almarhumah Aishah Megar Hamzah ada di rumah kami. Lutfi telefon beritahu saya, dia terpaksa bersembunyi sekejap. Saya cukup cemas tapi saya tengok mak mertua saya, tenang saja, tak banyak bercakap dan terus baca al-Quran. Walaupun tak banyak beda dengan orang kampung yang lain, sebenarnya mak Lutfi, dalam usia melewati 60-an, seperti peminat no. 1 buku-bukunya, bila ada masa lapang, sorang-sorang dalam bilik di rumah kami, dia baca dengan tekun buku-buku politik Lutfi,” cerita Siti penuh tekun, sekali gus menunjukkan kerinduannya kepada mak mertuanya yang meninggal dunia pada Jun 1999.''

“Lutfi cukup rapat dan manja dengan ibunya. Dia boleh bersembang santai, lama sekali, bercerita kisah-kisah lampau, yang sebahagiannya berulang-ulang dan Lutfi nampak begitu seronok dan ceria ketika bertemu muka dengan mak. Masakan mak paling digemarinya walaupun sekadar ikan goreng dan mak pula, setiap kali bertandang ke rumah kami, pasti masak menu tradisi yang lazat,” cerita Siti, memendam rindu amat sangat kepada mak mertua yang menjaganya setiap kali beliau melahirkan, dari anak pertama hingga keempat. Menanti kelahiran anak sulung, Lutfi menghantar Siti balik kampung di Jitra dan mak mertuanya menyantuninya penuh kasih sayang.

“Ada sebuah rumah kami di Kajang, yang menempatkan ribuan buku dan majalah dari pejabat lama Lutfi di Medan Idaman, Gombak, dipecah orang dan semua bahan bacaan berharga itu dibuang.

Sayang sekali ...,” Siti bercerita dengan nada kesal. Rumah lama di tingkat lima itu, yang tidak mempunyai kemudahan lif, tidak dikunjungi Lutfi, terbiar kosong, ekoran keuzurannya, terutama selepas diserang angin ahmar yang merencatkan pergerakannya.

Semasa asyik menceritakan kisah anak-anaknya, tiba-tiba Siti tidak dapat menahan sayu di hati.
 Berkali-kali beliau sebak apabila terkenangkan pemergian puteri kesayangannya, anak kedua, Allahyarham Nurul Syafiqah yang kembali ke rahmatullah pada hari pertama Ramadan, 5 Oktober 2005, waktu itu Lutfi menjadi pengarang akhbar Siasah. Syafiqah menghembus nafas di hadapan mata Siti, Lutfi dan tiga adik beradiknya – Ahmad Luqman Hakim, Ahmad Ikmal Syafiq dan Umar Mukhtar – di kediaman mereka, Bukit Ampang, tanpa mengetahui penyakitnya. “Mungkin denggi, tapi dua kali doktor periksa dan buat ujian darah, tak ada pula syak denggi,” tambah Siti.'

“Kalau boleh saya hendak sangat ada orang yang sudi menulis tentang kisah anak saya. Syafiqah seorang anak sangat baik, Lutfi pernah susun artikel berkaitan Syafiqah tapi tergendala sebab keuzurannya, terutama bila mata kabur, mungkin boleh sambung apa yang dia dah tulis,” katanya sambil bergelinangan air mata. Rakaman hati dan perasaan Lutfi ada dinukilkan dalam sebuah tulisan khusus buat Syafiqah, secara bersiri dalam Siasah, dan ia menarik perhatian begitu ramai pembaca.

“Lutfi selalu sebut, dia mesti bukukan juga pengalaman berkaitan Syafiqah, cerita-cerita kematian dan kisahnya berdepan pelbagai penyakit. Alam kematian pasti kita tempuh, dan bagi kami, cerita Syafiqah cukup bermakna sekali sebagai pengajaran. Juga tentang uniknya atau bagi Lutfi, misteri tentang kasih sayang ibu bapa kepada anak. Sebagai penulis, Lutfi selalu kata kepada saya, juga kepada dirinya sendiri, dia mesti merakamkan misteri itu dalam sebuah buku.”

Namun Siti tetap reda dan menerima ketentuan Allah SWT ke atas keluarganya. Beliau sentiasa berdoa agar keluarganya khususnya suami tercinta kembali sembuh daripada penyakit yang ditanggung sekarang.

Siti juga bercerita tentang Lutfi yang suka menziarahi anggota keluarga terutama yang sudah lanjut usia. “Saya masih ingat watak Wan Om, atau nama penuhnya Haji Baharom Taib, datuknya, ayah kepada bapa Lutfi. Saya hanya sempat mengenali Wan Om yang uzur selama setahun selepas berkahwin. Banyak nasihat keagamaan yang dicurahkan, termasuk berkaitan politik Islam.

 Tidak lupa kepada Mak Teh Nah, kakak mak Lutfi yang paling cepat menjenguk kami ketika balik kampung, walaupun Teh berjalan perlahan, bongkok. Teh manja dengan Lutfi, dan selalu mengurut kaki dan belakangnya. Juga Tok Su, nenek saudara Lutfi, yang ramah dan menyenangkan. Balik kampung semasa kehadiran mereka begitu membahagiakan.

Kini semuanya telah tiada ....” Apa pun Siti percaya suaminya, Ahmad Lutfi Othman, yang kelihatan semakin uzur dan tidak bermaya, termasuk daripada segi memori, akan kuat semula dengan izin Allah sebagaimana gigihnya beliau berkarya dalam dunia penulisan politik dahulu.

Di akhir pertemuan, Siti sempat bercerita tentang kelaziman Lutfi apabila berkunjung ke hospital saban minggu. “Dia memanfaatkan masa menunggu yang lama, dengan memerhati pesakit dan bertanya khabar, kadang-kadang dijadikan bahan dalam tulisannya. Ramai yang daif, miskin, ditambah keperitan dengan sakit kritikal.

Bagi Lutfi, banyak ruang yang perlu ditambah-baik dalam perkhidmatan kesihatan kita,” kata Siti. Dan Lutfi juga, tidak melepaskan kesempatan, untuk turut mengedar naskhah Harakah “secara percuma” di hospital.

“Setiap kali ada temujanji, Lutfi akan membawa paling kurang lima naskhah Harakah, yang diletakkannya di tempat-tempat strategik, yang menjadi tumpuan umum,” Siti mengenangkan tabiat Lutfi.

“Selain untuk promosi, dia mahu lebih ramai khalayak berkongsi kandungan Harakah yang diterajuinya.

Dan kalau bertugas di luar kawasan, Lutfi tidak lupa menghadiahkan Harakah setiap kali melintasi plaza tol atau ‘meninggalkannya’ di kawasan R&R.

Dia benar-benar komited dengan tugasnya sebagi ketua pengarang, yakni bukan hanya menulis dan mengedit tetapi juga ghairah menyebar-luaskan akhbar yang cukup disayanginya itu.”

ROY RASUL, wartawan berpengalaman Harakah selama lebih 15 tahun.

Artikel ini petikan dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas,untuk mendapatkan buku tersebut dengan harga istimewa ,sila WhatsApp/Hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291

No comments