Buku Lutfi

Lutfi, Sang Inspirator

Oleh ADAM ADLI ABD HALIM,

KAUM pelajar bukan sahaja perlu memunculkan sebuah gerakan, tetapi juga merakamkan gerakan tersebut dalam bentuk penulisan. Penting untuk kaum pelajar menulis supaya bukan sahaja dapat disimpan sebagai sebuah rekod untuk tatapan masa hadapan, tetapi juga yang penting adalah buat masyarakat semasa sendiri dapat membacanya dan menilai apa yang diperjuangkan oleh pelajar tersebut. Ini kurang lebih adalah apa yang saya fahami daripada pesanan yang sering disampaikan kepada saya oleh Encik Lutfi dalam pertemuan-pertemuan ketika saya masih aktif dalam gerakan pelajar sekitar beberapa tahun yang lalu. Dalam setiap pertemuan saya dengan beliau, itulah pesanan yang saya kira paling berharga dan paling berat juga untuk dituruti.

Saya berkenalan dengan Ahmad Lutfi Othman – yang saya bahasakan Encik Lutfi sahaja – tentu sekali melalui tulisan-tulisan tajam beliau yang tersiar terutama sekali di dalam Harakah. Tulisan beliau saya ikuti secara samar-samar sejak dari zaman sekolah, kerana Harakah adalah antara bacaan utama keluarga kami sejak dahulu. Tentulah saya tidak begitu memahami jargon politik dan isu yang diketengahkan dalam tulisan-tulisan yang saya baca lama dahulu, namun sedikit sebanyak ia membentuk pandangan dunia saya pada usia belasan tahun, cukup untuk memahami sekurang-kurang keadaan ketika itu adalah lebih dalam dan rumit berbanding apa yang tersaji di hadapan mata.

Perkenalan empat mata hanya berlaku setelah saya terlibat dengan gerakan pelajar, namun tidak saya ingat secara tepat bila dan bagaimana. Jika tidak silap, apabila beliau hadir memberi sokongan kepada pelajar yang berkhemah di Dataran Merdeka menuntut pendidikan percuma. Kami lebih banyak berhubung melalui khidmat SMS, terutama ketika saya masih menulis untuk Merdeka Review, yang mana beliau ada juga kongsikan pandangannya. Tentu sekali perhatian daripada seorang penulis prolifik yang saya hormati itu amat mengharukan saya.

Baiknya seorang penulis adalah tidak sukar untuk kita menilai dan menilik karakternya biarpun jika kita tidak berkesempatan untuk berkenalan dengan mereka dengan lebih akrab. Ketika masih sekadar pembaca tulisan beliau, saya melihat beliau sebagai seorang yang tegas dalam berpendirian, namun ada rasional dalam membentuk idea buat pembaca, dan berpandangan jauh; melangkaui kepentingan peribadi. Ini saya kira adalah sifat penting yang perlu ada buat seorang penulis, terutama penulis warkah politik; harus mampu menzahirkan pandangan dan pendapat yang mewakili kepentingan orang ramai, dari kaca mata sendiri dengan penuh adil.

Saya berani mengatakan ini kerana tidak banyak penulis yang mampu dan telah melakukannya. Sering kita melihat penulis politik yang biarpun tulisannya rasional dan logikal, namun tidaklah sering mewakili kepentingan ramai; sebaliknya hanya menulis untuk, jika tidak mewakili diri sendiri, mewakili organisasi mereka. Dalam bahasa lainnya, sukar untuk seorang penulis politik menulis dengan ikhlas dan adil, melainkan hanya menulis sepucuk propaganda.

Apabila mulai berkenalan secara peribadi, bertukar pandangan dan pengalaman, persepsi yang terbentuk saat saya hanya salah seorang pembaca ternyata benar. Di luar Catatan Hujung, atau kolum-kolumnya dalam majalah-majalah Tamadun, atau Detik, atau Wasilah (terima kasih Internet yang mengesahkan judul-judul melibatkan beliau), atau lain-lain garapan yang saya sendiri mungkin terlalu muda untuk berpeluang menatapnya; beliau sememangnya seorang penulis dan manusia yang adil dan saksama. Adil kepada diri sendiri dan orang lain.

Saya nilaikan ini apabila dalam sebuah kesempatan bertukar buah fikiran; beliau mengenangkan kembali kisah-kisah ketika beliau di universiti, khususnya kisah beliau dipecat daripada pengajian ketika menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Daripada naratif lisan beliau; Anwar Ibrahim bukanlah seorang yang beliau sanjungi, malah jelas beliau mempunyai masalah lampau dengan Anwar yang masih bapak menteri ketika itu. Namun semua itu tidak menghalang beliau untuk berlaku adil kepada keperluan politik semasa hari ini yang secara amnya, memerlukan semua pemain politik yang mempunyai cita-cita yang sama untuk bersetuju, atau sekurangnya bertoleransi, dan seterusnya bergerak bersama dengan sosok seperti Anwar Ibrahim. Biarpun tulisan beliau tidaklah mengangkat, apa lagi menjilat seorang Anwar; beliau tidak pula pernah menulis dengan niat menjatuhkannya, kerana Ahmad Lutfi Othman penuh faham keperluan politik semasa. Biarpun jika ada kritikan ke atas Anwar dalam tulisan beliau hari ini misalnya, ia sama sekali tidak dibayangi dengan masalah (saya tidak mahu guna perkataan dendam) peribadi beliau ke atas sosok tersebut.

Dari situ, saya yakin bahawa beliau adalah penulis yang exceptional, dan tulisan beliau adalah tulisan yang luhur, akademik, serta penting.

Apabila beliau jatuh sakit, saya kira itu adalah satu tragedi buat kita semua yang mengikuti catatan-catatan beliau. Saya tidaklah mahu menulis atau mengulas tentang kesihatan Encik Lutfi, tetapi saya tidak boleh mengelak daripada mengakui bahawa kerap terbit rasa bersalah dan terhutang apabila pesanan beliau – tulis dan rakam kisah-kisah daripada gerakan pelajar – tidak saya dan rakan-rakan penuhi. Sering sahaja tertangguh. Apabila Encik Lutfi jatuh sakit, rasa bersalah itu makin kuat.

Dalam setiap kesempatan (yang amat jarang), apabila melawat beliau di kediamannya, saya sangat berharap ketika itu selain membawa diri sendiri, saya mampu bawa senaskhah tulisan daripada saya atau pelajar lain seperti yang dijanjikan, dengan harapan ianya mampu memberi semangat dan harapan baru kepada beliau, agar dapat meneruskan perjuangan berhadapan kesakitannya sendiri.

Apabila diterbitkan Posto; majalah eksperimental hasil usaha Ronasina yang mana saya menjadi antara kolumnis di dalamnya; Encik Lutfi adalah antara yang pertama saya kirimkan naskhah tersebut (biarpun agak lewat setelah diterbitkan).

Lagaknya saya seperti anak kecil yang mahu menunjukkan lukisan pertama kepada seorang bapa, biarpun hanyalah contengan yang tidak pun layak dipanggil lukisan. Apabila terbit naskhah tunggal Molotov Koktel, juga sekali lagi saya berfikir yang sama; “Encik Lutfi perlu lihat buku ini.” Bukan untuk mendapatkan pengiktirafan; kerana tulisan saya terlalu naif untuk sebuah pengiktirafan daripada beliau, tetapi cukuplah sekadar pemangkin semangat buat beliau. Saya percaya; beliau bukan seorang yang mampu sembuh hanya bergantung ubat-ubatan dan rawatan di rumah sakit, tetapi yang lebih mujarab adalah berita-berita dan perkembangan yang baik dari luar sana, terutama dari benih-benih muda mahasiswa.

Keramahan dan perhatian yang sering beliau tunjukkan kepada anak-anak gerakan mahasiswa sangat mengesankan, dan bukan sedikit. Ternyata beliau sangat prihatin kepada golongan muda ini.

Buktinya; dalam keadaan kesihatan yang ketika itu saya ketahui agak buruk; beliau dengan bertemankan teman wartawan, Arif Atan, menyusuri Kuala Lumpur di tengah malam dari Ampang ke Universiti Malaya untuk bersama dengan anak-anak mahasiswa yang sekali lagi berkhemah sebagai tanda protes. Kesakitan beliau seakan dilupakan apabila muncul aksi-aksi terutama dari golongan pelajar, dan beliau berada di situ untuk menyaksikannya. Beliau ternyata seorang yang sentiasa meletak harapan yang sangat tinggi kepada gerakan pelajar.

Maka sebab itu, permintaannya agar kaum pelajar menulis menjadi guilt buat saya dan sesetengah rakan yang turut menerima pesan yang sama. Seharusnya ketika beliau melalui keperitan akibat sakitnya; kami yang diletakkan harapan ini menulis dan memberi beliau semangat melalui tulisan.
Saya terkejut ketika mendapat panggilan telefon daripada beliau beberapa hari sebelum tulisan ini mulai digarap. Khabarnya Encik Lutfi membuat panggilan dari pusat dialisis di Hulu Kelang. Tiga kali seminggu, selama empat jam setiap sesi, beliau menjalani rawatan hemodialisis. Mendengar suara beliau yang kembali ceria dan bersemangat hampir buat saya menitiskan air mata. Lebih terkejut apabila di hujung perbualan; beliau mengajukan permintaan untuk saya sisipkan sedikit tulisan untuk dimuatkan dalam terbitan bersama beliau ini. Telah agak lama saya tidak menulis. Kehilangan daya dan semangat biarpun kalau berbanding dahulu, di waktu masih rajin menulis; saya kini punya lebih banyak isi dan pandangan untuk digarapkan dalam bentuk tulisan, namun saya tidak ada daya melakukannya.

Saya tidak ada pendorong, dan semangat seperti dahulu. Sedikit kesulitan hidup, ditambah kesuntukan masa sejak kembali menyambung pengajian, selain terkesan dengan keletihan melayan kes-kes di mahkamah yang memakan terlalu banyak masa dan tenaga, apa lagi wang ringgit menjadikan saya tidak terlalu berahi lagi untuk menulis, atau melakukan kerja-kerja berbentuk sumbangan yang lain. Tetapi apabila Encik Lutfi menghubungi saya dengan suara yang ceria; malah meminta sumbangan tulisan, semangat itu kembali semula perlahan-lahan.

Rupanya, itulah sebenarnya yang turut diperlukan saya. Pendorong semangat seperti Encik Lutfi. Mendengar suara ceria dan khabar kesihatan beliau yang meningkat baik semula adalah berita baik di celah-celah kesulitan dan mendung hari-hari kita saat ini. Saya tidak akan terkejut jika dalam masa terdekat ini, biarpun masih sedikit lemah; kita akan melihat semula tulisan-tulisan beliau seperti dahulu.

Ringkasnya; setiap orang mengenali dan menanggapi seorang Ahmad Lutfi Othman dengan cara tersendiri. Sebagai suara waras di celah-celah kekusutan kita hari ini; baik dalam kehidupan mahupun lapangan politik yang makin jijik dan mual, kita harus berterima kasih kerana kita punya orang seperti Lutfi Othman yang tajam dan adil dalam menilai keadaan, agar kita sedikit lega dalam berfikir. Dalam ruang pandangan yang lain, di balik tulisan tajam beliau, daripada apa yang pernah sempat saya kutip sepanjang perkenalan dengan beliau, Encik Lutfi adalah orang yang mengingatkan kembali saya kepada apa yang diungkap oleh Pramoedya; “Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian.”

Ada yang terinsipirasi daripada penulisannya. Ada yang terinspirasi daripada pemikirannya. Untuk saya; saya terinspirasi daripada semangatnya. Tulisan ini hanyalah sebuah contengan tanda terima kasih saya buat Encik Lutfi, sang inspirator. Moga Tuhan merahmati tuan.

ADAM ADLI ABD HALIM, aktivis muda yang popular, turun-naik mahkamah hadapi pelbagai pertuduhan atas idealisme perjuangannya, termasuk di bawah Akta Hasutan.

Artikel ini petikan dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas,untuk mendapatkan buku tersebut dengan harga istimewa ,sila WhatsApp/Hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291

No comments