Buku Lutfi

Perjuangan Mansuh PPSMI Yang Kami Mulakan

Oleh ALI BUKHARI AMIR 

TIDAK ada yang tahu tentang hal ini. Ia bukan penting bagi sesetengah orang. Tapi yang tidak penting bagi sesetengah orang, mungkin penting bagi yang lain. Di bahagian ini, saya akan cuba menyingkap sedikit kisah berhubung peranan kami dalam usaha memansuhkan PPSMI yang bermula pada 2003.

Di Universiti Sains Malaysia (USM), ketika zaman berkuliah, seorang pemimpin pelajar, Mahfuz Ahmad Najhan pernah menulis sepucuk surat ke akhbar mengenai hal penentangan pelajar ke atas PPSMI itu. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Jamaluddin Mohaiadin memanggil beliau gara-gara penyiaran surat tersebut di ruangan surat pembaca (kalau tak salah ingatan saya).

“Bagaimana awak mahu buktikan bahawa pelajar USM menyokong pendapat awak yang membantah PPSMI ini?” lebih kurang begitu agaknya bunyi marah-marah seorang TNC kepada mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar USM ketika itu. Mahfuz menulis bahawa MPP USM menolak PPSMI. Lalu beliau dipanggil.

Hal marah-marah TNC HEP ini Mahfuz sendiri ceritakan kepada saya. Kemudian, kenyataan bantah PPSMI itu mati terus tanpa ada yang menyambutnya lagi. Ia mati bagaikan seorang pelari baton yang tidak menemui pelari di hadapannya di mana pelari

selepasnya sepatutnya ditakdir hadir supaya terus berlari demi melanjutkan larian perjuangan sehingga ke garisan penamat. Tahun 2005, bulan Ogos, saya tamat berijazah dan ditawarkan bekerja dengan akhbar Siasah. Kami sangat kurang tenaga pekerja kala itu. Jadi, kadang-kadang, ‘mesyuarat’ akhbar hanya berlangsung dalam dua orang sahaja. Pada suatu pagi, ‘mesyuarat’ antara kami berdua berlangsung.

“Apa yang special?” tanya editor, Ahmad Lutfi Othman kepada saya. Sesungguhnya, inilah pertanyaan yang sangat membebankan fikiran. Bagaimanakah kita mahu tahu sesuatu yang special dalam fikiran orang lain?

Apa pun, saya jawab ringkas sahaja, “Apa kata Siasah buat isu PPSMI?”

Dia mengangguk. Tidak membantah. “Okey juga ...” Dan bualan terus mati di situ. Ia jadi mati kerana bagi sebuah akhbar baru yang baru dikenal, kami sedar bahawa tiada orang tahu dengan kehadiran akhbar ini. Tidak mungkin ada yang peduli dan percaya jika akhbar kecil ini akan bersuara mengenai masalah bahasa di negara ini.

(Perkara orang ramai tidak peduli nasib akhbar yang dibunuh, pernah beberapa kali Ahmad Lutfi suarakan kepada saya secara peribadi. Dia rasa kesal sebab sikap peduli nasib akhbar cuma ada di Indonesia. Apabila majalah mingguan berita Tempo diancam kekuasaan misalnya, ada gerakan massa yang hadir membela majalah itu. Puncanya mudah, kata Ahmad Lutfi, akhbar atau media yang tidak dihiraukan nasib malangnya itu, tidak dekat dengan rakyat atau tidak banyak jasa untuk membela kepentingan massa. Justeru, media patut rapat dan akrab dengan degup jantung masyarakat tertindas, tambahnya.)

Hari demi hari terus berlalu. Saya sudah membiasakan diri dengan Jalan Pahang Barat. Sudah pandai meronda-ronda ke Kuala Lumpur dan tahu menghargai hiburan di bandar. Sudah tahu membeli tiket-tiket wayang dan sudah tahu memburu tiket-tiket wayang percuma.

Di celah-celah keseronokan itu, pada suatu hari, saya menerima panggilan daripada beliau, “Enta ikut ana ke Kajang ...”

“Ada apa di Kajang?” saya bertanya. Masih saya ingat Kolej New Era, tempat saya dan rakan pelajar mula menubuhkan SMM (Solidariti Mahasiswa Malaysia) dahulu.

“Ada program bantah PPSMI ni,” katanya kembali. “Ana dijemput jadi panelis sebab wakil Melayu tarik diri di saat akhir. Ana bukan biasa cakap atas pentas depan ramai orang ni ... Jom temankan ana.”

Saya tidak membantah. Hanya mengakur sahaja. Akhirnya, di sana saya perhatikan bahawa wakil Melayu yang diminta hadir untuk membantah PPSMI secara di pentas pidato itu hanyalah beliau seorang! Ahmad Lutfi agak gelisah berdepan audien yang begitu ramai, datang berombongan dari seluruh negara. Majoriti daripadanya masyarakat Tionghua. Ramai juga tokoh politik pembangkang berada di barisan depan, tetapi semuanya di kerusi hadirin. Khabarnya, penganjur mahu orang politik hanya mendengar hari itu.

Seorang demi seorang wakil bukan Melayu berucap bagi membantah dasar ini. Kejadian ini berlaku pada tahun 2005 saya fikir. Dan bermulanya kesedaran di pihak bukan Melayu ini bukan tiada sejarahnya. Sejauh yang saya faham, PPSMI ingin diterapkan ke sekolah Tamil dan Cina pula.

Maka, hal ini tentu sahaja membangkitkan rasa amarah di pihak bukan Melayu. Lalu, mereka bangun menyatakan protes dan bantah pada tahun itu. Namun, kesedaran Melayu seperti lambat hadir. Atau, mereka tidak punya pemimpin untuk menyuarakan bantahan ke atas PPSMI di sekolah kebangsaan?

Setelah itu apabila tiba gilirannya berucap, maka Ahmad Lutfi terus menyatakan rasa kesalnya kerana dia satu-satunya wakil Melayu yang dipanggil untuk bersuara tentang isu PPSMI saat itu. Ketika ini masih tiada NGO ilmuwan seperti Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) dan lain-lain persatuan lagi.

Seingat saya perkara ini (perihal beliau satu-satunya wakil Melayu yang berucap membantah PPSMI) pernah dinyatakannya dalam salah satu kolumnya dalam akhbar Harakah. Dan, hal inilah yang menjadi tema utama dalam catatan ini – iaitu jihad bahasa ini dimulai ‘orang kecil’ tak bernama.

Melalui catatannya pada 2 Mac 2009, Ahmad Lutfi merakamkan: “Tiba-tiba ingatan saya terimbau hampir empat tahun lalu. Saya diundang di saat-saat akhir, untuk menghadiri satu persidangan peringkat kebangsaan, di Kolej New Era, Kajang, anjuran Dong Jiao Zong (DJZ). Saya menjadi bidan terjun mewakili Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) apabila tiada wakil pertubuhan Melayu yang bersedia menjadi ahli panel bagi membantah apa yang hari ini kita kenali sebagai PPSMI. Saya sampai jam 3 petang, ketika hujan panas renyai-renyai. Namun dahi saya berpeluh akibat gementar berdepan lebih 5,000 orang yang datang dari seluruh negara, kebanyakannya masyarakat Tionghua yang mewakili sekolah-sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.

“Cuba bayangkan, keanehan waktu itu, dan saya terasa keseorangan dibelit kesunyian di atas pentas. Tiada wakil NGO Melayu yang mampu meluahkan bicara dan rasa tentang PPSMI yang bersedia untuk memakan korbannya. Sedangkan siapa mangsa yang paling teruk daripada rancangan pelik dan aneh itu, kalau bukan anak Melayu sendiri dibandingkan dengan pelajar Cina dan India? Benar, orang Melayu lebih suka menumbuk dinding melepaskan marah ... tapi awas, jangan sampai mengamuk!

Reaksi awam ketika itu seolah-olah menggambarkan masyarakat Melayu dapat menerima PPSMI walaupun penolakan masyarakat Cina, terutama dari kelompok pendidik mereka, begitu ketara.”
Kemudian, apabila isu PPSMI mula menjadi riuh tergempar dan mula mendapat tempatnya di dalam hati masyarakat, lalu terdoronglah orang-orang tertentu memahatkan kemasyhuran dan membariskan nama sebagai watak penting dalam perjuangan jihad bahasa. (Maaf, kalau kedengaran angkuh.)

Itu gelombang ‘Langkah Kajang’ dalam episod pemansuhan PPSMI yang terawal. Kemudiannya hari-hari terus berlalu seperti biasa, sehinggalah pada 2007, saya terlontar ke Harakah dan Harakahdaily.

Saya fikir, gelombang kedua bermula di Harakah dan Harakahdaily apabila saya menulis satu berita mengenai Gapena yang tidak teragak-agak hendak membuat laporan polis terhadap Menteri Pelajaran, Hishammuddin Hussein yang masih meneruskan dasar PPSMI itu. Kenyataan berbau ugutan itu dibuat oleh pimpinan atasan Gapena dengan memberikan tempoh untuk Hishammuddin menarik balik PPSMI dengan alasan bahawa dasar ini amat jelas menyalahi semangat perlembagaan negara.

Berita Gapena hendak menyaman dan membuat laporan polis ke atas Hishammuddin itu dimuat naik oleh Ahmad Lutfi di Harakahdaily, dan beberapa hari kemudiannya, apabila berita saya itu turun ke bawah, ia (berita Gapena) kemudiannya diangkat semula sebagai berita utama dan berita besar!

Saya melihat berita itu menjadi impak besar kepada pengunjung laman web Harakahdaily itu kerana Gapena adalah penyokong Umno, namun mereka berani bertindak tegas ke atas sepupu Najib Razak.

Apa pun, yang bertanggungjawab menjadikan berita itu besar adalah sikap si Ahmad Lutfi ini juga.

Itu yang lebih besar peranannya sebab beliau mengekalkan berita besar itu (Gapena akan buat laporan polis dan menyaman Hishammuddin) di bahagian teratas di Harakahdaily untuk beberapa hari. Jadi, dengan lamanya berita itu diapung di Harakahdaily, ia menarik perhatian pelawat laman berkenaan.

Menerusi catatan khas menjelang demonstrasi besar-besaran 7 Mac 2009 membantah PPSMI yang diterajui Almarhum Dato’ Hassan Ahmad, Sasterawan Negara A Samad Said dan GMP, Ahmad Lutfi seperti membuat perutusan khas: “PPSMI jelas “celaka”. Kedudukan bahasa Melayu yang sedia lemah makin dihina di bumi sendiri. Usaha gigih pejuang bahasa sejak sekian lama untuk memartabatkannya di persada antarabangsa seperti diterajang ke jurang dalam. Anak-anak Melayu yang diketahui agak lemah dalam matematik, sains dan bahasa Inggeris dijadikan bahan ujikaji dan perkakas untuk mengaut keuntungan melalui dasar yang pelik, aneh dan bodoh itu.

“Tertebuskah dosa kita membiarkan mereka merana selama enam tahun? Dan bahasa Melayu makin dipandang rendah. Malah, kita sebenarnya melakukan “usaha sia-sia” menghabiskan masa menentang PPSMI ketika kita patut menggembleng tenaga memperkukuhkan bahasa kebangsaan itu dalam setiap sektor. Tanpa PPSMI pun bahasa Melayu perlu diperkasa seutuhnya terutama menempuh badai globalisasi.

“Melalui Siasah, kemudiannya Harakah, saya memberi ruang secukupnya untuk berhujah dan berdebat. Di atas pentas teori tiada siapa dapat menyanggahnya. PPSMI wajib dikuburkan segera!

Menteri Pelajaran hanya menyerlahkan kebebalan dalam beberapa reaksinya. Kini masa untuk menghentikan kebodohan yang cukup panjang ini. Budayawan, cendekiawan, pemimpin politik, aktivis masyarakat dan ibu bapa perlu bersatu tenaga untuk, bukan sahaja meruntuhkan kedunguan dan kebengongan ini, dengan turun beramai-ramai pada 7 Mac nanti, tetapi juga untuk bersama-sama membina kembali peradaban bangsa yang terabai selama ini. Selamat berdemonstrasi!”

Satu hal yang agak penting di sini adalah ‘hal perjanjian’ antara saya dengan Ahmad Lutfi berhubung isu PPSMI yang saya letupkan di laman Harakahdaily. Kami ada perjanjian dan persefahaman. Oleh kerana saya berminat menulis isu PPSMI, maka dalam diam-diam, Ahmad Lutfi memberi saya kata laluan miliknya sendiri agar saya dapat memeriahkan laman portal berkenaan dengan isu PPSMI.

Corak pengendalian laman Harakahdaily ketika itu tersangat lemah. Pengendalinya tidak rancakkan pemberitaan dan tidak pula menyuburkan laman portal itu dengan rencana dan berita. Begitulah yang pernah dirungutkan oleh sesetengah pengunjung laman portal itu. Ramailah yang sudah mencemuh.

“Ini Harakah delay... bukan Harakahdaily,” kata seorang bekas pimpinan Pemuda PAS Pusat dalam satu dialog yang pernah saya hadiri. Dan banyak lagi kutukan dan cemuhan mengenai Harakahdaily yang sepatutnya lebih tangkas, cepat laporan pemberitaannya setiap hari dibanding laman portal lain
Akhirnya, hal Ahmad Lutfi memberi kata laluan kepada ‘orang luar’ itu dihidu teman sepejabat.

Mereka tentu saja tak berpuas hati dengan sikapnya yang dilihat berat sebelah dan menyalahi peraturan. Saya fikir, dia turut dipersoalkan berhubung sikapnya memberikan kata laluannya kepada saya ketika itu. Namun apalah yang dapat dikatakan lagi. Saya percaya, Ahmad Lutfi berada dalam keadaan dilema. Jika dia tidak memberi kata laluan itu kepada orang luar, adakah Harakahdaily akan rancak dengan isu-isu PPSMI? Bagaimana hendak rancakkan laman portal itu jika tukang berita sukar fokus kepada pekerjaan seharian, khasnya dalam isu-isu bahasa seperti isu PPSMI misalnya?

Saya menyifatkan sikap Ahmad Lutfi memberikan kata laluannya kepada saya dan orang luar lain itu sebagai legally wrong, but morally right, dalam bahasa Inggeris. Ertinya, sikap beliau memberi kata laluan kepada orang luar Harakahdaily dikemaskinikan dengan isu-isu PPSMI itu adalah bijak walau sejumlah peraturan pejabat telah menjadikan beliau sebagai seorang pesalah di mata mereka.

Sikap beliau memberikan kata laluannya ini membuatkan kata laluan itu terpaksa diubah berkali-kali. Dan setiap kali kata laluan itu diubah-ubah, maka Ahmad Lutfi berterusan memberi kata laluan baru kepada saya untuk mengemaskini isu-isu mengenai PPSMI ketika itu.

Allah Maha Besar! Akhirnya Harakah menjuarai isu-isu PPSMI. Dan fikiran rakyat berubah. Orang-orang mula menunjukkan keprihatinan yang tinggi dari hal isu bahasa kebangsaan. Syukurlah. Lama-kelamaan, baru hadir gerakan GMP (Gerakan Mansuhkan PPSMI) yang memulakan aksi demonstrasi yang buat pertama kalinya dilakukan di Sogo, Kuala Lumpur.

Masyarakat tidak tahu kerja-kerja di sebalik tabir seperti ini. Kami fikir, biarlah keadaan kekal begitu sahaja. Begitu jua dengan isu penutupan kolum sastera Harakah yang tidak dipedulikan oleh pejuang sastera (hatta pejuang sastera paling kiri pun tidak mempedulikannya), kecuali sebilangan kecil saja.

Kadang-kadang kita mesti belajar menerima kekalahan. Hakikat bahawa kita ‘orang kecil’ dinafikan jangan. Gus Mus (Mustofa Bishri) pernah merakam hakikat ini dalam sajaknya, Orang Kecil, Orang Besar.

Suatu hari yang tak cerah
Di dalam rumah yang gerah
Seorang anak yang lugu
Sedang diwejang ayah-ibunya yang lugu
Ayahnya berkata:
Anakku,
Kau sudah pernah menjadi anak kecil
Janganlah kau nanti menjadi orang kecil!
“Orang kecil kecil perannya kecil perolehannya,” tambah si ibu
“Ya,” lanjut ayahnya
Orang kecil sangat kecil bagiannya, anak kecil masih mendingan
Rengek ayah dan ibu berganti-ganti menasehati:
“Ingat, jangan sampai jadi orang kecil
Orang kecil bila ikhlas diperas
Jika diam ditikam
Jika protes dikentes
Jika usil dibedil,”
“Orang kecil jika hidup dipersoalkan
Jika mati tak dipersoalkannya, didengarkan
Suaranya diperhitungkan
Orang kecil tak boleh memperdengarkan rengekan
Suaranya tak suara,”
Sang ibu wanti-wanti:
“Betul jangan sekali-kali jadi orang kecil
Orang kecil bila jujur ditipu
Jika menipu dijur
Jika bekerja digangguin
Jika mengganggu dikerjain,”
“Lebih baik jadi orang besar
Bagiannya selalu besar.”
“Orang besar jujur-tak jujur makmur
Benar-tak benar dibenarkan
Lalim-tak lalim dibiarkan.”
“Orang besar boleh bicara semaunya
Orang kecil paling jauh dibicarakannya saja.”
“Orang kecil jujur dibilang tolol
Orang besar tolol dibilang jujur
Orang kecil berani dikata kurang ajar
Orang besar kurang ajar dibilang berani.”
“Orang kecil mempertahankan hak disebut pembikin onar
Orang besar merampas hak disebut pendekar.”
Si anak terus diam tak berkata-kata
Namun dalam dirinya bertanya-tanya:
“Anak kecil bisa menjadi besar
Tapi mungkinkah orang kecil
Menjadi orang besar?”
Besok entah sampai kapan
si anak terus mencoret-coret
dinding kalbunya sendiri:
“Orang kecil??? Orang besar!!!”

Tamat puisi Gus Mus. Lewat puisi ini saya sangat suka catatan yang berbunyi, “Orang kecil tak boleh memperdengarkan rengekan/Suaranya tak suara...”

Ya, kisah orang kecil memansuhkan PPSMI tak akan pernah dicatit dalam lembaran sejarah. Biarlah keadaan berlaku seperti itu. Penutupan kolum sastera dan budaya Harakah tak akan dipedulikan, hatta oleh kalangan seniman dan pejuang sastera yang dianggap sebagai paling kiri sekali pun.

Nasib ‘orang kecil’ memang begitu. Mereka tidak boleh memperdengarkan rengekan. ‘Suara mereka’ bukan dianggap sebagai suara hatta oleh kalangan rakan-rakan mereka sendiri. Jadi, orang kecil harus berani menerima hakikat bahawa suara mereka bukanlah suara. Suara orang kecil tak diiktiraf sebagai suara yang mesti didengari.

Apa pun, selagi bernyawa, catitan mesti dirakam atas nama kesedaran sejarah. Ini kerana, kita khuatir pada lain waktu, akan ada orang yang memutarkan sejarah. Risau pula kita kalau ada yang mendakwa sewenang-wenangnya bahawa merekalah yang mempelopori gerakan anti-PPSMI dan merekalah juga segala-galanya dalam perjuangan sastera yang bertekad bulat dalam urusan memperkasa budaya pada masa hadapan.
Maka, baiklah juga rakaman sejarah terpencil ini dicatatkan guna menafikan dakwaan yang bakal tiba nanti. Lebih baik menjadi wira yang tidak didendang. Namun lebih baik juga berkata benar agar sang petualang tidak membuat dakwaan bukan-bukan pada masa depan.

ALI BUKHARI AMIR, pernah menjadi wartawan akhbar Siasah yang diterajui Ahmad Lufi dan diberikan kepercayaan oleh Lutfi untuk mengendalikan kolum sastera-budaya dalam Harakah walaupun Ali bukannya petugas tetap Harakah.

Artikel ini petikan dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas,untuk mendapatkan buku tersebut dengan harga istimewa ,sila WhatsApp/Hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291

No comments