Buku Lutfi

Buku pertama membicarakan ‘parti nyamuk dari Bangladesh’


Oleh Muhaimin Sulam

Selepas selesai urusan berjumpa doktor di IJN, saya terus menuju ke rumah Ahmad Lutfi, bekas Ketua Pengarang Harakah yang terletak di Ampang. Setengah jam lagi beliau hendak ke Taman Melawati untuk rawatan dialysisnya. Seminggu tiga kali. Berpuluh tahun berkhidmat pada Harakah. Dari Harakah merangkak hingga kini bertongkat.

Beberapa hari lalu, beliau bertanya bila masa untuk saya ambil buku terbarunya yang mana aku sendiri menyumbangkan satu tajuk. Tajuknya, ‘Merindui Purnama’. Agak romantism dan bersahaja. Mengenangkan harga sebuah persahabatan yang telah pupus.

Hampir semua buku tulisan Ahmad Lutfi Othman ada dalam rak buku saya. Sejak awal lagi tulisannya mencerdas pemikiran politik saya. Ulasan terhadap fakta politik diungkap dengan bahasa yang mudah difahami. Untuk tidak bersetuju pada sesuatu pendapat memang mudah. Namun berhujah dan memberi justikasi yang kukuh adalah suatu kerja yang sukar.


Kebolehannya mengulas sesuatu situasi politik bagai pencetus kesedaran dan kefahaman yang lebih tuntas. Malaysia memiliki ramai penulis atau pengulas politik yang hebat. Nama Ahmad Lutfi wajib diletakkan pada ranking atas.

Ahmad Lutfi menulis buku-buku politik untuk bacaan umum masyarakat Malaysia. Kebanyakan bukunya bersifat isu atau cerita semasa yang sangat terikat dengan faktor masa. Oleh itu, bukunya bukan bersifat evergreen. Ia perlu dijual pada period tertentu. Selepas period tersebut, agak sukar buku tersebut dibeli.

Namun buku yang bertajuk ‘Parti Amanah Negara’ adalah satu tulisan yang menyeluruh dan beranika. Agak berbeza. Pelbagai bentuk. Ada wawancara yang melibatkan Ust Ahmad Awang, Muhammad Sabu dan Salahudin Ayub. Ada beberapa kerat puisi dan artikel terjemahan. Penulisnya pun pelbagai dari journalis, ahli politik, penganalisis politik, anak muda dan sebagainya.

Terdapat 40 tajuk, berbelas penulis jemputan seperti Dr Mujahid Yusuf, Anuar Tahir, Shaari Sungip, Hanifa Maidin, Lim Hong Siang, Adam Adli, Ust Zolkharnain Abidin, Zin Mahmud, Dinsman, Zulkifli Sulong, Joceline Tan, Dr Farish A Noor, Liew Ching Tong, Hew Wai Weng, Khalid Samad, Wan Saiful Wan Jan, Sheridan Mahavera, Dr Lim Chee Han dan saya sendiri.

Beliau sendiri menulis pada bahagian Kata Pengantar dan penutup yang diberi tajuk ‘Bukan Penamat Bicara’. Dua tulisan ini saya baca dulu sebelum yang lainnya. Kesukaran beliau untuk menaip, membaca atau mengedit dibantu Arif Atan, Zin Mahmud dan Dinsman. Ahmad Lutfi menaip dalam keadaan berbaring. Jari telunjuknya satu-satu menaip keyboard hingga menjadi sebuah tulisan yang memiliki jiwa. Membangkitkan. Menghidupkan.

Buku ini adalah buku pertama yang secara detail membicarakan tentang latar belakang tertubuhnya ‘parti nyamuk dari Bangladesh’. Tahun lepas saya telah memulakan untuk menulis tentang sejarah kewujudan parti ini tetapi terhenti kerana saya tiada kualiti dan stamina seperti Ahmad Lutfi.

Saya melalui proses tersebut. Bibit retak menanti belah. Bulan gerhana. Malam nan sendiri. Api dalam sekam. Gunting dalam lipatan. Saat itu, puisi saya lebih subur di tanah perkebunan yang kering hingga lahirlah buku satira saya, ‘Pembunuhan di Tanah Perkebunan’.

Saya percaya buku terbaru Ahmad Lutfi akan menjadi rujukan wajib pada sesiapa yang mengkaji politik Malaysia. Pertamanya, senarai penulis yang ada mempunyai pengalaman luas dalam meneliti dan memahami perubahan yang ada dalam Pas.

Buku ini tidak dijual di kedai. Ia perlu dipesan melalui media baru.

Bagi yang berminat untuk memiliki buku ini, boleh hubungi Luqman Hakim 0192903291  atau (BD 01110658459 / Asri Baha 0125445084 -Kubang Pasu,Kedah dan kawasan yang berdekatan , Jasni 01112525816 -Changlun, ) (Faeez Azahar 0164452972 -Sekitar Ipoh) ..(Azam Mektar 0123433838 Johor, )(Wan Kamariah atau Cik Ma, 0199127000 -Kelantan)

No comments