Buku Lutfi

Prakata Lorong Sunyi Media Bebas:Padi Bukan Dedak

Oleh A Samad Said

Kini sesekali Ahmad Lutfi Othman menahan sakit sendiri sebagai wartawan jati yang makan hati. Sesetengah teman sedunianya tahu kepedihannya itu; malah kawan-kawan itu juga maklum sumbangan besarnya yang seolah kurang dihargai.

Dalam tulisan Lutfi sendiri ternyata dirinya segak, walau dalam sakit yang bermusim. Sebagai wartawan barangkali tidak ramai yang sedar bahawa Lutfi mempunyai rasa hurmat yang luarbiasa terhadap fakta, malah dalam kebanyakan tulisannya dia sentiasa terlihat cerewet, tapi santun.

Para penelitinya yang prihatin mudah terasa betapa dia terasa (juga tentunya berfikir) sangat prihatin terhadap kewajaran dan kebenaran. Tiga kali seminggu berdailisis, Lutfi memeriksa kerja kewartawannya seakrab dirinya melihat titisan darah yang berpusar. Antara sedar dan alpa, dia sentiasa “terasa” makna akar peristiwa yang pernah dirakamnya atau diulasnya.

Kini sudah pun terkumpul tulisan wartawan seangkatannya tentang dirinya sendiri yang telah tiga dekad terlamb (vung di atas gelombang dan di tengah tofan lautan kewartawanan. Secara terlindung, terkadang nekad berani, tetemannya itu melakar kembali dunia kewartawanan Ahmad Lutfi Othman. Bangga tapi pedih; dihargai tapi diketepi.

Tapi, kepada wartawan jati (teman-temannya itu) begitulah cara mereka mendamaikan hati dalam dunia mereka yang semakin dipersenda kuasawan.

Selepas era awal kemerdekaan alam wartawan Melayu, khususnya, mulai menggelonsor ke taraf hamba (walau pun kurang manis bunyinya).

Menyokong boleh, menentang dipandang, mengimbang diragukan. Yang boleh menyanjung. Jadi wartawan anggukan.

Ternyata Ahmad Lutfi Othman bukan orangnya. Dia cekal berbeza. Tidak dikembungkan, juga tidak dikempiskan.Dia berdiri sebagai dirinya sendiri.

Tulen, walau pun kurang sihat. Bersikap, walau pun digugat.

Zin Mahmud atau Agus Yusuf; Jemiri Amir atau Janet Steele dan sebondong wartawan, penyair dan penulis seangkatan bersikap menyuluh teman mereka dengan andang kuno dan dengan silau kini. Yang dilihat bukan wajahnya; yang direnung qalbunya.

Itulah suhu panas sesuatu pendedahan, sesuatu yang saya sendiri pernah coba serlahkan galam novel “Hujan Pagi”.

Dan saya masih juga ingin ulang menjeritkan pengalaman dan hatinurani saya bahawa “wartawan jati jarang makan gaji tanpa makan hati.” Tapi, sehingga kini saya tetap sedar bahawa ketika itu saya tidak lagi bekerja dengan sebuah institusi akhbar, sebaliknya saya berkhidmat kepada seorang tuan besar yang “mempuyai” banyak syarikat.

Kini tampaknya Ahmad Lutfi Othman—melalui beberapa orang teman wartawan— menghadirkan sebuah buku khas dunia kewartawanan era baru yang lebih menyinggul dan lebih diwarasi oleh teman-teman tegarnya. Memang beberapa orang teman atau pemerhati seangkatannya mengingati semula denai wartawan yang gelisah itu.

“Saya dapat inspirasi dari kisah bapak yang gagap….juga tidak dinafikan tertawan oleh pengalaman watak wartawan dalam novel “Langit Petang” (Lutfi memberitahu melalui sms-nya). Tentu saja Lutfi sedang banyak membaca, banyak mencipta dan menghayati buana.

Koleksi tulisan kawan-kawan wartawan seangkatannya ini menilai dan menghargai sumbangan Ahmad Lutfi Othman seinsaf, dan terkadang seradang, teman-teman senasib. Mereka yang dari kalangan kelompok inti ini—wartawan, editor, budayawan, sarjana dan agamawan—melakar sambil menghargai pengalaman Lutfi yang kuyup oleh peluh kerja kerasnya, dukalara atau sukarianya.

Bagi Ahmad Lutfi Othman sendiri rimbanya sungguh luas dan misteri. Dia merintasinya Melalui Harakah, Siasah, Detik, Dunia Islam, Tamaddun, Muslimah (termasuk beberapa buku siasah dan akhbar berkala).

Antara yang mengingat, malah menghargai, sumbangannya termasuklah Zin Mahmud, Agus Yusof, Jemiri Amir, Janet Steele dan Dinsman (melalui beberapa puisinya).

Kini zaman kurang enak kerana wartawan tidak sesasa dulu. Wartawan bukan lagi pelapor tulen. Matanya mata yang patuh. Matanya sekedar menjadi kamera. Dan abjadnya bukan lagi menjadi peta.

Kini kebanyakan wartawan hanya pekerja bulanan. (Ingat: Wartawan jati, jarang makan gaji tanpa makan hati!) Makanya, beberapa orang teman wartawan Ahmad Lutfi Othman, menyorotnya sebagai perakam keadaan yang sentiasa bertafsir, tekun meneliti peristiwa, tulus dengan pandangannya.

Teman-temannya itu bukan teman lagi; mereka adalah sahabatnya, Dari sisi ini buku nini amat berharga.

Dibayangkan bahawa bagi Lutfi tidak ada peristiwa yang sesia jika seseorang wartawan mencongkil sehingga ke akar kebenaran. (Barangkali itulah sebabnya esei Lutfi biasanya panjang.)

Pendeknya setiap tapak Ahmad Lutfi Othman menghala kepada kekecewaan, keresahan, malah keruntuhan. Itu yang semakin ditemuinya. Kerana itu tidak hairanlah dirinya sebagai perakam peristiwa beransur menjadi pelakon utama dalam kebanyakan paparannya.

Dia lagi tidak merenjis dakwat saja; dia benar-benar merenjis peluhnya sendiri.

Prakata ini petikan dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas,untuk mendapatkan buku tersebut dengan harga istimewa ,sila WhatsApp/Hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291






















No comments